Pages

Monday, March 28, 2011

Pemberontak Libya kuasai semula bandar minyak


BEBERAPA anggota pemberontak berhimpun di antara bandar Bin Jawad dan Sirte di Libya semalam.

RAS LANUF - Para pemberontak yang menentang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam merampas semula bandar minyak ini.
Kekuatan kumpulan pemberontak itu meningkat selepas mereka berjaya menguasai semula sebuah lagi bandar minyak, Brega di timur Libya daripada tentera Gaddafi.
Bandar Ras Lanuf dan Brega menghasilkan sejumlah besar minyak mentah daripada 1.5 juta tong sehari yang dieksport Libya pada setiap hari.
Namun eksport minyak negara itu terhenti pada 15 Februari ekoran tindakan penunjuk perasaan yang menentang Gaddafi.
Anggota-anggota pemberontak itu kini dalam perjalanan untuk menawan kembali beberapa kawasan yang ditinggalkan oleh tentera Gaddafi.
Kejayaan kumpulan pemberontak itu dibantu serangan udara tentera Barat diketuai Amerika Syarikat (AS) yang menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya.
Pada Sabtu lalu, kumpulan pemberontak itu berjaya menawan bandar Ajdabiyah.
"Tidak ada lagi askar-askar Gaddafi di sini. Kami mengawal keseluruhan bandar," kata seorang anggota pemberontak, Youssef Ahmed, 22, di bandar Bin Jawad, 525 kilometer ke timur bandar raya Tripoli.
Seorang wartawan agensi berita Reuters menyaksikan lebih 12 buah trak yang dipenuhi dengan mesingan di pusat bandar Bin Jawad.
Menurut kumpulan pemberontak, askar-akar yang setia kepada Gaddafi sudah berundur.
Pemberontak kini merancang untuk bergerak ke Sirte di timur Mediterranean yang dianggap kubu kuat Gaddafi.
Setakat ini, Gaddafi masih lagi belum membuat kemunculan selepas beliau memberikan ucapan kepada penduduk di Tripoli pada minggu lalu.
Sementara itu, di bandar Benghazi, seorang wakil pemberontak, Ali Tarhoni menyatakan, eksport minyak Libya akan dipulihkan dalam tempoh beberapa minggu lagi.
"Kami mengeluarkan kira-kira 100,000 hingga 130,000 tong minyak sehari," katanya pada satu sidang akhbar.
Dua minggu lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya bagi mengelak Gaddafi membuat serangan ke atas penduduk awam yang menentang kepimpinannya.
Kelmarin, tentera Barat melancarkan serangan udara di bandar Sabha yang terletak di selatan Tripoli.
Namun, maklumat lanjut berhubung serangan itu sehingga kini. - Agensi

No comments: