Pages

Monday, February 13, 2012

Salji di Eropah, berpuluh ribu terperangkap

BELGRADE, Serbia 12 Feb. - Berpuluh ribu penduduk di beberapa kampung terperangkap dalam kediaman masing-masing selepas salji turun dengan lebat, sekali gus menyebabkan angka kematian akibat cuaca sejuk melampau di Eropah meningkat sehingga 550, semalam.
Serbia mencatat tiga kematian, sementara lapan lagi maut di Romania, menjadikan angka korban akibat cuaca sejuk di negara itu meningkat kepada 65 orang, sementara satu korban masing-masing di Republik Czech dan Austria, semalam.
Bekalan elektrik di sekitar bandar raya ini terpaksa dihadkan berikutan kerisauan terputus bekalan, menyebabkan semua syarikat terpaksa meminimumkan operasi mereka.
Kerajaan Serbia juga terpaksa mengisytiharkan cuti umum kelmarin, sebagai tambahan kepada cuti umum negara ini pada hari Rabu dan Khamis.
Salji turun dengan lebat di beberapa negara dan pihak berkuasa menganggarkan lebih 110,000 penduduk di negara-negara Balkan terputus hubungan, termasuk 60,000 di Montenegro dan 30,000 di Romania.
Ibu negara Montegnegro, Podgorica diselimuti salji setebal 50 sentimeter, rekod dalam tempoh 50 tahun, menyebabkan lapangan terbang ditutup dan perkhidmatan kereta api ke Serbia tergendala.
Sungai Danube, Bulgaria ditutup bagi laluan pengangkutan air sejauh beberapa ratus kilometer kerana membeku, kali pertama berlaku dalam tempoh 27 tahun.
Jurucakap bomba Poland, Pawel Fratcak semalam berkata, beberapa buah rumah dan apartmen terbakar berikutan alat pemanas yang rosak menyebabkan lapan terbunuh malam kelmarin dan tiga malam sebelumnya.
Beberapa tempat mencatat suhu terendah termasuk perkampungan Kvilda di Republik Czech iaitu -39 darjah celsius dan beberapa kawasan di Switzerland dengan suhu -23 darjah celsius. - AFP

No comments: