Pages

Tuesday, August 16, 2011

Siri serangan di Iraq, 66 maut




Pasukan polis Iraq memeriksa kawasan serangan bom di tengah bandar Kirkuk, 250 kilometer ke utara Baghdad, semalam. - REUTERS


KUT 15 Ogos - Sekurang-kurangnya 66 orang maut dan lebih 230 lagi cedera dalam beberapa serangan keganasan di Iraq hari ini, termasuk 40 mangsa yang maut dalam dua serangan hampir serentak di bandar Kut, tengah negara ini.
Lonjakan keganasan itu, yang berlaku hanya beberapa bulan sebelum tentera AS dijadual berundur, menimbulkan persoalan mengenai keupayaan pasukan keselamatan Iraq untuk memelihara ketenteraman.
Sebelum itu para pemimpin Iraq bersetuju untuk memulakan rundingan dengan Washington mengenai misi latihan tentera yang hendak dilanjutkan selepas pengunduran askar AS pada akhir tahun ini.
Dalam serangan paling berdarah hari ini, sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan dan sebutir bom di tepi jalan meletup selang hanya beberapa minit pada pukul 8 pagi ini (1 petang waktu Malaysia) di tengah Kut, kata pegawai perubatan dan keselamatan.
"Setakat ini kami menerima 34 mayat dan merawat 52 mangsa yang cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak," kata seorang doktor di hospital Al-Zahra di Kut, Ali Hussein.
Seorang pegawai keselamatan di Kut berkata, letupan itu berlaku di kawasan sesak di pusat bandar tersebut, 160 kilometer ke selatan Baghdad.
Di bandar Baquba, ke utara Baghdad, empat askar dibunuh oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang menyerang satu sekatan tentera Iraq pada awal hari ini.
Dua lagi letupan bom di Baquba mencederakan 14 orang, manakala pejabat kerajaan wilayah dikosongkan.
Di Tikrit, tiga anggota polis terbunuh sementara tujuh lagi cedera apabila dua pengebom berani mati meletupkan diri di pejabat sebuah biro antikeganasan di bandar kelahiran Saddam Hussein itu.
Seorang penduduk awam terbunuh dan 14 lagi cedera dalam dua letupan berasingan di bandar Kirkuk, utara Iraq.
Rentetan serangan itu berlaku selepas para pemimpin Iraq pada 3 Ogos lalu berkata, mereka akan mengadakan rundingan dengan AS berhubung misi latihan keselamatan yang dilanjutkan selepas akhir tahun ini, apabila kesemua 47,000 askar Amerika mesti berundur mengikut syarat perjanjian keselamatan dua hala 2008. - AFP

No comments: