Pages

Tuesday, August 16, 2011

Syria perhebat serang Homs




Kepulan asap kelihatan di ruang udara bandar Latakia selepas tentera Syria melancarkan serangan besar-besaran menggunakan kereta kebal dan kapal laut untuk mematahkan pemberontakan di bandar pelabuhan itu, semalam. - REUTERS


AMMAN 15 Ogos - Bunyi tembakan terus kedengaran di Syria ketika kereta kebal memasuki beberapa bandar di wilayah tengah Homs, sehari selepas 26 maut dalam serangan besar-besaran pertama yang dilancarkan rejim Presiden Bashar al-Assad menggunakan kapal laut.
"Masyarakat Hula terkepung. Tentera melaksanakan serbuan dan menahan orang ramai ketika tembakan bertubi-tubi terus dilancarkan.
"Ejen keselamatan mengepung semua pintu masuk ke Hula dan mula melepaskan tembakan ke arah orang ramai," kata Pemantau Hak Kemanusiaan Syria.
Serangan di Homs dilancarkan sehari selepas tindakan kekerasan terbaru kerajaan Syria di Latakia dalam usaha menumpaskan protes pembaharuan politik yang dilancarkan penunjuk perasaan.
"Saya boleh nampak bayangan dua kapal berwarna kelabu yang melepaskan tembakan ke arah kawasan kediaman penduduk di al-Raml al-Filistini dan al-Shaab.
"Ini merupakan serangan paling dahsyat di Latakia sejak pemberontakan bermula. Sesiapa yang menjenguk keluar dari tingkap akan terkena tembakan," kata seorang saksi dari Latakia menerusi telefon.
Saksi berkata, kira-kira 20,000 penunjuk perasaan berarak di beberapa bahagian Latakia selepas solat Tarawih semalam bagi menuntut tentera kerajaan berundur.
"Selepas melepaskan tembakan bertubi-tubi, tentera dan anggota militia shabbiha menawan dataran utama di al-Raml al-Filistini, lokasi penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi secara aman," jelas badan tersebut.
Sabtu lalu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mendesak kempen ketenteraan di Syria dihentikan segera, yang menyaksikan hampir 2,000 penduduk awam telah terbunuh sejak Mac lalu. - Reuters/AFP-utusan

No comments: