Pages

Monday, February 13, 2012

Usaha baru tekan Syria


GAMBAR yang dikeluarkan agensi berita Syria (SANA) merakamkan pasukan keselamatan Syria memeriksa bangunan perisikan tentera yang rosak teruk dalam serangan bom di utara bandar Aleppo, pada 10 Februari lalu. Dua letupan bom disasarkan ke atas kawasan keselamatan di bandar itu Jumaat lalu menyebabkan beberapa orang cedera, lapor SANA. - AGENSI


NEW YORK 12 Feb. - Negara-negara Arab dan Barat dijadual melancarkan usaha baru di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu ini bagi mengenakan tekanan ke atas Presiden Syria, Bashar al-Assad supaya melepaskan kuasa.
Usaha tersebut dijangka mencetuskan semula perbalahan diplomatik antara sahabat dan musuh Assad dalam badan dunia itu.
Arab Saudi dan Qatar telah merangka draf resolusi yang menyokong pelan Liga Arab bagi menamatkan pertumpahan darah di Syria sejak 11 bulan lalu, dan pengundian mengenai draf itu mungkin diadakan pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada lewat minggu ini.
Usaha itu menyusuli tindakan Rusia dan China menggunakan kuasa veto masing-masing untuk menyekat resolusi yang hampir sama di Majlis Keselamatan PBB.
Kedua-dua kuasa besar itu dijangka menentang resolusi baru tersebut tetapi tiada pihak yang boleh veto resolusi di UNGA, meskipun resolusi yang diluluskan oleh UNGA tidak mempunyai kekuatan sama seperti resolusi yang diluluskan pada mesyuarat Majlis Keselamatan.
Sebelum draf resolusi baru dibentangkan, ketua agensi hak asasi manusia PBB, Navi Pillay akan memberi taklimat mengenai Syria kepada UNGA, esok.
Sidang UNGA itu diadakan atas permintaan Presidennya, Nassir Abdulaziz Al-Nasser, dari Qatar.
Pillay tidak lagi menyimpan rekod angka kematian di Syria kerana beliau menganggap maklumat tepat tidak boleh didapati lagi, tetapi kumpulan aktivis Syria mendakwa lebih 6,000 orang telah terkorban sejak protes meletus pada Mac lalu.
Draf resolusi yang dirangka oleh Arab Saudi dan Qatar itu 'menyokong penuh' pelan untuk Syria yang dipersetujui oleh Liga Arab pada bulan lepas, menuntut Assad menyerahkan kuasa kepada timbalannya supaya pilihan raya dapat diadakan.
Ia mengutuk keganasan oleh semua pihak di Syria tetapi khususnya menggesa kerajaan Assad 'supaya segera menghentikan segala pencabulan hak asasi manusia dan serangan ke atas penduduk awam'. - AFP

No comments: