Pages

Saturday, June 16, 2012

52 maut pertempuran, pengeboman di Syria

DAMSYIK 15 Jun - Sekurang-kurangnya 52 maut dalam pertempuran dan pengeboman di seluruh Syria semalam ketika aktivis meneruskan gesaan untuk melancarkan protes bagi menentang Presiden Bashar al-Assad.
Seramai 14 orang turut cedera apabila seorang pengebom berani mati meletupkan sebuah kereta berhampiran makam Syiah di ibu negara Damsyik.
Satu lagi letupan kereta berlaku di bandar Idlib, barat laut negara menyebabkan beberapa anggota tentera terbunuh dan cedera, menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Pertubuhan itu berkata, lebih 14,100 kebanyakannya orang awam, terbunuh sejak tercetusnya kebangkitan rakyat di Syria pada 15 Mac tahun lalu dengan lebih 2,302 dilaporkan maut untuk bulan lepas sahaja.
Agensi berita rasmi SANA melaporkan, sebuah kereta yang diletakkan di sebuah garaj, kira-kira 50 meter dari sebuah makam penting Syiah, meletup di ibu negara Damsyik semalam dan menyebabkan kerosakan besar.
Sementara itu, Amnesty International menuduh rejim Syria melakukan jenayah kemanusiaan dengan menghukum mereka yang menyokong pemberontak.
Amnesty turut meminta masyarakat antarabangsa bertindak selepas menyatakan memperoleh bukti baru yang menunjukkan mangsa termasuk kanak-kanak, diheret keluar dari kediaman mereka sebelum ditembak mati oleh tentera rejim.
"Bukti baru ini menunjukkan berlaku jenayah kemanusiaan besar-besaran dan perlunya masyarakat antarabangsa bertindak," kata penasihat kanan Amnesty, Donatella Rovera ketika menerbitkan laporan setebal 70 muka surat yang bertajuk Deadly Reprisals.
Kumpulan itu telah menemubual penduduk awam di 23 bandar serta perkampungan di Syria dan merumuskan bahawa tentera kerajaan dan militia bersalah kerana mencabul hak asasi manusia serta melakukan jenayah kemanusiaan. - AFP

No comments: