Pages

Saturday, July 23, 2011

Tanggapan negatif Barat-Islam masih berleluasa

TINJAUAN PEW
WASHINGTON: Tanggapan berkaitan hubungan Islam-Barat kini lebih positif di Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman dan Russia berbanding lima tahun lalu.

Namun, tinjauan Pusat Kajian Pew mendapati tanggapan negatif di antara negara Barat dengan Islam masih berleluasa.

Pusat Kajian Pew dilancarkan pada 2001 dengan tujuan memahami isu pertembungan agama dan ehwal awam.

Tinjauan terbaru ini dijalankan di antara lewat Mac dan pertengahan Mei lalu.

Hasil tinjauan itu antara lain mendapati majoriti penduduk Islam di wilayah Palestin dan di lima daripada enam negara Islam yang ditinjau, menyifatkan penduduk bukan Islam di negara Barat sebagai pentingkan diri sendiri dan tamak.

Di kesemua enam negara Barat yang ditinjau, kurang daripada 30 peratus daripada penduduk bukan Islam akur penganut Islam menghormati kaum wanita.

Kurang separuh daripada penduduk Islam di lima negara Islam yang ditinjau pula berkata penduduk Barat menghormati kaum wanita.

Selang 10 tahun selepas serangan 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat, penduduk Islam di Timur Tengah dan Asia serta penduduk bukan Islam di Eropah masing-masing masih melahirkan kebimbangan berkaitan pelampau Islam.

Majoriti penduduk Islam yang diwawancara di negara-negara Islam berkata hubungan dengan penduduk bukan Islam di negara Barat kini buruk.

Namun, para penduduk negara Barat percaya hubungan itu lebih baik berbanding lima tahun lalu.

Menurut Encik John Esposito, pengasas Pusat Putera Alwaleed Bin Talal bagi Pemahaman Islam-Kristian, di Universiti Georgetown, Washington, pandangan negatif di kalangan penduduk Dunia Islam mencerminkan kekecewaan mereka terhadap janji Presiden Barack Obama, akan memperbaiki hubungan Islam-Amerika semasa berucap di Kahirah tahun lalu.

'Mereka tidak dapat melihat perbezaan pendirian di antara pentadbiran Obama dengan (mantan Presiden Amerika George W.) Bush,' kata Encik Esposito.

Kajian Pew turut mendapati penduduk Sepanyol mempunyai tanggapan paling negatif terhadap penduduk Islam, berbanding negara Eropah lain.

Hanya sepertiga daripada responden yang diwawancara di Sepanyol mempunyai tanggapan positif terhadap golongan Muslim, dengan lebih separuh daripada mereka melahirkan tanggapan negatif. -- AP.

Cyberita Online Luar Negara

No comments: