Kanak-kanak, wanita dibunuh kejam
Seorang penyerang (tengah) yang bersenjatakan lembing dan busur panah berjaya diberkas penduduk etnik Orma.
MOMBASA - Gara-gara merebut sumber air dan tanah untuk ternakan, sekurang-kurangnya 48 wanita termasuk 11 kanak-kanak dibunuh kejam oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang, lembing dan senjata api di tenggara Kenya, kelmarin.

Menurut ketua polis daerah Sungai Tana, Joseph Kavoo, serangan dalam Reketa wilayah Tarassa itu tercetus selepas kumpulan peladang dan penternak bertegang urat merebut kawasan pertanian mereka.

"Mereka memasuki beberapa kediaman kemudian mengelar, menikam dan menembak mangsa-mangsa yang keseluruhannya kanak-kanak dan wanita," kata Joseph.

Serangan dua etnik itu adalah yang terburuk di Kenya  sejak tercetusnya keganasan pilihan raya empat tahun lalu.

Saksi kejadian berkata, serangan bermotifkan dendam itu bermula pada waktu subuh apabila sekumpulan 200 lelaki daripada etnik peladang Pokomo menyerbu kampung dalam Reketa dan membakar rumah etnik gembala Orma.

Kes kecurian lembu, pergaduhan merebut kawasan padang ragut dan ladang serta sumber air adalah perkara biasa dalam dua komuniti yang menghuni timur Afrika.