Pages

Saturday, July 23, 2011

Ditembak dalam rumah

KEPONG: Seorang peniaga berusia 41 tahun parah apabila terkena sedas tembakan yang dilepaskan seorang daripada dua lelaki bersenjata pistol dalam kejadian di rumahnya di Taman Pelangi, Kepong Baru, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Liau Chee Kock, 41, dan isterinya, Tan Kim Yoke, 44, berada dalam rumah berkenaan apabila tiba-tiba mendapati dua lelaki tidak dikenali turut berada dalam rumah mereka.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dua suspek terbabit dikesan memasuki rumah mangsa dengan cara mengumpil jeriji pintu hadapan rumah itu.

“Sebaik berjaya masuk, seorang daripada mereka mengacukan pistol ke arah pasangan suami isteri itu. Tersentak dengan kejadian, pasangan terbabit melarikan diri ke tingkat atas rumah sebelum menyembunyikan diri dalam bilik utama.


“Kira-kira lima minit kemudian mangsa yang berasakan suspek sudah meninggalkan rumahnya keluar dari bilik untuk mendapatkan bantuan, namun tindakannya mengundang padah apabila suspek yang menunggu di luar bilik terus melepaskan tembakan,” katanya.


Zakaria berkata, tembakan itu tepat mengenai belakang badan mangsa sebelum dia terjatuh.

“Menyedari mangsa terkena tembakan, dua suspek terbabit kemudian meninggalkan kawasan berkenaan dengan menaiki sebuah kereta Proton Iswara berwarna putih yang diletakkan berhampiran kawasan berkenaan sebelum isteri mangsa menghubungi polis. “Sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum mangsa dihantar ke Hospital Selayang (HS) untuk rawatan lanjut,” katanya.


Katanya, sehingga kini, polis masih belum mengenalpasti motif sebenar kejadian dan sedang meneliti latar belakang mangsa.

“Sebaik mengenal pasti latar belakang mangsa, polis akan mengklasifikasikan kes ini sama ada bermotifkan dendam atau samun,” katanya yang memberitahu keadaan mangsa kritikal.


Zakaria berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil memberikan maklumat kepada pihak polis dan identiti pemberi maklumat akan dijamin keselamatan mereka.

myMetro | Ditembak dalam rumah

No comments: