Pages

Tuesday, September 11, 2012

Lelaki Arab sorok monyet dalam seluar




         
NEW DELHI: Kastam India menahan seorang lelaki yang cuba menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa New Delhi bersama seekor monyet terancam disorok dalam seluar dalamnya, kata pegawai agensi itu, semalam.

Suspek berasal dari Emiriah Arab Bersatu kini ditahan bersama dua rakannya.


Menurut jurucakap kastam, suspek tiba dari Bangkok dan sepatutnya menaiki penerbangan Jet Airways ke Dubai. “Kastam mengesan monyet itu ketika membuat pemeriksaan badan,” katanya. Monyet berukuran 17 sentimeter itu - dikenali sebagai loris - hidup di India dan Asia Tenggara, dianggap mempunyai khasiat bagi menguatkan tenaga batin. Ia adalah spesies terancam di dunia. Seekor lagi monyet itu ditemui ditinggalkan dalam tong sampah lapangan terbang berkenaan. - AFP

Zionis terus serang Gaza




         
GAZA: Seorang kanak-kanak Palestin cedera berikutan empat serangan udara yang dilancarkan rejim Zionis.

Serangan itu turut mensasarkan pos polis di El Tufah, timur bandar Gaza.


Minggu lalu, enam rakyat Palestin maut dalam dua serangan tentera Zionis di wilayah itu. - Reuters

Bekas panglima tentera Mesir hadapi tindakan undang-undang




         
KAHERAH: Bekas Panglima Tentera Mesir, Fil Marsyal Hussein Tantawi dan timbalannya, Jeneral Sami Annan berdepan dengan tindakan undang-undang selepas 30 aduan difailkan terhadap mereka.

Satu sumber kehakiman berkata, aduan itu berkait dengan tindakan tentera menangani kebangkitan rakyat Mesir tahun lalu.


Sami juga berdepan dengan aduan tambahan yang menuduh dia memperoleh beberapa tapak bangunan berhampiran Kaherah secara tidak sah.

Peguam Negara, Abdel Meguid Mahmud akan menyerahkan aduan itu kepada pejabat pendakwa raya tentera yang akan memutuskan sama tindakan selanjutkan perlu diambil. — AFP

Brahimi mula tugas di Syria



 

Brahimi (kanan) dan Elaraby keluar dari Ibu Pejabat Liga Arab, di Kaherah selepas mengadakan sidang media.
Wakil PBB lawat Damsyik lancar proses pulih keamanan

Kaherah: Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab ke Syria, Lakhdar Brahimi, semalam berkata beliau akan melakukan lawatan pertama ke Damsyik sejak mengambil alih jawatan itu dalam masa beberapa hari lagi dan berharap untuk bertemu Presiden Bashar al-Assad.

Brahimi yang menggantikan Kofi Annan sebagai wakil antarabangsa bulan ini, memberitahu wartawan tugasnya amat sukar tetapi tidak berhak menolak apa yang perlu dilakukan untuk membantu rakyat Syria.
Bertemu pegawai, aktivis

Beliau membuat kenyataan sama mengenai misinya sejak dinamakan wakil baru. Annan menyalahkan kebuntuan dalam Majlis Keselamatan PBB kerana menggagalkan usahanya selama enam bulan yang membawa kepada peletakan jawatannya.

“Saya akan ke Damsyik dan bertemu pegawai serta aktivis persatuan sivil serta intelektual di Damsyik, dan Insya-Allah, juga di luar bandar raya itu,” kata Brahimi tetapi tidak memberikan tarikh tepat.

Ditanya jika beliau akan bertemu Presiden Syria, Brahimi berkata: “Saya berharap dapat menemuinya tetapi saya tidak dapat kata dengan pasti.”

Agensi berita MEHR memetik Timbalan Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, sebagai berkata, Brahimi akan melawat Tehran, berikutan perbualan telefon Sabtu lalu dengan Menteri Luar republik itu, Ali Akbar Salehi.

Bertemu penunjuk perasaan


Iran masih setia menyokong Bashar ketika beliau berusaha menghapuskan kebangkitan rakyat menentang pemerintahan keluarganya selama 42 tahun.
Tehran menuduh negara seperti Qatar, Arab Saudi dan Turki membantu pemberontak Syria.

Brahimi dan Ketua Liga Arab, Nabil Elaraby, bertemu penunjuk perasaan anti-Bashar di luar ibu pejabat liga itu di Kaherah.

Penunjuk perasaan menggesa Liga Arab dan negara lain melaksanakan zon larangan terbang di Syria, dan Elaraby membalas: “Kami tidak boleh buat demikian. Negara yang boleh melaksanakan zon larangan terbang di Syria tidak mahu berbuat demikian.” - Reuters

Ahli parlimen suka ponteng

Keadaan di Parlimen Indonesia yang  tidak penuh dengan anggota.Keadaan di Parlimen Indonesia yang tidak penuh dengan anggota.
Isteri disaran suruh penggubal undang-undang negara rajin kerja 

Jakarta: Pengerusi parti Demokratik Indonesia, Anas Urbaningrum menggesa isteri ahli penggubal undang-undang negara itu mengingatkan suami mereka supaya lebih rajin bekerja berikutan kedatangan anggota untuk menghadiri sidang dewan adalah rendah.


Beri ingatan
“Jika ada tanda-tanda suami anda mahu mengelak menghadiri tugas mereka di Dewan Perwakilan, beri ingatan kepada mereka (supaya pergi kerja),” kata Anas pada satu mesyuarat kelab Isteri Penggubal Undang-Undang Parti Demokrat semalam.

“Jika perlu, iringi mereka apabila mereka ke kawasan pilihan raya berikutan pilihan raya perundangan semakin hampir.”

Penggubal undang-undang Indonesia menjadi sasaran kritikan mengenai kekerapan mereka tidak hadir bersidang dan prestasi teruk ketika mesyuarat Dewan Perwakilan.


Sesi Dewan tak produktif


Kehadiran yang kurang menyumbang kepada sesi Dewan yang tidak produktif pada tahun ini selain menyebabkan sejumlah 38 rang undang-undang terhenti dalam perbincangan.
Selain itu, ketika satu mesyuarat berlangsung sempena memperingati ulang tahun 67 badan perundangan terbabit, hanya 350 daripada 560 ahli perundangan yang hadir. Pada masa sama, kebanyakan mereka yang hadir juga menyelinap keluar lebih awal.

Sebelum ini, ada pihak mencadangkan supaya dewan menggunakan sistem cap jari elektronik dipasang untuk mengambil kehadiran tetapi rancangan itu terkubur begitu saja berikutan bantahan kebanyakan ahli dewan.

Anas memberitahu kelab isteri ahli Parlimen bahawa pembabitan mereka adalah perlu untuk memastikan kejayaan Parti Demokratik. - Agensi

Al-Maliki mahu pecat TPM pula

Saleh al-MutlakSaleh al-Mutlak
Gara-gara dituduh lebih teruk daripada Saddam Hussein

Baghdad: Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki, turut berhasrat memecat Timbalan Perdana Menteri negara itu yang berfahaman Sunnah, Saleh al-Mutlak, kerana melabel beliau ‘lebih teruk daripada bekas Presiden Saddam Hussein.’

Perkembangan itu menyusuli hukuman mati yang dikeluarkan mahkamah Iraq terhadap Naib Presiden Tareq al-Hashemi. melanjutkan ketegangan politik di negara itu yang melumpuhkan kerajaan selama beberapa bulan selepas kematian lebih 100 orang dalam serangan di seluruh negara sejak dua hari lalu.
Hashemi yang berada di Turki, dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kelmarin kerana membunuh seorang peguam dan pegawai tentera berpangkat brigadier jeneral, dalam perbicaraan yang meliputi sebahagian daripada 150 dakwaan terhadap beliau dan pengawal peribadinya.

Tokoh politik berpengaruh Sunnah itu, dituduh membentuk skuad pembunuh, menolak sabitan dan hukuman berkenaan serta menolak kemungkinan kembali ke Iraq sehingga beliau dijamin selamat dan mendapat perbicaraan adil.

“Saya tidak akan kembali ke Iraq. Apa yang saya perlukan ialah jaminan keselamatan dan perbicaraan yang adil,” katanya pada sidang media di Ankara.


Sering bertelagah


Parti Iraqiya, blok dikuasai Sunnah yang turut dianggotai Hashemi dan sering bertelagah dengan al-Maliki, mengecam keputusan mahkamah itu dalam satu kenyataan semalam.
Hukuman dibuat atas dasar tiada keadilan, termasuk seksaan teruk ke atas tertuduh yang didedahkan. Cara perbicaraan dikendalikan sejak hari pertama mengukuhkan kepercayaan keputusan mahkamah khas bermotifkan politik dan sudah dijangka.

“Hukuman dijatuhkan tanpa kehadiran tertuduh dan dibayangi krisis keselamatan kompleks. Daripada menenangkan keadaan, parti politik melakukan penindasan. Amalan ini memuncak dalam penghakiman politik ke atas naib presiden negara itu,” kata kenyataan Iraqiya.

Iraq digegarkan dengan siri krisis politik yang bermula pertengahan Disember tahun lalu, walaupun keadaan lebih tenang sejak beberapa bulan lalu. - AFP

Hospital di India upah kaki pukul kawal keselamatan




DUA kaki pukul beruniform berkawal di hadapan pintu masuk ke wad di Hospital Deen Dayal Upadhyay di New Delhi pada 21 Ogos lalu.


NEW DELHI - Sebuah hospital di India mengupah sejumlah kaki pukul bagi mengelakkan kakitangannya daripada menjadi mangsa keganasan di tempat kerja.
Seorang kaki pukul berkenaan, Pradeep Kumar dan lebih 20 rakan sekerjanya bertugas mengawal wad kecemasan dan bersalin Hospital Deen Dayal Upadhyay (DDU) di sini.
Mereka akan memastikan saudara-mara dan rakan pesakit tidak memenuhi dan mengganggu ketenteraman di kedua-dua wad berkenaan.
"Orang ramai yang datang bersama pesakit yang mengalami trauma atau wanita mengandung mudah hilang sabar," kata Pradeep.
"Sebab itu, kami hanya membenarkan seorang pelawat untuk seorang pesakit di wad kecemasan," tambahnya.
Kumpulan kaki pukul itu melayan pelawat ke wad berkenaan dengan sopan tetapi wajah garang dan tubuh sasa mereka membuatkan orang ramai berfikir dua kali untuk tidak menghiraukan arahan lelaki-lelaki berkenaan.
"Mereka kelihatan ganas seperti watak dalam filem aksi," kata seorang bapa, Pawan Desai semasa membawa anak perempuannya yang berusia empat tahun ke DDU bagi merawat luka pada tangannya.
Pekerja hospital di India berdepan risiko bahaya dengan beribu-ribu serangan berlaku pada setiap tahun.
Kebanyakan serangan itu ekoran rasa tidak puas hati saudara-mara dan rakan pesakit.
Pada April lalu, beberapa rakan seorang pesakit di wad kecemasan DDU menumbuk muka seorang doktor dan mematahkan hidungnya sebelum mengamuk dengan bersenjatakan beberapa kayu hoki.
Mereka menghayunkan senjata itu terhadap staf perubatan dan memecahkan sejumlah tingkap, lampu dan perabut hospital berkenaan. - Agensi

Traktor berentap di Jerman




SEBUAH traktor yang diubah suai beraksi pada pertandingan traktor di bandar Fuechtorf, Jerman kelmarin.


FUECHTORF - Satu pertandingan traktor diadakan di sini, barat Jerman kelmarin.Dinamakan Tractor Pulling Euro Championships, acara tersebut disertai oleh 80 buah pasukan dari seluruh benua Eropah.
Pertandingan selama dua hari itu menyaksikan penyertaan pelbagai jenis traktor yang diubah suai dan berkuasa tinggi.
Traktor yang dapat menarik beban sejauh mungkin di atas trek sejauh 100 meter akan memenangi pertandingan tersebut. - Reuters

Mesir adakan pertemuan empat hala



UTUSAN PBB/Liga Arab, Lakhdar Brahimi (kiri) menemui Presiden Mesir, Mohammed Morsi di Kaherah semalam.


KAHERAH - Kementerian Luar Mesir semalam mengesahkan bahawa pihaknya menjadi penganjur pertemuan empat hala bagi menamatkan konflik di Syria selepas Iran bersetuju menyertai rundingan berkenaan.
Dalam satu kenyataannya, kementerian itu menyatakan, delegasi dari Turki, Iran dan Arab Saudi dijadualkan bertemu semalam bagi menangani situasi yang semakin buruk di Syria dan mengakhiri penderitaan rakyat Syria serta menamatkan pertumpahan darah melalui proses politik.
Pertemuan empat hala itu merupakan yang pertama melibatkan kumpulan hubungan di rantau Arab berhubung isu Syria.
Ia dicadangkan oleh Presiden Mesir yang baharu, Mohamed Morsi pada persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam di Arab Saudi.
Berlangsung pada Ogos lalu, persidangan tersebut membuat keputusan untuk menggantung keanggotaan Syria dalam organisasi berkenaan.
Pegawai Kementerian Luar Mesir, Nazih Al-Naggari dipetik sebagai berkata, para delegasi akan bertukar-tukar pendapat berhubung perkembangan tragis di Syria dan cara menamatkan pertumpahan darah serta mencapai aspirasi rakyat Syria.
Menurutnya, Mesir akan mengusahakan satu konsensus untuk segera menamatkan pembunuhan dan keganasan, mengekalkan penyatuan, kedaulatan dan integriti wilayah Syria di samping menolak campur tangan tentera asing di negara berkenaan.
Ia juga akan melancarkan proses politik dengan penyertaan daripada semua segmen masyarakat Syria.
Pada masa yang sama katanya, pertemuan itu turut menyokong usaha Arab dan antarabangsa bertujuan untuk menamatkan krisis di Syria termasuk misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) /Liga Arab yang diketuai oleh Lakhdar Brahimi.
Terdahulu, Kementerian Luar Iran dalam satu laporan menyatakan, Timbalan Menteri Luar, Hossein Amir Abdollahian telah meninggalkan Teheran menuju ke bandar raya ini bagi menyertai rundingan berkenaan.
"Penglibatan Iran dalam pertemuan ini adalah dalam rangka kerja untuk menyelesaikan krisis Syria dan mendengar usul Mesir," kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast.
Perkembangan tersebut berlaku ketika tentera rejim Presiden Bashar- Al Assad menguasai semula beberapa berek tentera di bandar raya Aleppo selepas berlaku pertempuran sengit selama beberapa hari dengan pemberontak.
"Tentera Syria kini menguasai sepenuhnya berek tentera Hanano selepas pertempuran tamat pada malam semalam," kata satu sumber kepada agensi berita AFP dari dalam berek berkenaan.
Pada Jumaat lalu, pejuang-pejuang pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria melancarkan serangan bertujuan untuk menawan pangkalan tentera berkenaan yang terletak di timur Aleppo.
Dalam pada itu, kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia menyatakan, lebih 23,000 nyawa melayang sejak rakyat Syria bangkit menentang Bashar pada Mac tahun lalu kerana menuntut pembaharuan demokrasi. - Agensi

Monday, September 10, 2012

Rohingya: Bosnia kedua?



FARAH ZAMIRA FARUSH KHAN
10 September 2012
Kaum Rohingya
Kaum Rohingya
GENAP 20 tahun lalu, seluruh dunia tergamam melihat kekejaman luar biasa di Bosnia Herzegovina.
Pergaduhan kaum di negara yang sebelum itu begitu aman menyaksikan lebih 100,000 orang Islam Bosnia dan penganut Katolik Croatia dibunuh oleh bangsa Serbia dari 1992 hingga 1995.
Pembersihan etnik dilakukan tentera Serbia, termasuk penahanan secara haram, pembunuhan, rogol, serangan seksual, penyeksaan, rompakan dan layanan tidak berperikemanusiaan.
Hari ini, masa seolah kembali berputar apabila dunia sekali lagi mendengar kekejaman serupa sedang berlaku, kali ini lebih hampir dengan negara kita.
Kaum minoriti Islam Rohingya di Myanmar menjadi mangsa kebencian mendalam di negara yang mempunyai kira-kira 135 etnik berbeza itu.
Sebenarnya masalah Rohingya ini bukan luar biasa.
Insiden terbaru ini sebahagian daripada kitar keganasan dihadapi mereka sejak puluhan tahun lalu.
Kali ini, gelombang keganasan bermula Jun lalu, selepas seorang wanita Buddha dikatakan dirogol dan dibunuh oleh tiga lelaki Muslim di Rakhine.
Sejak itu, kaum Rohingya dihalau, dibunuh, ditangkap dan dipaksa menjadi buruh serta dilabelkan sebagai ‘golongan yang tidak diingini’ oleh kepimpinan tertinggi negara itu.
Asas keganasan dalam kes Rohingya dan Bosnia Herzegovina adalah serupa, iaitu perbezaan bangsa dan agama dalam masyarakat yang menetap di sebuah negara yang sama.
Jauh daripada demokrasi Ketegangan antara kaum Rohingya, iaitu kumpulan penduduk berkulit gelap dan beragama Islam, dengan kaum Rakhine, penganut Buddha di Myanmar, telah wujud sejak ratusan tahun lalu. Ini kerana kaum Rohingya berasal dari keturunan Bangladesh dan Arab, dan kelihatan jauh berbeza dari segi rupa paras serta budaya.
Namun, di sebalik sejarah panjang penempatan Rohingya di Myanmar, kerajaan tentera tetap dengan pendirian mereka bahawa kaum Rohingya memasuki negara itu secara haram dan alasan itu digunakan untuk melakukan pembersihan etnik terhadap 800,000 orang Rohingya.
Rohingya juga dituduh mahu merampas tanah serta peluang perniagaan orang Myanmar serta cuba merampas kuasa melalui pertambahan populasi.
Apabila ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi dibebaskan kerajaan daripada tahanan rumah dua tahun lalu, ramai yang berkata ianya adalah titik perubahan Myanmar untuk menjadi lebih demokrasi.
Ia menunjukkan kerajaan dikuasai tentera yang selama ini tertutup pemikiran mereka, mula bersedia untuk memasuki arus kemodenan yang datang bersama hak asasi dan sikap bertamadun tinggi.
Nampaknya, ramai yang salah. Kerajaan bantu kekejaman Kini, sudah masuk tiga bulan, tetapi keganasan di sempadan Myanmar- Bangladesh masih berterusan. Badan hak asasi manusia Human Rights Watch melaporkan baru-baru ini, kerajaan Myanmar gagal mengambil langkah perlu bagi menghalang pertempuran antara dua kaum tersebut.
Presiden Myanmar, Thein Sein dalam pertemuan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian juga mengejutkan banyak pihak apabila berkata beliau sedia menghantar Rohingya ke negara lain kerana ‘kami tidak boleh menerima kaum ini’.
Walaupun kenyataan itu dianggap tidak patut dikeluarkan oleh seorang pemimpin, pendiriannya disokong kuat majoriti rakyat Myanmar, terutama golongan sami Buddha.
Belajar daripada sejarah Sudah jelas, pembunuhan orang Islam di Myanmar secara besar-besaran yang bukan pertama kali berlaku ini disokong malah dirancang oleh kerajaan negara itu.
Hanya usaha masyarakat antarabangsa dapat mengubah corak keganasan ini dan menghalang Rohingya menjadi Bosnia kedua.
Sementara itu, negara lain yang mempunyai masyarakat majmuk, seperti Malaysia, perlu belajar daripada sejarah dunia bagi memastikan perbezaan agama dan budaya tidak menjadi api yang membakar hangus masa depan negara.

Ribuan pelarian Syria terkandas di sempadan



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 September 2012
Fatima Abdallah
Fatima meriba Ahmed dan Bayan yang baru berumur empat hari di bangsal di Bab Al- Salameh yang menempatkan ribuan pelarian Syria.
BAB AL-SALAMEH - Fatima Abdallah, 29, selamat melahirkan bayi kembar tidak seiras di sebuah hospital di Turki, selepas berjaya menyelamatkan diri daripada menjadi korban pertempuran di Syria kira-kira dua minggu lalu.
Bagaimanapun, kegembiraan wanita tersebut hanya dapat dinikmati sementara berikutan larangan dikenakan Turki yang menyekat kemasukan pelarian Syria ke negara itu.
Dia kini terpaksa bersesak tinggal di dalam bangsal konkrit bersama kira-kira 5,000 pelarian yang menanti dengan penuh sabar untuk menyeberangi sempadan Bab Al-Salameh ke Turki.
Mereka juga berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan makanan dan keadaan tempat yang kotor serta tidak sempurna.
Seorang doktor yang dikenali sebagai Necmi menyatakan, kebanyakan kanak-kanak yang mendapatkan perlindungan di bangsal tersebut mudah diserang penyakit dan jangkitan kulit. 
"Walaupun mereka berjaya melarikan diri ke sempadan, kumpulan pelarian itu masih berhadapan kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih dan keperluan asas lain," katanya.
Difahamkan, ribuan pelarian Syria kini terkandas susulan daripada keputusan Ankara pada dua minggu lalu yang melarang kemasukan mereka sehingga kerajaan selesai membina dan menyiapkan kem tambahan.

Bekas Naib Presiden Iraq dihukum bunuh



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 September 2012
Tariq al-Hashemi
Tariq al-Hashemi
BAGHDAD - Bekas Naib Presiden Iraq, Tariq al-Hashemi yang melarikan diri dari negara itu, dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah berhubung tuduhan mengendalikan skuad bunuh, selain dikaitkan dengan kumpulan pengganas.
Mahkamah menjatuhkan hukuman tanpa kehadiran beliau.
Tariq merupakan pegawai paling kanan dari kalangan Muslim Sunnah dalam kerajaan Iraq.
Beliau didakwa Disember lalu.
Dakwaan ke atas beliau mencetuskan krisis politik di Iraq.
Laporan Associated Press memetik Tariq berkata, beliau enggan mengulas isu tersebut.
Beliau ditemui di Ankara selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Turki, Ahmet Davuroglu.
"Saya akan menangani isu dengan mengeluarkan kenyataan dalam waktu terdekat," kata beliau.
Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki dikecam hebat kerana mengeluarkan waran ke atas Tariq.

3,000 penduduk pindah selepas San Cristobal meletus tiga kali

MANAGUA (Nicaragua): Gunung berapi San Cristobal di negara ini semalam menggelegak dan meletus tiga kali memaksa 3,000 penduduk berpindah, kata pihak berkuasa.

Siaran televisyen menunjukkan asap tebal dan abu meluap dari kon gunung berapi yang tertinggi di Nicaragua dengan ketinggian 1,745 meter di timur laut negara itu. Agensi pertahanan awam berkata, ia menyediakan 50 trak dan 350 anggota bagi membantu penduduk sekiranya kecemasan berlaku, manakala Institut Kajian Wilayah Nicaragua atau INETER berkata, mereka menjangkakan lebih banyak “pengeluaran gas dan letupan sekali-sekala.” Terdapat beberapa perkampungan di cerun gunung berapi itu dan angin mampu menerbangkan asap daripada letupan ke sana, kata Pengarah Agensi Pencegahan Bencana Alam, William Gonzalez.


Menurutnya, pihak berkuasa mengarahkan kira-kira 3,000 orang yang tinggal di perkampungan di zon itu supaya berpindah.

Menurut kenyataan oleh INETER yang memantau aktiviti gunung berapi itu, debu menyelubungi bandar El Viejo, El Chonco, Villa 15 de Julio dan Rancheria.


San Cristobal yang terletak 135 kilometer di barat laut Managua adalah satu daripada gunung berapi paling aktif di negara itu.


Sejak Khamis lalu, apabila gempa bumi berukuran 7.6 magnitud melanda negara jiran Costa Rica dan turut dirasai di Nicaragua, INETER mula mengawasi beberapa gunung berapi aktif, bimbang gempa kuat itu mempunyai “impak terhadap pengaktifan” gunung berapi. Wanita pertama dan jurucakap kerajaan, Rosario Murillo berkata, beberapa pakar Amerika Syarikat menyatakan kepulan abu memuncak hingga 5,000 meter yang menandakan petunjuk kepada aktiviti lebih besar. - AFP

Mangsa gempa perlu bantuan



Pasukan menyelamat mencari penduduk yang terperangkap di bawah runtuhan akibat gempa bumi di daerah Yiliang, wilayah Yunnan, semalam. - AFP
BEIJING 9 Sept. - Kebanyakan mangsa yang terselamat dalam dua bencana gempa bumi di kawasan pergunungan barat daya China pada Jumaat lalu, kini amat memerlukan bantuan tambahan.
Situasi terdesak itu diburukkan lagi dengan gempa susulan terus berlaku sehingga mencetuskan kebimbangan kepada pasukan penyelamat untuk meneruskan operasi mencari mangsa-mangsa yang terperangkap.
Seorang pegawai di pekan Jiaokui di daerah Yiliang berkata, hampir kesemua 110,000 penduduk di pekan tersebut sudah dipindahkan, namun masih ramai yang tidak mempunyai tempat perlindungan.
Agensi berita Xinhua semalam melaporkan, lebih 11,000 unit khemah dan 8,500 jaket kulit dihantar ke Yiliang dan dijangka bantuan yang lebih banyak akan disalurkan dalam tempoh terdekat.
Sekurang-kurangnya 89 orang terbunuh dan lebih 820 cedera dalam dua gempa bumi itu di kawasan pergunungan di pedalaman sepanjang sempadan wilayah Guizhou dan Yunnan. - Agensi

7 calon pekerja terkorban dalam serangan bom kereta di Iraq




KIRKUK, Iraq 10 Sept. - Sekurang-kurangnya tujuh terkorban manakala 17 yang lain mengalami kecederaan dalam satu kejadian serangan bom kereta di ibu pejabat sebuah syarikat minyak di Iraq, semalam.

Menurut pihak berkuasa, bom tersebut meletup kira-kira jam 7.30 pagi (waktu tempatan) berdekatan tempat letak kereta di pintu belakang syarikat minyak tersebut kira-kira 15 kilometer daripada utara bandar Kirkuk.

Letupan tersebut mengorbankan tujuh individu yang sedang memohon pekerjaan sebagai pengawal di syarikat berkenaan serta menyebabkan 17 yang lain cedera. - AFP

17 terbunuh serangan bom kereta di Syria



AMMAN (Jordan): Letupan bom kereta memusnahkan bandar terbesar Syria, Aleppo dengan meragut sekurang-kurangnya 17 nyawa dan mencederakan 40 yang lain dalam pertempuran perang saudara di negara itu, pagi tadi.

Siaran televisyen Syria menyiarkan kenderaan pasukan bomba negara itu bertungkus lumus memadamkan api yang sedang marak, manakala pasukan penyelamat menggali kawasan runtuhan bagi mencari mangsa yang terselamat.

Gabenor Aleppo, Mohammed Wahid Akkad ketika dipetik agensi berita rasmi Syria, SANA, berkata 17 yang terbunuh terdiri daripada orang awam. - AP

Naib Presiden Iraq kena hukum gantung

PIHAK keselamatan persendirian Iraq menyiasat bangkai bom kereta di luar bangunan konsular Perancis di Nassiriya, semalam.
PIHAK keselamatan persendirian Iraq menyiasat bangkai
bom kereta di luar bangunan konsular Perancis di Nassiriya, semalam.

Baghdad: Sekurang-kurangnya 58 orang terbunuh dalam letupan bom dan serangan di 11 kota seluruh Iraq semalam termasuk satu bom kereta di luar bangunan konsular Perancis.

Memburukkan keadaan, mahkamah Iraq menghukum gantung Naib Presiden, Tareq al-Hashemi atas kesalahan membunuh. Hashemi menghadapi 150 tuduhan termasuk membunuh seorang brigadier jeneral dan peguam, tidak hadir ketika hakim mengumumkan keputusan.

Penyerang yang tidak diketahui identiti mereka menembak askar yang berkawal di pos tentera selain rekrut polis yang sedang berbaris memohon kerja.

Keganasan itu menyebabkan hampir 250 orang cedera.

Pemisah Sunnah dan al-Qaeda melancarkan beberapa serangan besar tahun ini dalam cubaan untuk meningkatkan ketegangan politik dan perkauman yang membawa negara itu hampir kepada perang saudara pada 2006-2007.

Serangan paling serius
Serangan paling serius berlaku tengah malam di Dujail, 50 kilometer ke utara Baghdad apabila lelaki bersenjata dan seorang pengebom memandu kereta serta menyerang sebuah pangkalan tentera membunuh 11 askar dan mencederakan tujuh lain, kata sumber polis.

Sebutir bom kereta meletup di luar bangunan konsular Perancis di bandar raya yang biasanya stabil, Sassiriya, 300 kilometer ke selatan Baghdad, mencederakan dua orang.

Bom kereta yang lain juga diletupkan di bandar raya terbabit membunuh dua orang dan mencederakan tiga yang lain.

Lebih ramai yang terbunuh dalam beberapa letupan di seluruh negara di bandar Kirkuk, Samarra, Basra dan Tuz Khurmato.

Militan Islam dan al-Qaeda

Kerajaan Iraq masih berhadapan dengan militan Islam dan al-Qaeda, sembilan bulan selepas tentera Amerika Syarikat meninggalkan negara itu.

Sayap tempatan al-Qaeda Iraq, Islamic State of Iraq mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan besar membabitkan pasukan keselamatan dan kejiranan Syiah.

Tetapi, bekas ahli parti Baathist Saddam Hussein dan kumpulan Islam Sunnah lain juga menentang kerajaan.

Tiada pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan Ahad.

Ketegangan di Iraq menimbulkan kebimbangan mengenai keganasan kembali merebak terutama ketika Iraq berhadapan dengan konflik yang meningkat di negara jiran, Syria.
Reuters/AFP

Lelaki Palestin parah diserang remaja Yahudi




         
BAITULMAQDIS: Pihak berkuasa Israel semalam menahan lima remaja Yahudi disyaki menyerang seorang penduduk Palestin di satu kawasan penempatan Yahudi di Baitulmaqdis, kata jurucakap polis.

Menurut Luba Samri, remaja terbabit mengaku melakukan serangan itu dan mendakwa menyangka mangsa cuba “mengambil kesempatan ke atas seorang remaja perempuan Yahudi.” Katanya, penahanan seorang daripada remaja itu dilanjutkan dua hari sebelum dihadapkan ke mahkamah hari ini. Kenyataan terdahulu mendakwa, hanya tiga remaja terbabit dalam keganasan berkenaan.


Mangsa, Ibrahim Abu Taa, 28, mendakwa dia dibelasah pada malam Rabu lalu ketika mengikut seorang rakan sekerjanya di Katamon, barat Baitulmaqdis Pekerja hotel itu berkata, dia diserang sebaik saja remaja terbabit menyedari dia berbangsa Arab. Dia terpaksa dirawat di hospital kerana patah kaki dan lebam di seluruh badan. Insiden terbaru itu berlaku beberapa hari selepas seorang remaja Palestin berusia 17 tahun dipukul pemuda Yahudi di tengah Baitulmaqdis. Sembilan penduduk Yahudi, termasuk lapan remaja, didakwa pihak berkuasa. - AFP

Penduduk Tebing Barat mahu PM berundur

RAMALLAH: Penduduk Palestin dari Kem Pelarian al-Amari di Tebing Barat membakar tayar, menghalang jalan dan melaungkan protes terhadap Perdana Menteri, Salam Fayyad, semalam.

Menurut wartawan, pendudk terbabit menuntut Salam supaya meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan dasar ekonomi kerajaannya.


Sebelum ini, Salam dikepung orang ramai di sebuah stesen radio tempatan yang menuntutnya meletak jawatan. Peningkatan harga barangan mencetuskan protes awam di seluruh Tebing Barat. Sementara itu, Presiden Mahmud Abbas berkata, tiada sebarang percanggahan di antara pihaknya dengan kerajaan. “Saya mengarahkan menteri berkenaan bertemu dengan wakil perniagaan, sektor swasta dan orang awam untuk membincangkan krisis ekonomi semasa,” katanya. Salam pula berikrar tidak akan berundur daripada jawatannya dan tetap fokus kepada tugasnya. “Saya tidak perlukan sebarang nasihat untuk berundur,” katanya. - AFP

Pikul meja ke sekolah




         
BEIJING: Perbezaannya ketara sekali. Terdapat penduduk China membina kekayaan yang sukar digambarkan dipaparkan dalam berita setiap hari.

Sementara itu, terdapat golongan papa kedana yang tiada kemudahan asas serta terpisah jauh daripada lampu bergemerlapan di Beijing mahupun Shanghai. Di kawasan miskin di Macheng, bandar raya di wilayah Hubei di timur laut China, kelas di dalam sekolah rendah tidak mempunyai meja. Kanak-kanak terpaksa membawa perabot mereka sendiri ke sekolah, lapor akhbar China Daily. Changjiang Times pula melaporkan lebih 3,000 murid sekolah rendah di Shunhe, kawasan perbandaran di bandar raya itu terpaksa membawa meja dan kerusi dari kediaman mereka ke sekolah dengan bantuan ibu bapa ekoran kekurangan perabot.


Akhbar itu turut melaporkan kisah Wang Ziyi, kanak-kanak berusia lima tahun yang membawa meja berusia 24 tahun ke sekolah. Datuknya memberitahu akhbar terbabit, meja berkenaan telah digunakan oleh bapa, bapa saudara dan ibu saudara kanak-kanak itu. Selepas kisah itu tersiar, pegawai pendidikan di kawasan berkenaan diminta untuk menggunakan wang mereka sendiri bagi menyediakan meja dan kerusi di sekolah itu.

Pegawai terbabit berjaya memperoleh wang secukupnya untuk membeli 100 meja dan kerusi, menurut pegawai publisiti bandar raya itu, Ruan Jing. - DM