Pages

Sunday, July 3, 2011

Maghribi had kuasa raja



Raja Mohammed VI turut mengundi di satu pusat pengundian di Rabat semasa pungutan suara bagi meminda Perlembagaan Maghribi dan mengehadkan kuasa baginda, kelmarin. - Agensi


RABAT 2 Julai - Rakyat Magribi bersetuju meminda Perlembagaan dan mengehadkan kuasa pemerintah, Raja Mohammed VI dalam satu pungutan suara semalam berikutan pemberontakan rakyat di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Taib Cherkaoui berkata, sebanyak 98 peratus pengundi menyatakan 'ya' selepas 94 peratus pos pengundian melaporkan keputusan kiraan undi masing-masing.

''Sebanyak 72.65 peratus pengundi keluar mengundi dalam pungutan suara itu,'' katanya ketika mengumumkan keputusan pungutan suara itu melalui siaran televisyen rasmi.

Pengkritik mengecam keputusan tersebut dan kumpulan belia dan sebuah pertubuhan dikenali sebagai Pergerakan 20 Februari mengumumkan ia akan mengadakan demonstrasi secara aman esok bagi membantah keputusan yang mereka sifatkan sebagai tidak masuk akal.

''Pungutan suara ini melanggar prinsip demokrasi,'' kata seorang pemimpin pergerakan itu, Najib Chaouki kepada AFP.

Taib menegaskan bahawa pungutan suara itu dilaksanakan mengikut peraturan dan ia menggambarkan sokongan kepada penggubalan Perlembagaan baru.

Bagi menunjukkan pungutan suara itu disokong golongan belia, beliau berkata, sebanyak 30 peratus pengundi merupakan mereka yang berumur di bawah 35 tahun.

Di bawah draf Perlembagaan baru itu, Raja akan kekal sebagai ketua negara, tentera dan agama Islam di Magribi.

Bagaimanapun, Perdana Menteri yang dipilih daripada parti yang menang dengan mempunyai anggota majoriti di Parlimen, akan bertindak sebagai ketua kerajaan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: