Pages

Monday, March 28, 2011

Tentera masuk Latakia

DAMSYIK: Tentera Syria semalam memasuki bandar Latakia selepas penembak tepat membunuh empat orang awam dan meningkatkan lagi ketegangan di negara itu yang bergelut dengan tuntutan reformasi.
Akhbar prokerajaan, al-Watan, melaporkan tentera itu dikerah ke bandar itu bagi menamatkan ‘kemusnahan dan pembunuhan.’ Akhbar sama melaporkan, dua anggota keselamatan dibunuh kelmarin dan 70 tentera kerajaan cedera di bandar terletak 350 kilometer di barat daya Damsyik itu.


Seorang pegawai kanan Syria berkata, penembak tepat membunuh dua mangsa pada kelmarin.


Setakat ini pihak berkuasa menuduh pelarian Palestin dari kem berhampiran cuba mencetuskan ketegangan di antara penganut Kristian, Islam dan Alawiyyah - berfahaman Syiah - di Latakia yang didiami kira-kira 450,000 orang.


Pertumpahan darah kelmarin adalah keganasan terbaru melanda Syria sejak negara itu berdepan kebangkitan rakyat menuntut reformasi menyeluruh pada 15 Mac lalu.


Protes besar-besaran itu memberi tekanan besar kepada Presiden Bashar al-Assad dan Parti Baath yang memerintah Syria dengan dasar kuku besi selama hampir lima dekad.


Pegawai kerajaan mengesahkan 28 orang terbunuh di seluruh negara sejak protes bermula, tetapi aktivis mendakwa, korban sebenar mencapai 126 orang.


Penunjuk perasaan mendakwa, 100 orang terbunuh dalam keganasan pihak berkuasa di Deraa pada Rabu lalu.


Akhbar harian kerajaan, Tishrin, melaporkan 150 orang cedera dalam keganasan di Latakia pada Jumaat dan kelmarin. - AFP

No comments: