Pejuang luar sertai pemberontak Syria
Serangan balas di antara pemberontak Syria dan tentera kerajaan menyebabkan ribuan penduduk menjadi pelarian.
DAMSYIK - Kumpulan pemberontak di bandar terbesar Syria, Aleppo mengakui kini berhadapan tentangan hebat daripada rakyat tetapi memaklumkan tindakan serangan ke atas bandar-bandar dalam negara itu untuk menjatuhkan Presiden Bashar Al-Assad dibantu oleh pejuang asing.

Menurut pemberontak, sukar bagi mereka menentang tentera kerajaan terutama sekali apabila terpaksa menyerang beberapa kawasan kejiranan miskin dan menubuhkan pangkalan.

Kumpulan aktivis memberitahu, serangan bertalu-talu termasuk tembakan dengan helikopter setakat kelmarin, mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang yang sedang berlindung di kejiranan Kfar Souseh, Daraya, Qadam dan Nahr Aisha.

"Keseluruhan Damsyik kini bergegar dengan bunyi tembakan dan bedilan bom dari arah darat dan udara," kata seorang wanita di Kfar Souseh.

Dia yang enggan memberitahu nama berkata, kumpulan tentera kerajaan turut melepaskan tembakan ke arah ibu kota dari Qasioun dan pergunungan Saraya.

Serangan berterusan di Damsyik itu berlaku seiring dengan pemergian kumpulan pemerhati Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang meninggalkan negara selepas gagal melakukan gencatan senjata.

Setakat ini, seramai 170,000 penduduk Syria menjadi pelarian selain PBB percaya angka sebenar lebih daripada itu .

Sebuah sekolah di pinggir Aleppo turut dijadikan tempat perlindungan kepada lebih 500 penduduk yang melarikan diri.