Pages

Wednesday, July 6, 2011

Menteri Pembangunan Semula Bencana letak jawatan

TOKYO - Baru seminggu menjawat jawatan, Menteri Pembangunan Semula Bencana Jepun, Ryu Matsumoto (gambar) semalam meletak jawatan selepas tindakan sombongnya sewaktu melawat kawasan yang teruk dilanda gempa bumi dan tsunami dikritik hebat.

Dalam mesyuarat bersama beberapa orang gabenor pada hujung minggu lalu, kata-kata Matsumoto juga dianggap sebagai angkuh dan tidak prihatin. Tindakan itu sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat tempatan dan parti pembangkang.

Matsumoto didakwa memberitahu Gabenor Iwate, Takuya Tasso bahawa kerajaan tidak akan membantu majlis perbandaran yang tidak mempunyai idea bagus mengenai pembangunan semula.

Beliau juga dikatakan enggan berjabat tangan dan mengherdik Gabenor Miyagi, Yoshihiro Murai kerana terpaksa menunggu Murai yang lewat tiba bertemunya.

"Apabila tetamu datang melawat, jangan panggil mereka sehingga kamu tiba di dalam bilik. Kamu faham?" kata Matsumoto yang kemudian memberi amaran kepada para pemberita supaya tidak melaporkan tindakannya itu.

Namun, rakaman insiden itu tetap dimuat naik ke Internet. Perletakan jawatan Maysumoto memberi tamparan hebat kepada Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan yang sememangnya turut didesak supaya meletak jawatan.

Dalam satu sidang media semalam, Matsumoto tidak menjelaskan kenapa beliau meletak jawatan. Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano memberitahu, Kan menerima perletakan jawatan Matsumoto dan berharap penggantinya akan dilantik secepat mungkin. - AP

Kosmo! Online - Dunia

No comments: