Pages

Monday, March 28, 2011

7 maut kekacauan di Syria


PARA penyokong Presiden Bashar al-Assad berarak di ibu kota Damsyik sebagai tindak balas terhadap protes anti kerajaan, kelmarin. - REUTERS

DAMSYIK 27 Mac - Keganasan yang meragut nyawa meletus lagi di Syria semalam apabila tujuh orang dilaporkan terbunuh termasuk dua yang ditembak mati oleh penembak curi manakala penunjuk perasaan membakar sebuah pejabat Parti Baath pimpinan Presiden Bashar al-Assad.
Keganasan itu berlaku pada hari ke-12 protes di Syria, negara yang dikenali kerana kawalan keselamatan yang sangat ketat.
Pihak berkuasa bagaimanapun membebaskan 260 tahanan politik dalam usaha untuk meredakan kemarahan penunjuk perasaan, yang mengenakan tekanan paling hebat ke atas Assad sejak beliau mengambil alih kuasa pada 2000.
Pegawai mengesahkan 27 terbunuh, 20 daripadanya penunjuk perasaan, dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan di beberapa bandar termasuk Homs, Sanamen, Daraa dan Latakia sejak protes bermula pada 15 Mac.
Aktivis bagaimanapun berkata, angka kematian melebihi 126 orang, termasuk lebih 100 yang maut pada Rabu lalu apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di Daraa, bandar selatan yang telah menjadi simbol protes antirejim.
Di bandar pelabuhan Latakia, 350 kilometer ke barat laut Damsyik, aktivis mendakwa sekurang-kurangnya tujuh orang maut termasuk dua yang dibunuh oleh penembak curi semasa protes besar-besaran lewat semalam.
Di Tafas, ke selatan ibu negara, penduduk membakar sebuah balai polis dan ibu pejabat Parti Baath cawangan tempatan.
Di Daraa, bersempadan dengan Jordan, kira-kira 300 pemuda memanjat runtuhan patung bapa Bashar al-Assad, Hafez al-Assad sambil melaungkan slogan antirejim.
Penunjuk perasaan di Daraa meruntuhkan patung itu kelmarin sebelum membakar kediaman bekas gabenor, yang dipecat selepas tunjuk perasaan awal bulan ini.
Kerajaan Assad mengumumkan pelbagai pembaharuan untuk meredakan kemarahan penunjuk perasaan, termasuk kemungkinan menarik balik perintah darurat yang dikenakan sejak 1963, tetapi aktivis berikrar untuk meneruskan protes sehingga tuntutan mereka bagi mendapatkan kebebasan lebih luas dipenuhi. - AFP/dpa

No comments: