Pages

Wednesday, September 21, 2011

Banon mahu seret Strauss-Kahn ke mahkamah




Tristane Banon


PARIS 20 Sept. - Penulis Perancis yang mendakwa Dominique Strauss-Kahn cuba merogolnya pada 2003, semalam berikrar untuk mengemukakan kes sivil terhadap bekas ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) itu jika tiada pendakwaan kes jenayah difailkan.
Tristane Banon, 32, bercakap dalam siaran televisyen waktu perdana sehari selepas Strauss-Kahn diwawancara buat kali pertama berhubung dakwaan beliau melakukan serangan seksual terhadap seorang pekerja hotel di New York pada Mei lalu.
Strauss-Kahn dalam wawancara itu memberitahu lebih 13 juta penonton beliau tidak menyerang Banon atau cuba merogol pengemas bilik hotel, Nafissatou Diallo.
Polis Perancis masih menyiasat dakwaan Banon bahawa lapan tahun lalu, Strauss-Kahn memanggilnya ke sebuah pangsapuri, mengunci pintu dan cuba merogolnya.
"Saya akan mengemukakan kes sivil," kata Banon kepada stesen swasta Canal+, juga dalam wawancara pertamanya di televisyen sejak skandal itu didedahkan.
Pendakwa raya Paris belum memutuskan sama ada hendak mendakwa Strauss-Kahn berhubung kes Banon itu, tetapi pemerhati undang-undang di sini berpendapat kes itu sukar dibuktikan kerana insiden berlaku lapan tahun lalu dan tidak ada lagi bukti fizikal.
Di New York, pendakwa raya sudah menggugurkan dakwaan terhadap Strauss-Kahn selepas memutuskan kenyataan Diallo tidak boleh dipercayai, meskipun beliau masih menghadapi kes sivil berhubung dakwaan itu.
Strauss-Kahn, 62, dibebaskan dari tahanan di rumah di New York dan dibenarkan pulang ke Perancis pada 4 September lalu.
Kelmarin, semasa wawancara televisyen yang dikendalikan oleh seorang rakan isterinya, Strauss-Kahn mendakwa insiden yang berlaku antara beliau dengan pekerja hotel itu adalah 'kesilapan moral' dan bukan percubaan untuk merogol.
Beliau juga tidak menafikan berlaku insiden dengan Banon tetapi berkata, dalam pertemuan itu tidak ada serangan atau kekerasan, sebaliknya versi yang dilaporkan adalah khayalan dan berunsur fitnah. - AFP

No comments: