Pages

Friday, June 10, 2011

Ali bakal pulang


SANAA/ADEN: Penyokong Presiden Ali Abdullah Saleh semalam melepaskan tembakan ke udara bagi meraikan laporan pemimpin Yaman itu akan kembali selepas menjalani rawatan di Arab Saudi.
Laman sesawang kerajaan melaporkan, Ali berjaya menjalani pembedahan dan kini semakin pulih.

“Dia mungkin kembali ke Yaman tidak lama lagi,” kata laporan itu.
Cedera akibat letupan pada Jumaat lalu, Ali dikejarkan ke Riyadh untuk mengeluarkan serpihan dari badannya dan menjalani pembedahan plastik merawat kesan terbakar di kepalanya.

Kerajaan berkata, persediaan kini dibuat di seluruh negara bagi meraikan kepulangan Ali ketika presiden itu terus mendapat tekanan antarabangsa dan domestik supaya berundur.

Yaman juga kini berada dalam kucar-kacir apabila rakyat bangkit menuntut reformasi dilakukan.
Sumber pula berkata, Ali mengalami kesan kebakaran kira-kira 40 peratus daripada badannya.

Di Riyadh pula, diplomat Yaman berkata, Ali akan bertemu dengan komuniti negara itu di Arab Saudi beberapa hari lagi menjelang kepulangannya.
Sepanjang ketiadaan Ali di Yaman, kedua-dua pihak bertentangan mengadakan gencatan senjata.

Bagaimanapun, kebanyakan kementerian tidak berfungsi kerana kakitangannya tidak datang bekerja.

Bandar utama juga mengalami masalah bekalan elektrik dan air, manakala di Zinjibar di bahagian selatan, al-Qaeda dilaporkan menguasai bandar itu.

Sesetengah pihak berkata, Ali sengaja membiarkan al-Qaeda menawan Zinjibar bagi menunjukkan risiko dihadapi rakyat jika kerajaan bertukar. - Reuters
myMetro | Ali bakal pulang

No comments: