Pages

Thursday, February 24, 2011

Sarang buaya di Pasir Gudang



Kolam buaya diasingkan mengikut peringkat umur di Santuari Buaya Tembaga, Pasir Gudang. – UTUSAN/Nasirruddin Yazid


JOHOR BAHRU 23 Feb. – Siapa sangka di sebalik deretan kilang di kawasan perindustrian Pasir Gudang, dekat sini terdapat sebuah tempat menempatkan spesies buaya paling besar dan ganas antara 23 spesies yang terdapat di dunia iaitu buaya tembaga.

Sarang Buaya atau turut dikenali sebagai Santuari Buaya Tembaga yang dibangunkan di dalam kawasan hutan paya bakau berhampiran Pelabuhan Tanjung Langsat, Pasir Gudang seluas 3.237 hektar itu mula didirikan pada 2008.

Tempat yang dibangunkan dengan kos RM2.9 juta merupakan satu-satunya santuari seumpama itu yang diwujudkan di negara ini dan ia mula dibuka kepada orang awam sejak Februari 2009.

Lebih menarik, Sarang Buaya yang merupakan produk eko-pelancongan baru di negeri ini memberi tumpuan kepada konsep pembelajaran, konservasi, rekreasi dan penyelidikan mengenai buaya tembaga kepada pengunjungnya.

Menurut pengurus pusat tersebut, Abdul Malek Ab. Aziz, kini terdapat sebanyak 144 ekor buaya tembaga pelbagai saiz dan warna ditempatkan di enam daripada 12 kolam yang dibina mengikut bentuk tapak kaki di situ.

Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun mengendalikan buaya memberitahu, di santuari buaya tembaga itu orang ramai dapat melalui pelbagai pengalaman menarik dan berbeza berbanding di lokasi lain.

“Pengunjung boleh melihat pelbagai aksi buaya ketika diberi makan, cara pemindahan buaya selain dibenarkan mengambil gambar bersama anak buaya sebagai kenang-kenangan,” katanya semasa ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Buaya tembaga yang hidup di dalam air masin dan tawar merupakan spesies buaya tempatan yang hampir pupus serta dilindungi sepenuhnya oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Buaya merupakan haiwan prasejarah yang telah wujud lebih 200 juta tahun. Daripada 23 spesies buaya di dunia, hanya dua spesies terdapat di Malaysia iaitu buaya tembaga dan jenjulung.

Mengulas lanjut, Abdul Malek yang juga pengasas pertunjukan manusia dan buaya di negara ini memberitahu, buaya-buaya yang diletakkan di dalam kolam di santuari itu dibeli daripada penternak yang berlesen di Muar.

“Buaya-buaya di sini diberi makan daging ayam dua kali setiap minggu bagi buaya dewasa dan seminggu sekali bagi anak buaya dan jangka hayatnya boleh mencecah sehingga 90 tahun,” katanya.

Ditanya bagaimana mula meminati dan mendampingi buaya, Abdul Malek memberitahu, beliau sememangnya seorang pencinta haiwan.

Semua ilmu yang diterima termasuk teknik-teknik untuk mengawal buaya dipelajari daripada seorang penternak buaya yang juga sifunya, Ng Chong Seng.

Dalam pada itu, beliau berkata, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) juga bakal memasukkan Sarang Buaya dalam pakej pelancongan Pasir Gudang sekali gus membantu mempergiatkan lagi promosi tempat tersebut.

“Malah, satu program dikenali sebagai Program Titian Kasih Yang Dipertua MPPG, A. Rahim Nin bakal diperkenalkan kepada semua sekolah di kawasan Pasir Gudang.

“Menerusi program ini, 40 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah terpilih akan dibawa melawat santuari ini dengan percuma sebagai satu tanggungjawab sosial korporat MPPG,” katanya.

Justeru, beliau mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke Sarang Buaya yang dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dengan bayaran RM4 untuk dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak.

Utusan Malaysia Online - Johor

No comments: