Pages

Thursday, February 24, 2011

Usaha menyelamat diteruskan



Pasukan menyelamat membantu seorang wanita yang berjaya diselamatkan daripada runtuhan bangunan akibat gempa bumi di bandar raya Christchurch, semalam. – REUTERS


CHRISTCHURCH 23 Feb. – Pekerja penyelamat New Zealand hari ini meneruskan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan berpandukan suara tangisan serta bunyi ketukan, ketika angka korban akibat gempa bumi di negara ini meningkat kepada 75 orang.
Pasukan penyelamat juga terpaksa memotong tangan atau kaki sebahagian daripada 120 mangsa bagi mengeluarkan mereka yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan, selepas gempa sekuat 6.3 pada skala Richter semalam meruntuhkan kebanyakan struktur bangunan di bandar kedua terbesar New Zealand ini.
Usaha mencari dan menyelamat turut dilakukan menggunakan tangan, bantuan anjing pengesan dan jentera berat ekoran masa yang semakin suntuk bagi mengeluarkan mangsa selepas 24 jam bencana itu berlaku.
Perdana Menteri, John Key turut mengisytiharkan perintah darurat di New Zealand ketika beratus-ratus tentera, polis dan pekerja penyelamat termasuk dari negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) dikerah ke Christchurch.
Sebahagian daripada 350,000 penduduk bandar tersebut kini tinggal sehelai sepinggang dengan kebanyakan kawasan kini tidak mendapat bekalan air minum yang mencukupi serta bekalan elektrik dan talian telefon terputus.
Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker berkata, seramai 300 mangsa masih disenaraikan sebagai hilang, sementara pihak berkuasa kini telah mengecam 55 mayat dengan 20 yang lain masih belum dikenal pasti identiti mereka.
“Mayat bergelimpangan di jalan-jalan raya. Ada yang terperangkap di dalam kereta dan dihempap runtuhan bangunan,” kata komander polis, Russell Gibson kepada Radio New Zealand.
Pekerja penyelamat hari ini berjaya mengeluarkan 15 mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan sebuah bangunan pejabat enam tingkat yang runtuh akibat gempa bumi semalam.
“Kami berjaya mengeluarkan mereka hidup-hidup dan kami akan mencari lebih ramai mangsa yang mungkin masih hidup,” kata jurucakap jabatan bomba kepada sebuah stesen radio.
Seorang lagi mangsa, Ann Bodkin juga berjaya dikeluarkan dari runtuhan bangunan Pyne Gould Guinness, di sini, selepas terperangkap lebih 24 jam. – Agensi

No comments: