Pages

Saturday, July 23, 2011

Apa dosa anak disimbah asid?



JIRAN mangsa simbah asid, Rohaisha Hanafi  menunjukkan tempat  kejadian yang menimpa Shafiq Aiman dan Shafiq Haikal, semalam.
JIRAN mangsa simbah asid, Rohaisha Hanafi menunjukkan tempat kejadian yang menimpa Shafiq Aiman dan Shafiq Haikal, semalam.

Ibu merintih, minta polis ambil tindakan tegas perlakuan lelaki kejam

MARAN: "Apa dosa mereka sehingga diperlakukan sedemikian?" kata Rohashima Julaili Mansor, selepas dua anaknya masing-masing berusia 10 dan 13 tahun yang dalam perjalanan pulang mengaji al-Quran parah disimbah asid oleh seorang lelaki yang dipercayai jirannya, malam Rabu lalu.
Ibu kepada Shafiq Aiman Mat Safar Zaidi, 10, dan abangnya, Shafiq Haikal ketika dihubungi berkata, beliau sama sekali tidak menduga kejadian malang itu menimpa anaknya yang tidak berdosa.
Beliau juga kesal dan sedih dengan kejadian itu kerana anaknya itu tidak melakukan kesalahan dengan sesiapa, apa lagi bermasalah dengan orang dewasa.

Katanya, pihak Hospital Kuala Lumpur masih belum memaklumkan keadaan sebenar keadaan anaknya tetapi diberitahu kedua-duanya masih belum boleh membuka mata.

“Saya harap polis mengambil tindakan tegas bagi memastikan kejadian sebegini tidak berulang pada masa akan datang,” katanya yang bergegas dari Kuala Krau, Temerloh sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Dalam kejadian Rabu lalu, kedua-dua beradik terbabit mengalami kecederaan parah pada muka dan badan selepas disimbah sejenis cecair dipercayai cuka getah oleh seorang lelaki berdekatan rumah mereka di FELDA Jengka 9, pada jam 8.30 malam.
Kedua-dua mangsa yang meraung kesakitan dibawa ke Hospital Jengka sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur dalam keadaan masih `berasap'.

Rohashima berkata, keluarganya masih menunggu laporan kesihatan dari hospital dan amat memerlukan ihsan orang ramai jika terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi rawatan susulannya.

Sementara itu, ibu saudara kepada mangsa dua beradik itu, Zafrida Che Sam, 34, berharap kedua-duanya akan pulih dan boleh bersekolah seperti biasa.

“Kedua-duanya adalah pelajar pintar dan aktif di sekolah malah mereka menjadi cucu kesayangan ibu bapa saya iaitu Che Sam Abu, 62, dan Zainab Bulat, 60,” katanya yang ditemui di rumahnya.

Shafiq Haikal, yang juga anak sulung daripada empat beradik itu belajar di Tingkatan Satu Sekolah Menengah Jengka 12, dan Shafiq Aiman, anak kedua belajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan FELDA Jengka 9.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Datuk Mazlan Mohamad, berkata kedua-dua mangsa terbabit akan dibenarkan meneruskan pengajian melalui program Sekolah Dalam Hospital (SDH) bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran.
Berita Harian Online | Apa dosa anak disimbah asid?

No comments: