Pages

Monday, September 13, 2010

Islam dimusuhi dari segenap penjuru Oleh: Suhaimi Mokhtar



Selepas berakhirnya perang dingin antara Timur dan Barat, masing-masing diwakili Kesatuan Soviet ketika itu yang mewakili blok Timur dan komunisme, sementara blok Barat pula diwakili Amerika Syarikat (AS), mewakili blok kapitalisme dan pasaran terbuka bebas, fokus dunia berubah kepada kemunculan kebangkitan Islam di negara-negara umat Islam seluruh dunia.

AS begitu prihatin dengan kebangkitan Islam di negara umat Islam, lalu mengatur strategi dan dasar-dasar luarnya untuk menangani, menghalang dan membendung kebangkitan Islam yang bersifat universal, mengambil tempat di seluruh dunia. 

Polisi pertahanan AS juga berubah dari suasana perang dingin kepada realiti kebangkitan Islam yang dianggap AS dan sekutu barat sebagai ancaman kepada orde baru atau tata dunia baru yang mahu dilahirkan AS untuk mengawal dunia mengikut acuannya.

Semasa perang dingin, dasar-dasar luar dan pertahanan AS tertumpu bagi menghadapi blok Kesatuan Soviet yang juga membina sistem pertahanan canggih, yang kekuatannya sebanding AS.

Apabila tamat dan lenyapnya perang dingin, kekuatan ketenteraan AS dan barat dihadapkan kepada kebangkitan Islam dipelopori pergerakan Islam yang muncul dan lahir daripada ibu kandungnya, Ikhwanul Muslimoon di Mesir, setelah tamat pemerintahan Islam terakhir di Turki pada 1924.

Seluruh umat Islam yang beriman dan cintakan agamanya bernaung di bawah panji-panji pergerakan Islam, memakai pelbagai nama mengikut situasi setempat bagi menyelamatkan aqidah dan Islam yang menjadi panduan hidup mereka.

Islam kini dimusuhi dari segenap penjuru, bukan sahaja dari AS dan barat, tetapi juga dari bekas Kesatuan Soviet yang melihat kemunculan Pergerakan Islam adalah ancaman ketara, lebih-lebih lagi lahirnya pergerakan pemisah Islam di negara-negara bekas Soviet yang berpecah dan hancur bersama berakhirnya era Soviet.

Era Soviet diganti dengan era Rusia yang mengambil alih peranan Soviet dan Rusia mahu membina kembali kekuatannya dan mahu terus berperanan menggantikan Soviet untuk menjadi kuasa sebanding dan setanding AS dan sekutu baratnya.

Kekalnya Rusia yang mengganti Soviet sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mempunyai kuasa pembatal atau veto, Rusia mahu mengekalkan peranannya dalam mengatur tata dunia baru. Rusia tidak mahu hanya AS berperanan menentukan segala-galanya mengikut agendanya.

Di kalangan negara-negara yang suatu ketika dahulu berada dalam Kesatuan Soviet dan bloknya, Rusia terus mengekalkan pengaruh, mengkritik syarat, kehendak dan keperluan mengikut telunjuknya.

Kemasukan tentera Rusia di Georgia dalam perang singkat tidak lama dulu, menjadi bukti dan testimoni bahawa Rusia masih mengena dan mengekalkan kuasanya.

Rusia menghadapi kebangkitan Islam di beberapa bekas wilayahnya dan sedang menangani kebangkitan ini, menjadikan Rusia terlibat langsung dalam perang menentang keganasan atau “war on terror” yang dilancarkan Presiden Bush pada 2001 pada permulaan era kepresidenannya selama lapan tahun sehingga 2008.

Penglibatan Rusia bukan perkara baru kerana Kesatuan Soviet sebelumnya pernah menakluki Afghanistan dan meletakkan rejim boneka Najibullah, Babrak Karmal dan lain-lain sehinggalah Soviet keluar dari Kabul, kerana gagal mempertahan rejimnya dari asakan pejuang Mujahiddin, pimpinan beberapa tokoh seperti Burhanuddin Rabbani, Hikmatyer dan ramai lagi.

Kalau Soviet meletakkan rejimnya di Afghanistan, maka perkara yang sama dilaksanakan AS dan barat apabila selepas Pemerintahan Taliban yang tidak memenuhi acuannya, ditumbangkan dan digantikan dengan rejim bonekanya, Hamid Karzai di Afghanistan. 

Kini kebangkitan Islam ditentang dari segenap penjuru dunia kerana kebangkitan itu sendiri juga menyeluruh dan di segenap penjuru negara umat Islam. Dari penjuru AS dan sekutunya, Rusia dan lain-lain. Negara-negara ini adalah kuasa dunia dan mereka tidak ingin melihat kemunculan semula Islam yang pernah pada zaman kegemilangan tamadunnya menguasai tiga suku dunia.

Penentangan AS dan barat serta dari Timur (Rusia) telah meningkatkan kebangkitan umat Islam. Ia tidak meluntur dan memudarkan sedikit pun perjuangan, bahkan memberi rasa istiqamah berkekalan dalam kalangan pejuang dalam perjuangan.

Blok Barat dan Timur yang pernah berada dalam perang dingin, kini bersatu tenaga dalam kesatuan menentang habis-habisan kebangkitan Islam atas pretex perang menentang keganasan atau “war on terror”.

Bukan negara-negara kuasa ini sahaja yang menentang kebangkitan Islam, tetapi ia turut disempurnakan negara-negara umat Islam yang bersekongkol dengan negara-negara kuasa ini. Inilah realiti dihadapi Pergerakan Islam, sama ada mereka berjuang melalui peti undi pilihan raya demokratik atau mengangkat senjata.

Selagi perjuangan melalui saluran pilihan raya dibenarkan dan tidak terdapat penipuan dan penyelewengan, maka selagi itu saluran itu digunakan, tetapi apabila saluran itu ditutup seperti berlaku di sesetengah negara umat Islam, maka perjuangan Islam tiada pilihan lain.

Pemerintah memanggil diri mereka kerajaan negara-negara umat Islam turut menghalang kebangkitan Islam kerana mereka berpendirian, bahawa kebangkitan itu mengancam kepimpinan dan survival politik yang mereka nikmati.

Tetapi walaupun kebangkitan di hadang dari segenap penjuru, ia bukan melumpuhkan perjuangan bahkan menggerakkan kepada satu kekentalan tidak mengenal erti putus asa dan menyerah kalah.

Suasana kebangkitan inilah sedang wujud sekarang di negara-negara umat Islam yang menjadi kebimbangan kerajaan negara umat Islam. Mereka bimbang kekuatan kebangkitan ini kian meningkat hari demi hari, akhirnya tidak mampu dibendung lagi.


*Penulis ialah Perunding Media di Kuala Lumpur

No comments: