Pages

Sunday, July 3, 2011

Pendingin hawa kem tentera AS RM61.25 bilion



SUASANA selesa di markas tentera udara Amerika di Kandahar, Afghanistan.
SUASANA selesa di markas tentera udara Amerika di Kandahar, Afghanistan.



Bajet lebih besar daripada operasi NASA

WASHINGTON: Percayakah anda bahawa tentera Amerika membelanjakan AS$20.2 bilion (RM61.25 bilion) setahun untuk membiayai pendingin hawa di Iraq dan Afghanistan?
Jumlah ini melebihi bajet yang diperuntukkan kepada Agensi Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), malah melebihi jumlah yang terpaksa dibayar syarikat minyak British Petroleum (BP) sebagai bayaran pampasan berikutan kemusnahan akibat tumpahan minyak di Teluk Mexico. Ini juga jumlah yang dijanji oleh kumpulan G-8 bagi memulihkan demokrasi di Mesir dan Tunisia.
“Jika anda menimbangkan kos untuk menghantar bahan api ke sebuah negara paling terpencil di dunia, termasuk kerja kawalan, arahan dan sistem sokongan dan apabila anda perlu menyediakan semua kemudahan asas, tidak menghairankan jika jumlahnya boleh mencapai AS$20 bilion (RM60.25 bilion),” kata jeneral bersara Steven Anderson yang berkhidmat sebagai pakar logistik kepada panglima perang Amerika di Iraq, Jeneral David Patreaus.

Beliau berkata, untuk menjana sebuah pendingin hawa di kawasan terpencil di Afghanistan, satu gelen bahan api perlu dibawa masuk ke Karachi, Pakistan, sebelum dihantar dengan lori sejauh 1,280 kilometer selama 18 hari dengan keadaan jalan yang amat teruk.

Keadaan ini masih tidak risiko yang terpaksa ditanggung bagi setiap kilometer perjalanan. Anderson berkata, lebih 1,000 orang askar kehilangan nyawa ketika menyertai konvoi membawa bahan api yang sering menjadi sasaran serangan kumpulan pemisah.

Sebuah khemah tentera dengan pendingin hawa yang didirikan di bawah suhu 125 darjah memerlukan banyak bahan api. Beliau berkata, dengan menjadikan struktur penghantaran bekalan lebih cekap, tentera boleh menyelamatkan nyawa dan menjimat wang.
Namun jumlah AS$20.2 bilion terus menimbulkan persoalan mengenai perang yang berterusan di Afghanistan.

Berapa banyakkah wang yang dapat dijimatkan selepas Presiden Barack Obama mengumumkan seramai 30,000 askar Amerika akan dihantar pulang? Kerajaan Amerika membelanjakan AS$1 juta bagi setiap seorang askar (RM3.03 juta), tetapi pengunduran mereka tidak mengurangkan bajet seperti yang dijangkakan.

“Apa yang pernah dicatatkan dalam sejarah ialah anda tidak akan dapat melihat pengurangan perbelanjaan berdasarkan jumlah tentera yang diundurkan dan fakta ini adalah benar di Afghanistan yang mempunyai persekitaran sukar,” kata penganalisis kanan Project Priorities National, Chris Hellman.

Ini bermakna kebanyakan perbelanjaan peperangan bukan disebabkan oleh askar itu sendiri, sebaliknya infrastruktur yang menyokong mereka. Sesetengah infrastruktur itu akan kekal, walaupun tentera sudah tiada.

“Kita sedang membina asas yang besar. Kita melihat keadaan ini di Iraq. Kita membina infrastruktur di negara itu, tetapi kita tidak mendapat satu sen pun sebagai pulangan,” katanya.

Perbelanjaan untuk melatih pasukan keselamatan Afghanistan juga besar. Pentadbiran Obama sudah memohon peruntukan hampir AS$13 bilion (RM39.42 bilion) untuk melatih dan menyediakan kelengkapan pasukan keselamatan tahun fiskal akan datang.

“Lebih penting lagi, Presiden Afghanistan, Hamid Karzai sudah memberi isyarat beberapa tahun lalu, bahawa negara itu tidak mampu menyokong tenteranya sendiri dalam tempoh 15 hingga 10 tahun akan datang,” katanya. – Agensi Berita Harian Online | Pendingin hawa kem tentera AS RM61.25 bilion

No comments: