Pages

Sunday, October 24, 2010

Helah nelayan asing gagal





LUMUT 23 Okt. - Helah sekumpulan nelayan asing yang cuba memperdaya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak daripada menahan mereka kerana memasuki perairan negara secara haram gagal apabila kedudukan bot berjaya dibuktikan melalui sistem penentu kedudukan global (GPS).
Pegawai Memerintah KM Gagah Maritim Malaysia Perak, Leftenan Komander Mohammad Rosli Kassim berkata, tekong terbabit pada mulanya berkeras mendakwa mereka tidak memasuki perairan Malaysia sebaliknya menangkap ikan di perairan Indonesia.
"Tekong berusia 52 itu turut mendakwa mereka sering memukat di kawasan itu dan ini kali pertama ditahan pihak berkuasa Malaysia.
"Apabila pihak berkuasa menunjukkan lokasi mereka mengikut sistem GPS yang dipasang di dalam bot mereka, akhirnya tekong berkenaan mengakui telah memasuki perairan tanpa kelulusan," katanya di sini hari ini.
Semalam, Maritim Malaysia Perak menahan dua buah bot nelayan asing bersama 16 awak-awak berusia antara 18 hingga 53 tahun, dipercayai menjalankan tangkapan ikan secara haram dalam dua tangkapan berasingan.
Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Maritim 3, Kapten Maritim Ang Eng Hwa berkata, dalam tangkapan pertama kira-kira pukul 11 pagi itu, pasukan diketuai Mohammad Rosli berjaya menahan sebuah bot nelayan yang sedang menangkap ikan pada kedudukan 28 batu nautika berhampiran Kuala Bernam, Hutan Melintang.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, bot itu yang berasal dari Tanjung Balai, Indonesia tidak mempamerkan nama dan nombor pendaftaran bot serta gagal menunjukkan permit menangkap ikan di negara ini.
"Tangkapan kedua pula dilakukan pada pukul 12 tengah hari pada kedudukan 25 batu nautika, tidak jauh daripada kawasan tangkapan pertama.
"Bot yang mempamerkan nama KM Mitra Jaya berasal dari Tanjung Balai itu juga gagal menunjukkan permit menangkap ikan di negara ini," katanya.
Kedua-dua bot, kata Eng Hwa, didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan secara tidak sah di negara ini.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan, tekong terbabit boleh didenda tidak melebihi RM1 juta dan RM100,000 bagi setiap awak-awak.
Kesemua mereka ditahan reman selama 15 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes.

No comments: