Pages

Wednesday, June 22, 2011

NATO pertahan serangan di Libya



BRUSSELS - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang turut dianggotai Amerika Syarikat semalam mempertahankan tindakannya melancarkan serangan udara di Libya.
NATO menegaskan ia berhati-hati untuk mengelakkan kematian orang awam selepas Itali memberi amaran kesilapan dalam serangan pada hujung minggu lalu berisiko mencemarkan kredibiliti pakatan Barat itu.
"Saya ingin menyatakan bahawa reputasi dan kredibiliti kami kini dipersoalkan," kata jurucakap misi ketenteraan NATO, Mike Bracken.
Menteri Luar Itali, Franco Frattini mengeluarkan amaran kredibiliti itu selepas NATO mengakui tersilap membunuh orang awam pada Ahad lalu apabila sebutir bom tersasar lalu mengenai sebuah kediaman di Tripoli.
Insiden itu memalukan kerana ia berlaku semasa NATO melancarkan misi untuk melindungi orang awam.
"Apa yang dipersoalkan sekarang adalah tindakan rejim pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menggunakan perisai manusia dan tindakan tenteranya melancarkan bedilan peluru berpandu dari masjid-masjid," kata Bracken dalam satu sidang media di ibu pejabat misi ketenteraan NATO di Naples, Itali.
Serangan hujung minggu lalu di Tripoli berlaku selepas NATO melahirkan kekesalan kerana tersilap membedil sebuah kenderaan tentera milik pemberontak di bandar Brega pada minggu lalu.
Pertubuhan tersebut melancarkan serangan itu bagi menguatkan zon larangan terbang yang dipersetuji Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mengelak tentera Gaddafi membunuh orang awam.
Pergolakan di Libya yang berlaku sejak Februari lalu belum berakhir apabila para pemberontak menentang tentera Gaddafi bagi menuntut pemimpin tersebut berundur selepas berkuasa sejak 1969. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

No comments: