Pages

Sunday, May 1, 2011

Lebih 60 maut di Syria



PENUNJUK perasaan memegang sepanduk berbunyi ''Rayuan kepada UNCIF : Kanak-kanak Nawa', 'Tiada Air, Ubat, Makanan' di bandar Nawa, dekat Deraa, Syria, kelmarin. - REUTERS


DAMSYIK 30 April - Sekurang-kurangnya 62 orang terbunuh dalam pertempuran di Syria semalam apabila berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan mengadakan 'hari kemarahan' bagi membantah rejim Presiden Bashar al-Assad.
Pihak berkuasa Syria mendakwa sembilan anggota pasukan keselamatan terbunuh di tangan 'kumpulan pengganas' dalam kekacauan semalam.
Protes prodemokrasi diadakan terhadap rejim Assad di kebanyakan bandar dan pekan selepas solat Jumaat semalam, seperti pada Jumaat yang lepas-lepas sejak bulan lalu, kata saksi.
Sekurang-kurangnya 33 orang awam terbunuh di bandar Daraa yang menjadi medan utama protes, menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di London.
Pegawai tentera berkata, lima askar turut terbunuh manakala dua lagi ditawan oleh 'pengganas bersenjata' di kawasan Daraa, selatan negara ini.
Sejumlah 27 penduduk awam terbunuh di bandar perindustrian Homs, ke utara Damsyik, manakala dua lagi maut di bandar pelabuhan Latakia di Mediterranean.
Ketika keganasan berlarutan, Washington menyekat aset milik saudara lelaki Presiden, Maher al-Assad yang mengetuai Divisyen Berperisai Keempat tentera Syria, serta aset milik beberapa pegawai tinggi dan perkhidmatan perisikan.
Washington dan Brussels dalam pada itu memutuskan untuk mengenakan sekatan terhadap Damsyik kerana kekerasan yang digunakan ke atas penunjuk perasaan prodemokrasi.
Duta-duta Kesatuan Eropah (EU) di Brussels memulakan persiapan untuk mengenakan sekatan ke atas penjualan senjata dan peralatan yang boleh digunakan oleh rejim Assad untuk menyerang rakyatnya sendiri. - AFP, utusan

No comments: