Pages

Wednesday, July 6, 2011

Gaddafi beri syarat serah kuasa


Saif al-Islam (kiri) dan  Muammar Gaddafi.
Saif al-Islam (kiri) dan Muammar Gaddafi.

Pemimpin Libya mahu jaminan keselamatan, anak bertanding pilihan raya

MOSCOW: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi bersedia menyerahkan kuasanya, sebagai pertukaran kepada jaminan keselamatan beliau, kata pegawai tinggi kerajaan Russia yang dipetik akhbar utama negara itu, Kommersant.
Akhbar itu menyiarkan laporannya sehari selepas ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Anders Fogh Rasmussen, mengadakan perbincangan dengan Presiden Russia, Dmitry Medvedev dan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma mengenai cara menamatkan perang Libya di bandar peranginan Laut Hitam, Sochi.
“Gaddafi sudah memberi isyarat beliau bersedia menyerahkan kuasa sebagai pertukaran jaminan keselamatannya,” kata akhbar terbabit ketika memetik kenyataan pegawai kanan Russia yang namanya tidak didedahkan.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu sehari selepas Rasmussen dan Medvedev dikatakan bertelagah mengenai isu Libya, selepas beliau menggesa gencatan senjata disegerakan, manakala NATO mahukan jaminan dari Tripoli sebelum langkah itu boleh diambil.

Pegawai itu berkata, Perancis sudah menyatakan kesediaan memainkan peranan dalam usaha mencairkan sebahagian akaun keluarga Gaddafi dan membantu beliau daripada dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague.

Kommersant juga melaporkan Gaddafi mahu anaknya Saif al-Islam dibenarkan bertanding dalam pilihan raya jika beliau meletak jawatan, syarat yang mungkin ditolak pemberontak.
Kerajaan Libya kelmarin berkata ia sedang mengadakan perbincangan dengan tokoh pembangkang, tetapi tiada persetujuan dicapai mengenai masa depan Gaddafi.

Saif al-Islam sebelum itu memberitahu akhbar Perancis, tiada persoalan untuk mengakhiri pemerintahan bapanya sejak 42 tahun lalu, manakala Majlis Peralihan Kebangsaan mengulangi kenyataannya Gaddafi boleh terus tinggal di Libya jika beliau bersedia menyerahkan kuasa. – AFP/Reuters Berita Harian Online | Gaddafi beri syarat serah kuasa

No comments: