Pages

Sunday, October 24, 2010

Kondominium proses dadah

GEORGETOWN: Kelicikan dua lelaki menjadikan sebuah kondominium mewah sebagai makmal memproses dadah jenis heroin bernilai RM1 juta terbongkar apabila diserbu polis di Lebuh Sungai Pinang 2, Sungai Pinang, di sini, kelmarin.
RAMPAS... Tun Hisan menunjukkan heroin bernilai RM1 juta yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Lebuh Sungai Pinang, kelmarin.
RAMPAS... Tun Hisan menunjukkan heroin bernilai RM1 juta yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Lebuh Sungai Pinang, kelmarin


Kedua-dua lelaki berusia 40 dan 41 tahun itu dikatakan menyewa tingkat dua kondominium itu sejak dua bulan lalu sebelum sepasukan anggota polis melakukan serbuan, kira-kira jam 11.45 pagi.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN negeri membuat serbuan di kondominium itu.

Beliau berkata, ketika serbuan, kedua-dua suspek dipercayai memproses dadah jenis heroin No 3 di dalam rumah berkenaan tanpa menyedari kehadiran polis.

Katanya, pihaknya turut merampas sepucuk pistol jenis Baretta serta 13 butir peluru .9mm, malah ketika serbuan, suspek bersedia menggunakan pistol berkenaan.

“Pemeriksaan kemudian merampas dadah jenis heroin seberat 21 kilogram (kg) yang mampu memproses 700,000 tiub heroin, heroin base seberat 300 gram (gm), kafien 113 kg, precussor termasuk asid dan klorofoam serta beberapa peralatan untuk memproses dadah.
“Turut dirampas dan disita ialah wang tunai RM28,000; mata wang luar negara AS$500 (RM1,558); seutas jam tangan bernilai RM1,300 dan barangan kemas dianggarkan bernilai RM56,000,” katanya pada sidang media di IPK negeri, di sini, semalam.

Tun Hisan berkata, pihaknya turut merampas sebuah komputer riba dianggarkan bernilai RM5,000 dan empat kenderaan jenis Proton Waja, Saga, Kenari dan sebuah motosikal dianggarkan bernilai RM77,000.

Menurutnya, jumlah keseluruhan harta yang disita adalah RM168,800 dan anggaran pasaran dadah yang dirampas bernilai RM1 juta.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 29 Oktober ini untuk siasatan lanjut dan siasatan awal mendapati seorang suspek memiliki empat rekod kesalahan berkaitan dadah.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Bagi kesalahan memiliki senjata api pula, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960,” katanya.

No comments: