Pages

Friday, June 10, 2011

Perogol budak dijel 25 tahun, 15 sebatan


KLANG: Seorang penjual barangan lusuh dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan dikenakan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku salah merogol kanak-kanak berusia 8 tahun dalam tandas ketika mangsa menghadiri majlis perkahwinan, di sebuah dewan sekolah, di Sekinchan, Sabtu lalu.
Hakim Datuk Anita Harun menjatuhkan hukuman itu terhadap M Suresh, 27, dan memerintahkan ia berjalan mulai tarikh tangkap tertuduh iaitu pada hari kejadian.

Lelaki itu yang berbaju jersi biru dan berseluar trek dilihat tenang dengan keputusan itu tetapi mula mengalirkan air mata apabila dibawa ke lokap mahkamah. Mengikut pertuduhan, Suresh didakwa merogol mangsa dalam tandas perempuan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Yoke Kuan, di Sekinchan, antara 9 dan 9.15 malam, pada 4 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nizi Shazril Ithnin.

Terdahulu, Suresh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya dengan memberi alasan bahawa dia berada dalam keadaan mabuk ketika melakukan kesalahan itu.
Bagaimanapun, Nizi Shazril memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira usia mangsa yang hanya lapan tahun dan 11 bulan dan kecederaan dialaminya.

Beliau berkata, perbuatan tertuduh juga menyebabkan masa depan mangsa terjejas.
Selain itu katanya, tertuduh mempunyai dua rekod lampau berhubung kesalahan rompak.

“Hukuman untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,” katanya. Abang ipar budak itu dengan bantuan orang awam berjaya menahan tertuduh di dalam longkang tidak jauh daripada tempat kejadian.

Akhbar sebelum ini melaporkan tindakan seorang lelaki gila seks merogol kanak-kanak di dalam tandas sebuah sekolah di Sekinchan membawa padah apabila dia dicekup orang ramai ketika cuba melarikan diri dalam keadaan berbogel selepas mangsa menjerit.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa datang ke sekolah terbabit bersama kakak dan abang iparnya untuk menghadiri majlis perkahwinan di dewan sekolah berkenaan.
myMetro | Perogol budak dijel 25 tahun, 15 sebatan

No comments: