Pages

Tuesday, August 28, 2012

Bangladesh tidak akan tarik balik sekatan



Gambar bertarikh Jun lalu merakamkan sebahagian penduduk Rohingya membawa barangan mereka ketika meninggalkan kediaman masing-masing bagi mencari perlindungan daripada keganasan etnik dan agama di Sittwe, ibu negara Rakhine. - AFP
DHAKA 27 Ogos - Timbalan Pesuruhjaya daerah Cox's Bazar, Joynul Bari berkata, Bangladesh tidak akan menarik balik keputusannya mengantung operasi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyalurkan bantuan kepada pelarian Rohingya di negara ini.
Kenyataan itu dibuat ketika Bangladesh menerima kecaman hebat daripada kumpulan hak asasi manusia antarabangsa berhubung layanan negara ini terhadap pelarian itu.
Human Rights Watch (HRW) yang beribu pejabat di New York pada minggu lalu menggesa kerajaan Bangladesh menghentikan segera sekatan ke atas NGO yang menyediakan bantuan kemanusiaan kepada lebih 200,000 pelarian Rohingya di negara ini.
Pengarah bagi program pelarian HRW, Bill Frelick dalam kenyataannya menyifatkan sekatan itu sebagai tindakan kejam.
Tiga NGO terlibat adalah Pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan, Pasukan Tindakan Menentang Kelaparan (ACF) dan Badan Bantuan Islam United Kingdom.
Menurut kerajaan, kira-kira 300,000 etnik Rohingya berada di negara ini dengan kebanyakan mereka berada di daerah Cox's Bazar selepas melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.
Sementara itu, agensi bantuan tempatan berkata, mereka akan menyalurkan bantuan kepada pelarian Rohingya jika mereka mendapat kebenaran daripada kerajaan.
"Bagi saya bantuan kepada pelarian Rohingya adalah penting. Mereka perlu ada pilihan untuk memperbaiki hidup.
"Seseorang perlu berjuang untuk mereka, tetapi tiada sesiapa yang mahu membuat kerajaan marah berhubung isu itu," kata koordinator Forum Kemajuan Komuniti, S. Lolcheo.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah mahkamah di Myanmar menjatuhkan hukuman penjara ke atas dua kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana didapati terlibat dalam keganasan etnik di barat negara itu pada Jun lalu.
Seorang jurucakap PBB yang beribu pejabat di Myanmar, Aye Win berkata, hukuman itu dijatuhkan Jumaat lalu di Maungdaw, negeri Rakhine.
Seorang daripada mereka adalah kakitangan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan seorang lagi staf Program Makanan Sedunia (WFP).
Jurucakap PBB di Bangkok, Vivian Tan menyifatkan hukuman itu 'sangat mengecewakan'. - AGENSI

No comments: