Pages

Sunday, July 3, 2011

Australia yang kurung pelarian, bukan Malaysia





MELBOURNE - Bekas ketua jabatan imigresen kerajaan pimpinan Malcolm Fraser berkata, tuduhan kononnya Malaysia memberi layanan buruk kepada orang pelarian adalah bersifat rasis dan hipokrit kerana sebenarnya Australialah yang mengurung orang pelarian. Berucap pada satu forum di Sydney baru-baru ini, John Menadue (gambar kecil) berkata, pengalamannya dalam mengendalikan masalah kebanjiran pelarian Vietnam pada 1980-an menyebabkan beliau 'keberatan' untuk mempercayai bahawa pertukaran pengambilan orang pelarian antara Australia dan Malaysia merupakan suatu cara untuk memecah kebuntuan dalam perbahasan hangat berhubung isu orang pelarian masa kini.

Beliau berkata, kerjasama yang diberi oleh Malaysia amat bermanfaat dalam usaha menempatkan semula beratus ribu pelarian Vietnam suatu ketika dulu. "Walaupun adakalanya keadaan tidak begitu menggembirakan, tapi penahanan dan layanan yang kita beri kepada kanak-kanak juga khususnya, tidaklah begitu menggembirakan. "Wujud unsur perkauman dalam cara kita mengkritik Malaysia dan cara negara itu mengendalikan orang pelarian. "Tapi, mereka tidak mengurung orang pelarian di pusat tahanan, sebaliknya, kitalah yang berbuat begitu,'' kata Menadue yang dipetik akhbarSydney Morning Herald.

Beliau mengkritik Perdana Menteri, Julia Gillard, dan Ketua Pembangkang, Tony Abbott kerana ketidakcekapan mereka menangani isu pencari suaka. Sementara itu, bekas Penolong Setiausaha kedua Imigresen Arja Keski-Nummi, yang meletak jawatan tahun lepas, memberitahu forum itu: "Malaysia lebih maju daripada segi pengurusan orang pelarian berbanding Australia kerana Australia mengenakan tahanan secara mandatori." - Bernama

Kosmo! Online - Negara

No comments: