Pages

Wednesday, July 6, 2011

Polis diberi kuasa arah buka burqa



Pengharaman pemakaian burqa menjadi perdebatan di beberapa buah negara Barat. Pertubuhan Islam membantah tindakan mengharamkan pemakaian burqa di beberapa negara Barat. - Agensi


SYDNEY 5 Julai - Polis New South Wales, Australia diberikan kuasa mengarahkan seseorang membuka atau menanggalkan burqa, tudung dan penutup muka lain bagi membolehkan polis memeriksa identiti mereka yang disyaki melakukan jenayah.

Ketua Menteri, Barry O'Farrel berkata, polis dibenarkan mengambil tindakan mengarahkan seseorang itu menunjukkan identiti mereka, sama ada ketika itu memakai topi keledar, burqa, purdah atau apa sahaja penutup muka lain.

Katanya, mereka yang enggan menunjukkan muka mereka boleh dipenjarakan sehingga setahun atau didenda AUS$5,500 (RM17,711).

Kerajaan negeri itu meluluskan tindakan tersebut, semalam selepas kes seorang hakim membebaskan seorang wanita kerana identitinya tidak boleh dikenal pasti kerana memakai burqa.

Pada November lalu, Carnita Matthews dikenakan hukuman penjara enam bulan kerana membuat dakwaan palsu iaitu polis cuba memaksa dia membuka burqa yang dipakainya ketika memandu apabila dia ditahan kerana melakukan kesalahan trafik.

Hukumannya itu dibatalkan pada bulan lepas apabila seorang majistret menyatakan beliau tidak dapat memastikan 100 peratus bahawa Matthews merupakan pengadu aduan palsu itu kerana pegawai polis terbabit tidak dapat mengenal pasti muka pengadu tersebut.

O'Farrel berkata, kuasa baru itu akan membantu mengelak berulangnya kes berkenaan.

''Saya menghormati pelbagai agama dan kepercayaan tetapi apabila melibatkan penguatkuasaan undang-undang, polis perlu diberikan kuasa untuk memeriksa identiti seseorang sepenuhnya,'' ujarnya.

Polis sebelum ini diberikan kuasa untuk meminta wanita membuka purdah ketika siasatan jenayah berat tetapi tidak dalam pemeriksaan biasa.

Majlis Agama Islam New South Wales menyatakan pihaknya menerima keputusan tersebut.

Persatuan Wanita Islam menyatakan pihaknya mahu pegawai polis wanita turut serta ketika purdah diarahkan dibuka bagi mengelak sebarang aduan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: