Pages

Wednesday, June 22, 2011

NATO terus dituduh bunuh penduduk




Seorang ahli perubatan Libya memeriksa mayat dua kanak-kanak di sebuah hospital di bandar Sabratha, kelmarin. Mereka merupakan antara 15 penduduk awam yang terbunuh dalam serangan udara NATO di barat Tripoli. - AFP


SURMAN 21 Jun - Kerajaan Libya semalam mendedahkan 19 lagi orang awam terbunuh dalam satu lagi serangan udara tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke atas kediaman seorang daripada pegawai kanan Muammar Gaddafi.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas NATO mengaku membunuh penduduk awam dalam beberapa serangan udara mereka di Tripoli.
Pegawai Libya membawa wartawan ke Surman, kira-kira 70 kilometer ke barat Tripoli, bagi menyaksikan sendiri tempat kejadian yang dikatakan kediaman Khouildi Hamidi, seorang daripada 12 anggota Majlis Pemerintah Revolusi diketuai Gaddafi.
Pasukan penyelamat bergelut mencari mangsa yang masih terselamat ketika wartawan tiba di tempat kejadian.
Wartawan kemudiannya dibawa ke sebuah hospital berhampiran di Sabrata untuk melihat sendiri sembilan mayat, termasuk dua kanak-kanak serta beberapa anggota badan manusia yang berkecai akibat serangan NATO itu.
Agensi berita kerajaan, Jana melaporkan dalam laman web mereka bahawa lapan kanak-kanak adalah antara 19 orang yang terbunuh dalam serangan tersebut, termasuk ahli keluarga Khouildi.
Kerajaan bagaimanapun berkata, Khouildi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, NATO menyatakan serangan udara tentera NATO semalam hanya menjadikan tentera di kawasan itu sebagai sasaran, tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada ia turut menyebabkan kecederaan ke atas orang awam.
"Serangan ke atas Libya adalah bertujuan mematahkan keupayaan tentera rejim Gaddafi menyerang rakyat Libya," kata Komander Operasi NATO di Libya, Leftenan Jeneral Charles Bounchard.
Jika tuduhan kerajaan Libya ini disahkan, ia bakal menyukarkan lagi operasi tentera bersekutu di negara ini yang kini telah pun berpanjangan dan memakan kos yang tinggi.
Menurut pegawai Libya, tentera NATO telah membunuh lebih 700 orang awam, tetapi tidak memberikan sebarang bukti. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: