Pages

Friday, June 10, 2011

Jepun mungkin tutup semua reaktor nuklear

Kos tenaga diramal meningkat $37b setiap tahun jika masyarakat bantah rancangan teruskan operasi loji


TOKYO: Kesemua 54 reaktor nuklear Jepun mungkin ditutup menjelang April tahun depan, menambahkan lebih AS$30 bilion ($37 bilion) setiap tahun kepada kos tenaga negara itu, jika masyarakat membangkang rancangan operasi lojinya disebabkan kebimbangan terhadap isu keselamatan, kata para pegawai kementerian perdagangan Jepun, kelmarin.Sejak kejadian gempa bumi dan tsunami besar pada 11 Mac lalu, yang mencetuskan krisis radiasi di loji nuklear Fukushima Daiichi di utara Tokyo, kebimbangan di kalangan pihak berkuasa setempat telah menghalang penjana nuklear daripada dimulakan semula di sekurang-kurangnya empat reaktor yang dijangka memulakan operasinya selepas kerja-kerja penyenggaraan rutin dan pemeriksaannya.Beberapa lagi reaktor telah ditutup sejak itu bagi penyenggaraan biasa, mengurangkan keupayaan penjanaan nuklear Jepun kepada hanya 17,580 megawat, atau setakat 36 peratus daripada keupayaan nuklearnya yang didaftarkan.Pada Mei lalu, kadar operasi purata nuklear Jepun jatuh kepada 40.9 peratus, paras terendahnya sejak sekurang-kurangnya sedekad dan jauh di bawah 62.1 peratus setiap tahun sebelum ini.Sebelum kejadian gempa dan tsunami itu, yang memaksa tiga loji kuasa lain ditutup sebagai tambahan kepada loji Fukushima Daiichi kendalian Tokyo Electric Power Co (Tepco), kuasa nuklear membekalkan 30 peratus daripada perbekalan elektrik di Jepun.Walaupun sebuah reaktor disahkan akan dimulakan semula sebaik sahaja ia menerima kelulusan daripada Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri (Nisa), sebuah badan pengawas kementerian perdagangan Jepun, para pengendali nuklear juga sering mendapatkan kelulusan pemerintah setempat bagi mengiktiraf peri pentingnya sokongan daripada masyarakat di sekeliling kawasan loji berkenaan.Jika tidak ada reaktor yang ditutup bagi penyenggaraan biasa selepas bencana itu dimulakan semula, ia akan menghadapi kos tambahan 2.4 trilion yen ($37 bilion) untuk menggantikan kehilangan penjanaan kuasa dalam tahun kewangan hingga Mac depan, menurut satu anggaran kementerian perdagangan Jepun.Jika kesemua reaktor Jepun ditutup tanpa sebarang usaha memulakannya semula, kos tambahan itu akan meningkat kepada 3 trilion yen setiap tahun, mencerminkan keperluan membeli lebih banyak bahan pembakar fosil dari luar negara itu, sementara penggunaan tenaga yang boleh dibaharui masih lagi terhad. -- Reuters. Cyberita Online Luar Negara

No comments: