Pages

Thursday, February 24, 2011

Ketukan, tangisan beri petunjuk

2011/02/24

Ramai lagi dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan

CHRISTCHURCH: Pasukan mencari dan menyelamat New Zealand terus menyelongkar sisa runtuhan bagi mencari mangsa yang terselamat berpandukan bunyi tangisan dan ketukan, ketika angka korban gempa di negara itu meningkat kepada 75 orang, manakala ramai lagi dipercayai masih terperangkap.

Pasukan penyelamat juga terpaksa memotong anggota tubuh sebahagian daripada 120 mangsa yang diselamatkan dalam bencana alam yang melanda bandar raya kedua terbesar di negara itu. Angka kematian dijangka meningkat.
“Kami menerima pesanan ringkas dan bunyi ketukan daripada mangsa yang masih hidup dan inilah tumpuan kami sekarang,” kata pegawai kanan polis Russel Gibson kepada stesen radio New Zealand.
Beliau menjangka angka kematian akan terus bertambah, ketika usaha ditumpukan kepada mencari mangsa yang masih hidup dan mengenal pasti mayat.

“Banyak mayat bergelimpangan di jalan raya. Mereka terperangkap di dalam kereta atau tertimbus di celah runtuhan bangunan. Kami terpaksa memberi tumpuan kepada mangsa yang masih hidup,” katanya.

Sementara itu harapan untuk menemui sekumpulan 15 mangsa yang terperangkap di dalam runtuhan sebuah bangunan, musnah semalam, ketika sekumpulan penyelamat meninggalkan lokasi manakala anggota bomba memberitahu media bahawa laporan awal adalah salah.

Bangunan itu menempatkan agensi penyiaran CTV dan sebuah sekolah bahasa Inggeris dengan berpuluh pelajar Jepun dipercayai terperangkap ketika gempa bumi berlaku.
Satu pasukan ditugaskan khusus mencari mangsa dari bangunan runtuh meninggalkan lokasi bagi memberi tumpuan kepada mangsa lain yang mempunyai peluang lebih baik untuk selamat.

“Mereka memberitahu kami tiada harapan mangsa hidup ditemui di situ,” kata seorang wanita yang menangis ketika pasukan mencari meninggalkan lokasi tempat adik iparnya terperangkap.

Berpuluh-puluh anggota keluarga dan sanak saudara yang menunggu dengan penuh harapan terkejut selepas diberitahu mengenai berita itu.

Datuk Bandar, Bob Parker berkata, kira-kira 300 orang lagi masih hilang sehari selepas gempa bumi melanda tetapi tidak jelas bagaimana anggaran ini dibuat selepas hubungan antara keluarga, rakan dan pihak berkuasa terputus. – Reuters
Berita Harian Online

No comments: