Pages

Tuesday, November 22, 2011

Isu Murtad: Empat beranak dibenar rujuk undang-undang


PUTRAJAYA 21 Nov. - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan empat beranak berketurunan India Muslim merujuk lima persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan dalam usaha mendapat perisytiharan bahawa mereka bukan lagi beragama Islam.

Zaina Abidin Hamid @ S. Maniam dan tiga anaknya iaitu Surindran a/l Zaina Abidin, Mohanasubash a/l Zaina Abidin dan Chandrika a/p Zaina Abidin memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi memohon perisytiharan bahawa mereka telah murtad selepas mendakwa tidak pernah mengamalkan ajaran Islam.

Mereka memohon Mahkamah Persekutuan menentukan lima persoalan undang- undang antaranya adalah sama ada ibu bapa bagi anak-anak yang berusia di bawah 18 tahun berhak menentukan agama anak masing-masing menurut Perkara 11 dan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Wira Low Hop Bing yang bersidang bersama Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Linton Albert membenarkan mereka merujuk persoalan undang- undang itu selepas menolak rayuan Kerajaan Malaysia tanpa mendengar meritnya.

Bagaimanapun Kerajaan Malaysia mempunyai peluang terakhir untuk merayu di Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan permohonan bagi kebenaran merayu.

Ketika membenarkan bantahan awal keluarga berkenaan, panel itu bersetuju rayuan pihak kerajaan tidak mematuhi Peraturan 6, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 kerana notis rayuan tidak diserahkan kepada tiga pihak lain.

Pihak-pihak tersebut yang turut dinamakan sebagai responden dalam saman pemula terdiri daripada Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh.

Sehubungan itu, mahkamah berpendapat, oleh kerana kelima-lima persoalan undang-undang berkenaan mempunyai kesan langsung terhadap ketiga-tiga responden, maka wajar notis rayuan diserahkan kepada kesemuanya.

Sebelum itu, peguam Fahri Azzat yang mewakili keluarga berkenaan berhujah, rayuan itu tidak sempurna kerana ia gagal mematuhi peruntukan yang menghendaki kesemua pihak yang terlibat secara langsung dalam rayuan itu diserahkan dengan notis rayuan.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Norhisham Ismail yang mewakili Kerajaan Malaysia berhujah, notis tidak semestinya diserahkan kepada ketiga-tiganya kerana jika rayuan Kerajaan Malaysia dibenarkan, persoalan undang-undang tidak perlu dirujuk dan saman pemula itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Kerajaan Malaysia merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 27 September tahun lalu yang membenarkan permohonan empat beranak itu merujuk lima persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.

Berdasarkan undang-undang, Zaina Abidin, 60, dilahirkan sebagai seorang Islam kerana bapanya yang beragama Hindu memeluk Islam dan berkahwin dengan ibunya yang berketurunan India Muslim.

Dia kemudian berkahwin dengan seorang wanita beragama Hindu. Pernikahan itu didaftarkan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976.

Utusan Malaysia Online - Parlimen:

'via Blog this'

14 tentera Pakistan maut diserang hendap


22/11/2011 3:21am

QUETTA 22 Nov. – Sekurang-kurangnya 14 anggota separa tentera Pakistan terbunuh dalam satu serangan hendap yang disyaki didalangi kumpulan pemberontak di barat daya wilayah Baluchistan, semalam, kata pasukan tentera Frontier Corps.

Seorang jurucakap tentera berkata, serangan tersebut berlaku di daerah Musa Khel, 400 kilometer di tenggara wilayah Quetta.

Pihak tentera menuduh pemberontak Baluch melakukan serangan terbabit.

"Seramai 14 anggota separa tentera, termasuk seorang berpangkat mejar, maut manakala beberapa yang lain cedera dalam serangan hendap itu," kata jurucakap berkenaan.

Pasukan tentera itu diserang ketika mengawal sebuah projek perlombongan batu arang dan lokasi kejadian tidak jauh dari pekan Sui, di mana dua askar terbunuh dalam serangan bom pada Sabtu lalu. – AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Pengikut al-Awlaki bina bom


GAMBAR Anwar al-Awlaki yang dilaporkan terbunuh dalam serangan drone CIA pada 30 September lalu. - AFP


NEW YORK 21 Nov. - Polis New York menahan seorang pengikut ulama kelahiran Amerika Syarikat (AS), Anwar al-Awlaki kerana disyaki sedang membina bom paip yang dirancang digunakan untuk menyerang tentera AS yang kembali dari Iraq dan Afghanistan, kata pegawai, semalam.

Menurut dokumen mahkamah, Jose Pimentel, 27, didakwa melakukan tiga jenayah berkaitan keganasan dan dua pertuduhan lain.

Pimentel yang merupakan rakyat AS kelahiran Republik Dominica ditahan Sabtu lalu, di sebuah apartmen di Manhatttan ketika dia sedang memasang bom, kata polis.

Dia yang memeluk agama Islam dan menjadi seorang yang radikal dikatakan bergerak secara sendirian.

Dalam percakapannya kepada polis New York, Pimentel mengaku dia sedang membina bom tersebut dan tinggal lagi sejam sahaja untuk menyiapkannya ketika ditahan polis.

Pimentel yang tidak didakwa secara di Mahkamah Persekutuan berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah.

Pesuruhjaya Polis Ray Kelly berkata, Pimentel yang berada di bawah pengawasan sejak Mei 2009 mempertimbangkan untuk mensasarkan serangannya ke atas kereta polis New York, balai polis di New Jersey dan pejabat pos AS. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Amir Kuwait tidak akan pecat Perdana Menteri


Penunjuk perasaan mengibarkan bendera sambil berdiri di atas meja Speaker Parlimen Kuwait pada 16 November lalu. - REUTERS


KUWAIT CITY 21 Nov. - Amir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah menegaskan, beliau tidak akan tunduk kepada tuntutan penunjuk perasaan yang mendesak agar Perdana Menteri dipecat dan Parlimen dibubarkan.

Beliau turut menyifatkan tindakan menyerbu Parlimen oleh pembangkang minggu lalu sebagai 'hari hitam' dalam sejarah negara.

"Apa yang berlaku amat luar biasa. Hari di mana Ahli-ahli Parlimen dan penunjuk perasaan menyerbu Parlimen adalah 'hari hitam' buat kita," katanya semasa bertemu editor-editor dalam ulasannya yang diterbitkan hari ini.

Aktivis muda diketuai Ahli Parlimen pembangkang menyerbu Parlimen Kuwait Rabu lalu selepas bertempur dengan polis semasa satu perhimpunan yang menuntut pembubaran Kabinet serta pemecatan Perdana Menteri, Sheikh Nasser Mohammad al-Ahmad Al-Sabah atas dakwaan rasuah.

"Berdasarkan Perlembagaan, saya yang melantik dan memecat Perdana Menteri serta menteri-menteri.

"Walaupun jika saya mahu beliau (Sheikh Nasser) meletak jawatan, saya tidak akan lakukannya kerana desakan pihak pembangkang," katanya seperti yang dipetik akhbar Al-Jarida.

Sheikh Nasser yang juga ahli keluarga pemerintah, didesak meletak jawatan ekoran dakwaan rasuah serta tuduhan beliau memindahkan dana awam ke akaunnya di luar negara, dua dakwaan yang dinafikan kerajaan.

Di bawah undang-undang Kuwait, Amir mengetuai Parlimen, kerajaan dan badan kehakiman negara. Amir juga mempunyai hak mutlak untuk melantik serta memecat anggota Kabinet dan membubarkan Parlimen.

Sheikh Sabah berkata, kira-kira 40 individu termasuk Ahli Parlimen bakal dikenakan tindakan undang-undang kerana menyerbu Parlimen dan beliau berikrar mereka yang terlibat tidak akan diampunkan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

22 maut di Dataran Tahrir



Seorang penunjuk perasaan membaling semula peluru pemedih mata ke arah polis di Dataran Tahrir, Kaherah, semalam. - REUTERS


KAHERAH 21 Nov. - Pertempuran antara penunjuk perasaan dengan anggota pasukan keselamatan di Dataran Tahrir yang masuk hari ketiga semakin memburuk hari ini, dengan angka korban meningkat kepada 22 orang.

Kejadian itu berlaku apabila polis dan anggota tentera menggunakan belantan, gas pemedih mata dan tembakan peluru burung bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang menuntut peralihan kuasa pihak tentera kepada kuasa rakyat.

Tentera Mesir dilapor turut membakar khemah penunjuk perasaan di dataran tersebut.

Ia merupakan hari kedua keganasan berlaku di ibu negara ini, selepas satu perarakan anti tentera secara aman yang dilakukan Jumaat lalu.

Pegawai di rumah mayat berkata, lebih 20 maut semalam dan dua lagi kelmarin menjelang pilihan raya pertama negara ini, dalam keganasan terburuk sejak kejatuhan rejim Hosni Mubarak.

Pilihan raya perundangan akan diadakan pada 28 November ini.

Pegawai berkata, sekurang-kurangnya empat penunjuk perasaan ditembak mati semalam.

Menurut kenyataan agensi berita MENA, Kementerian Kesihatan melaporkan seramai 10 terbunuh semalam, sementara 1,700 yang lain cedera sepanjang hujung minggu lalu dalam pertempuran.

Terdahulu, Dr. Mohammed Fatuh yang bertugas di Dataran Tahrir berkata, tiga mayat dengan kesan tembakan dibawa ke hospital sementara di dataran tersebut.

Pasukan perubatan sebelum itu melaporkan empat kematian, satu akibat terkena tembakan peluru hidup serta tiga kerana sesak nafas terhidu gas pemedih mata.

Wartawan AFP malam tadi berkata, penunjuk perasaan di sebatang jalan dilihat melempar batu dan bom petrol ke arah kereta perisai tentera serta polis rusuhan sebelum polis tentera membalas dengan melepaskan tembakan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Tiga maut termasuk bayi


Keadaan kereta Proton Iswara (kiri) dan kereta Proton Wira yang terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 3 Jalan Raub-Bukit Koman, Pahang, kelmarin.


KUANTAN 21 Nov. – Tiga termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun maut dalam kemalangan ngeri melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 3 Jalan Raub-Bukit Koman, berdekatan Wisma Persekutuan Raub, semalam.

Kejadian pukul 5.35 petang itu melibatkan sebuah Proton Wira dinaiki empat beranak, sebuah Proton Iswara serta sebuah motosikal Modenas Kriss.

Mangsa yang maut ialah penumpang hadapan Proton Wira, Lai Chew Peng, 29, bersama anaknya, Koh Xiang Xun, 1, dari Kampung Muhibbah, Raub. Turut terbunuh pemandu Proton Iswara, Choo Kien Keong, 32.

Suami Chew Peng, Koh Kok Keong, 34, dan seorang lagi anak mereka, Koh Liang An, 4, cedera parah di kepala dan menerima rawatan di Hospital Raub.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, siasatan mendapati Proton Wira dipandu Kok Keong dan penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari arah Raub menuju ke Bukit Koman.

“Setibanya di tempat kejadian, dipercayai kereta Kien Keong yang berasal dari Taman Bukit Koman telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Wira itu.

“Proton Iswara itu berpusing beberapa kali dan pada masa sama penunggang motosikal, Fong Lee Feng, 30, gagal mengelak lalu merempuh kereta tersebut,” katanya di sini hari ini.

Katanya, Kien Keong yang parah maut di lokasi kejadian, manakala Chew Peng dan Xiang Xun mati semasa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Raub.

Tambah beliau, Lee Feng mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, kes berkenaan masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk membantu siasatan.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Empat mati van bertembung lori


SEBUAH van remuk setelah bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Keningau-Tenom, Sabah, semalam.


KENINGAU 21 Nov. – Empat maut, seorang parah manakala dua lagi cedera ringan dalam kemalangan ngeri melibatkan sebuah lori membawa ikan dan sebuah van di Kilometer 3 Jalan Keningau-Tenom, berhampiran Kampung Kauran di sini, hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan pukul 12.30 tengah hari itu ialah pemandu van, Victor Panagua, 56, dan tiga penumpangnya, Paidin Sanin, 54; Barandon Banaguana, 14, dan Breitzmar Sabarano, 16.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zahari Mohamed berkata, siasatan awal mendapati van itu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki lorong sebelah kanan dan bertembung dengan lori yang dalam perjalanan dari arah Tenom ke Keningau.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 43 tahun yang berasal dari Kampung Batu, Kuala Lawas, Sarawak, parah manakala dua penumpangnya masing-masing berusia 21 dan 37 tahun, juga dari Sarawak, hanya cedera ringan.

“Kesemua yang cedera dirawat di Hospital Keningau. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba Dan Penyelamat PBK 2, Jalimin Darus berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.42 tengah hari dan tiba di lokasi kemalangan pukul 12.50 tengah hari.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

‘Nama saya S’

UNIK...S bersama ibu, Rosnah Sutaman,  Rusli, anaknya, Yani, 3, dan dua adiknya menunjukkan nama unik S yang tertera pada lesen memandu dan sijil lahirnya.
UNIK...S bersama ibu, Rosnah Sutaman, Rusli, anaknya, Yani, 3, dan dua adiknya menunjukkan nama unik S yang tertera pada lesen memandu dan sijil lahirnya.
GELANG PATAH: “Walaupun nama saya hanya satu huruf, S, namun pelbagai kenangan manis dilalui terutama ketika akad nikah apabila suami, Nuzrul Hassan, 31, terpaksa melafazkan tujuh kali dan pengalaman itu tidak dapat dilupakan seisi keluarga dan saudara-mara yang hadir pada majlis yang diadakan pada 7 Julai 2007,” kata S, 24, menceritakan pengalamannya berdepan beberapa keadaan unik disebabkan namanya itu.
Menurutnya, sepanjang hidupnya, semua kenalan mulanya menyangka S nama timangan, namun apabila diberitahu ia nama sebenar, semua terdiam sebelum berkata ia sesuatu yang pelik.

“Bukan saja kenalan, malah suami sendiri terkejut apabila diberitahu nama saya S ketika kami bertunang empat tahun lalu.
“Apapun, saya bersyukur dengan nama diberikan bapa dan tidak pernah merungut apabila berdepan pelbagai keadaan menghairankan kerana memang sesuatu yang jarang berlaku.

“Memandangkan perkataan susah dan senang bermula huruf S, bapa kerap menasihatkan saya supaya bersusah-susah dulu supaya senang kemudian.

“Malah, tiga adik perempuan saya turut diberikan nama pendek seperti Liz, 22, Maz, 11, dan Hani, 9,” katanya yang tinggal di Taman Perumahan Rakyat Lima Kedai, di sini.
Sementara itu, bapanya, Rusli Ahmad Abdul Karim, 50, berkata, pemilihan satu huruf sebagai nama anak sulung daripada empat beradik itu berikutan pengalaman hidupnya sendiri.

“Arwah ayah memiliki tiga nama (tiga suku kata) hingga ia menjadi bahan ejekan ramai termasuk menyatakan saya mempunyai tiga bapa. Pengalaman itu menyebabkan saya mengambil keputusan memberikan nama paling pendek kepada anak saya iaitu hanya huruf ‘S’.
“Namun bak kata pepatah, rezeki anak terletak pada namanya, S kini berusia 24 tahun menjalani kehidupan rumah tangga bahagia dan berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang diminati biarpun mempunyai seorang cahaya mata,” katanya.

Rusli berkata, sebelum menamakan anaknya, dia pernah merujuk nama pilihannya itu dengan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) sebelum pendaftaran nama anak sulungnya itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Biarpun tidak menghalang, Jaij tidak menggalakkan pemberian nama seumpama ini kerana bimbang menjadi ikutan masyarakat selain tidak mempunyai maksud.

“Namun, saya menerangkan tujuan dan niat memberikan nama sedemikian kepada mereka bagi mengelak salah faham,” katanya.

Katanya, walaupun nama anaknya terlalu pendek dan unik, dia dan isterinya pernah beberapa kali berdepan kesulitan termasuk ketika membawa S berurusan di klinik apabila seorang jururawat menganggap dia leka mengisi borang kerana hanya mencatatkan huruf S.

“Namun, selepas saya memberitahu perkara sebenar, mereka pelik dan tidak kurang menyatakan pilihan nama itu sesuatu yang baru kerana tidak pernah didengar sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, walaupun tidak mengetahui sama ada nama S mempunyai maksud tertentu, dia sentiasa berdoa supaya nama itu membawa rezeki kepadanya termasuk berjaya dalam hidup.

“Saya bersyukur kerana S dapat melanjutkan pengajian peringkat diploma dalam bidang Teknologi Seni Bina di Institut Teknologi Perindustrian Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) sejak setahun lalu kerana itu adalah impiannya,” katanya yang mengusahakan gerai Pisang Misai Corner di Lima Kedai, di sini.
myMetro | ‘Nama saya S’:

'via Blog this'

Penyanyi Lubnan saman majalah terbit wawancara dengan bekas suami

BEIRUT: Penyanyi Lubnan Nawal al-Zoughbi memfailkan saman terhadap majalah Zahrat al-Khaleej kerana menerbitkan wawancara bersama bekas suaminya yang mengandungi unsur penghinaan ke atasnya.

Ketika memfailkan saman itu, Nawal secara khusus menyebut nama wartawan Rabee Hunaidi yang bertanggungjawab menulis sesi wawancara itu. Nawal yang hanya berdiam diri selama ini memutuskan untuk menamatkan semua khabar angin yang dilemparkan ke atasnya sejak dia bercerai. Langkah awal yang diambil Nawal adalah memfailkan saman terhadap majalah terbabit, selain dua lagi kes saman terhadap dua lagi organisasi yang tidak mahu didedahkan penyanyi itu. Sementara itu, Nawal baru selesai menjalani penggambaran klip video untuk lagu Ma’rafshi Leeh (Saya tidak tahu mengapa) dari album terbarunya. Nawal menjalani penggambaran klip video itu di bawah arahan pengarah Perancis, Fabian Dufais di Beirut.


Klip video itu dijadualkan siap dalam tempoh terdekat dan akan ditayangkan melalui pelbagai saluran muzik televisyen satelit.

myMetro | Penyanyi Lubnan saman majalah terbit wawancara dengan bekas suami:

'via Blog this'

Libya enggan serah Seif al-Islam kepada ICC

TRIPOLI: Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) Libya semalam menolak gesaan masyarakat antarabangsa untuk membicarakan anak Muammar Gaddafi, Seif al-Islam di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda.

Naib Pengerusi Majlis, Abdel Hafiz Ghoga memberitahu wartawan di Tripoli semalam, Seif, 39, yang ditangkap Sabtu lalu, akan dibicarakan di Libya. Sementara itu, pegawai Libya mengumumkan penangkapan ketua pengintip Gaddafi, Abdullah Senussi.


myMetro | Libya enggan serah Seif al-Islam kepada ICC:

'via Blog this'

Iran cabar Israel lancar serangan

TEHERAN: Iran semalam mencabar Israel untuk menyerangnya dan berkata, tindak balasnya akan mencampakkan negara Yahudi itu ‘ke dalam tong sampah sejarah.’

“Harapan kami ialah mereka melakukan kesilapan seumpama itu,” kata seorang pemerintah kanan Pengawal Revolusi, Amir-Ali Hajizadeh.


“Sudah sekian lama kami memiliki kekuatan yang tersembunyi yang kami harap dapat digunakan untuk menghantar musuh Islam itu ke dalam tong sampah sejarah untuk selama-lamanya.

“Peluru berpandu kami tidak berhenti berkembang,” katanya.


Kenyataan Amir-Ali adalah reaksi paling tegas oleh pegawai Iran setakat ini berhubung spekulasi bahawa Israel menimbang untuk melancarkan serangan udara terhadap kemudahan nuklear republik Islam itu.


Ancaman itu yang disiarkan di dalam media Iran dan dinyatakan oleh Presiden rejim Zionis, Shimon Peres, berbangkit ketika ketegangan di peringkat antarabangsa semakin meningkat berhubung program nuklear Iran.

Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak dalam wawancara dengan CNN, berkata, kesabaran rejim Zionis itu semakin tipis dan memberi jawapan tegas apabila ditanya mengenai kemungkinan Israel melancarkan serangan udara.


“Saya tidak fikir ia isu untuk dibincangkan oleh orang awam. Tetapi saya boleh memberitahu anda, laporan IAEA baru-baru ini mencetuskan kebimbangan di kalangan pemimpin dunia dan orang awam.

“Orang ramai memahami bahawa masanya (untuk menyerang Iran) sudah tiba,” katanya. IAEA dalam laporannya baru-baru ini mendakwa terdapat maklumat menunjukkan Iran melaksanakan aktiviti unhtuk menghasilkan ‘bahan letupan nuklear.’ - AP

myMetro | Iran cabar Israel lancar serangan:

'via Blog this'

Syria tak peduli ancaman perang saudara

DAMSYIK: Syria semalam tidak mempedulikan amaran ancaman perang saudara dan sekatan Liga Arab selepas tarikh tamat tempoh bagi rejim negara itu menghentikan kekerasan terhadap penunjuk perasaan berakhir dengan 24 orang lagi terbunuh.

Menteri Luar, Walid Muallem, juga menyangkal laporan yang mendakwa pejabat parti Baath yang memerintah Syria terkena serangan roket kelmarin.


Beliau turut menolak ancaman sekatan Liga Arab dan mengecam beberapa negara yang beliau tuduh cuba menggunakan Liga Arab sebagai alat. Sementara itu, Liga Arab berkata, Menteri Luarnya akan mengadakan rundingan baru mengenai krisis di Syria Khamis ini se

myMetro | Syria tak peduli ancaman perang saudara:

'via Blog this'

Wanita rebah, koma lepas warnakan rambut

LONDON: Seorang ibu yang rebah dan berhenti bernafas beberapa minit selepas mewarnakan rambut di kediamannya berada dalam keadaan koma malam tadi dan dikatakan mempunyai lapan peratus saja peluang untuk hidup.

Julie McCabe, 38, mungkin mengalami tindak balas alahan terhadap bahan kimia produk L’Oreal Preference yang dipakainya itu.


Dia masih bergantung kepada mesin bantuan pernafasan, tiga minggu selepas menggunakan pewarna rambut itu. Doktor memberi amaran kepada suaminya, Russell walaupun dia sedar semula dia bakal menghadapi kerosakan otak secara kekal. Belum ada kaitan dibuat dengan produk L’Oreal itu tetapi doktor yang merawat Julie, seorang ejen hartanah meminta sarung tangan dan bahan pewarna rambut yang digunakannya supaya ujian dapat dilakukan. L’Oreal menawarkan untuk membantu kakitangan perubatan dengan menyalurkan maklumat yang mungkin dapat menyelamatkan nyawa Julie.

Dibimbangi bahan kimia para-phenylenediamine (PPD) yang terdapat dalam 99 peratus pewarna rambut mungkin menyumbang kepada insiden yang menimpa Julie. Keluarganya yang mengatakan Julie mewarna rambutnya setiap enam minggu tidak pernah mengalami kejadian seumpamanya dan menimbangkan untuk mengambil tindakan mahkamah.


Kes Julie berlaku kurang sebulan selepas Tabatha McCourt, 17, rebah dan mati ekoran tindak balas yang terjadi 20 minit selepas dia mewarnakan rambutnya.

myMetro | Wanita rebah, koma lepas warnakan rambut:

'via Blog this'

Raja Mswati usir isteri ke-12

LOBAMBA: Raja Swaziland yang mengamalkan poligami mengusir keluar isteri ke-12 dari istananya ekoran dakwaan mengatakan wanita itu berlaku curang dengan seorang rakan raja terbabit, lapor akhbar hari ini.

Pegawai yang bekerja dengan Raja Mswati III mengarahkan Nothando Dube, 23, meninggalkan kediaman rasminya minggu lalu, menurut laporan akhbar Sunday Times Afrika Selatan. Pengusiran itu berlaku selepas permaisuri yang ke-12 daripada 14 isterinya mendakwa dia ditahan sebagai tahanan di istana ekoran tuduhan tahun lalu yang mengatakan dia berlaku curang dengan Menteri Keadilan negara itu.


Sunday Times melaporkan bagaimana perbalahan itu tercetus apabila Permaisuri Dube cuba meninggalkan kediamannya untuk ke hospital selepas seorang daripada anaknya cedera ketika bermain.

Dube mendakwa, dia dilarang meninggalkan istana oleh pengawal istana. Dia kemudian menyerang pengawal berkenaan dengan semburan serbuk lada. Dube memberitahu akhbar: “Dia mengugut untuk memukul saya sambil berkata saya tidak boleh ke mana-mana dengan anak saya yang berdarah akibat luka dialami. “Saya perlu melindungi diri, jadi saya menyembur srbuk lada ke matanya,” katanya. Insiden itu berlaku pada 12 November di istana terpencil, tempat di mana dia ditahan lebih daripada setahun. Wanita itu sebelum ini mendakwa bagaimana dia dilarang bertemu suaminya sejak dakwaan dia ditangkap Ogos lalu kerana mempunyai hubungan sulit.


Mswati, waris monarki terakhir Afrika dikatakan berang selepas ibu kepada tiga anaknya itu ditemui tidur bersama Ndumiso Mamba, teman rapatnya yang juga Menteri Keadilan negara terbabit waktu itu.


Dube diletakkan di bawah tahanan rumah dan Mamba dipecat daripada Kabinet ekoran skandal itu yang tersebar ke pengetahuan rakyat selepas gambar menunjukkan menteri terbabit bersembunyi di sebalik katil wanita berkenaan.

Sejak itu, Dube ditahan di istana dan dia dilarang meninggalkan istana serta bertemu suaminya sebagai hukuman atas kecurangannya.


Bagaimanapun, Dube, bekas Miss Swaziland yang berkahwin dengan Mswati ketika berusia 16 tahun, akhirnya dipaksa meninggalkan istana ekoran insiden yang berlaku minggu lalu.

myMetro | Raja Mswati usir isteri ke-12:

'via Blog this'

Rusuhan ragut 35 nyawa

PENUNJUK perasaan membantu rakan mereka yang terkena gas pemedih mata ketika bertempur dengan polis di Dataran Tahrir, semalam.
PENUNJUK perasaan membantu rakan mereka yang terkena gas pemedih mata ketika bertempur dengan polis di Dataran Tahrir, semalam.

KAHERAH: Pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir memasuki hari ketiga semalam sementara angka kematian meningkat kepada 35.

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan kemungkinan pilihan raya pertama sejak penggulingan Hosni Mubarak akan terjejas.


Polis dan tentera menggunakan belantan, gas pemedih mata dan peluru getah dalam usaha untuk menyuraikan beribu-ribu penunjuk perasaan yang berhimpun di dataran berkenaan bagi mendesak pemimpin tentera menyerahhkan kuasa kepada pihak berkuasa awam.

Menjelang tengah hari semalam, orang ramai sekali lagi berarak ke Dataran Tahrir, pusat tunjuk perasaan yang menggulingkan Hosni pada Februari lalu.


Kementerian Kesihatan berkata, 22 orang terbunuh dalam keganasan yang berlaku sejak Sabtu lalu, menjelang pilihan raya Parlimen 28 November depan, yang pertama sejak pemerintahan Hosni berakhir.


“Kematian di Dataran Tahrir di Kaherah dan di beberapa wilayah lain mencecah 35 orang sejak pertempuran bermula Sabtu lalu,” menurut kenyataan kementerian itu yang disiarkan agensi berita rasmi Mesir, MENA.

Keganasan itu juga menyebabkan ratusan orang cedera ketika tunjuk perasaan meletus di Kaherah, Iskandariah dan Suez. Pertempuran itu mula meletus Sabtu lalu, sehari selepas orang ramai mengadakan perhimpunan antitentera secara aman.


Tunjuk perasaan itu disambung pada Ahad, berlarutan hingga ke malam dan awal pagi semalam.

Polis dan tentera menguasai Dataran Tahrir kelmarin sebelum diusir oleh penunjuk perasaan yang menguasainya semula, seperti yang berlaku Sabtu lalu.


Seorang wartawan melaporkan, penunjuk perasaan melontar bom minyak ke arah kereta perisai tentera dan polis pencegah rusuhan.


Menurutnya, polis bertindak balas dengan menggunakan senapang patah dan peluru getah.


Pertempuran sengit meletus di jalan raya menghala ke Kementerian Dalam Negeri dengan penunjuk perasaan melaungkan slogan: “Rakyat mahu gulingkan ketua tentera,” merujuk kepada Hussein Tantawi, bekas Menteri Pertahanan dalam kerajaan Hosni yang kini mengetuai kerajaan tentera.


Di Iskandariah, upacara pengebumian seorang mangsa bertukar menjadi pertempuran dengan polis yang terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata.


Di bandar Suez, polis menggunakan peluru hidup yang dilepaskan ke udara bagi menghalang penunjuk perasaan daripada menyerbu sebuah balai polis. - Reuters

myMetro | Rusuhan ragut 35 nyawa:

'via Blog this'

Ribuan kenderaan terkandas

KEADAAN di Jeti Pengkalan Raja Uda  sesak teruk akibat tidak menghiraukan arahan tidak menggunakan jambatan berikutan penganjuran 'Alliance Penang Bridge International Marathon 2011'.
KEADAAN di Jeti Pengkalan Raja Uda sesak teruk akibat tidak menghiraukan arahan tidak menggunakan jambatan berikutan penganjuran 'Alliance Penang Bridge International Marathon 2011'.
Pemandu tidak hirau arahan beberapa laluan ditutup bagi larian

GEORGETOWN: Ribuan kenderaan terkandas dalam kesesakan teruk menuju ke Jambatan Pulau Pinang ekoran sikap degil pemandu tidak menghiraukan arahan jangan menggunakan jambatan yang ditutup berikutan penganjuran 'Alliance Penang Bridge International Marathon 2011', semalam.
Kesesakan teruk dari Sungai Dua, Bayan Lepas, Gat Lebuh Cecil, Sungai Pinang dan Lintang Hajah Rehmah berlaku apabila Jambatan Pulau Pinang serta beberapa laluan di sekitar bahagian pulau ditutup kepada semua kenderaan dari jam 1 pagi hingga 10 pagi.
Semua syarikat bas tidak menghadapi masalah kerana sudah mengetahui penutupan jambatan sejak bulan lalu, dengan tidak menjual tiket bagi perjalanan membabitkan tempoh penutupan berkenaan. - Jurucakap kaunter Terminal Bas Sungai Nibong
Walaupun ditutup sementara, pihak penganjur sudah memasang papan tanda, termasuk papan elektronik di beberapa jalan masuk dan keluar utama, sejak sebulan lalu bagi membolehkan orang ramai merancang perjalanan.

Tinjauan mendapati ada pemandu kereta dan penunggang motosikal yang memberi pelbagai alasan untuk membolehkan mereka melalui jambatan tetapi demi keselamatan peserta larian, anggota polis tidak membenarkannya.

Ada pengguna yang sanggup menunggu pula, berada di laluan ke jambatan sejak jam 7 pagi sehingga ia dibuka semula selepas larian tamat sepenuhnya. Kesesakan lalu lintas beransur pulih sebaik jalan dan Jambatan Pulau Pinang dibuka semula pada jam 10 pagi.

Dalam pada itu, kesesakan turut berlaku di Pengkalan Weld, Lebuh Light, Lebuh Farquhar, Terminal Feri Pangkalan Raja Tun Uda dan Sultan Abdul Halim berikutan orang ramai berpusu-pusu menggunakan perkhidmatan feri.
Lebih memburukkan keadaan apabila hanya satu daripada pintu laluan feri di Terminal Feri Pangkalan Raja Tun Uda boleh digunakan akibat dilanggar feri pada pertengahan bulan lalu.

Sementara itu jurucakap polis berkata, lebih 200 anggota polis dari cawangan Trafik, Jenayah dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dengan dibantu Ikatan Relawan Rakyat (Rela) ditugaskan menjaga beberapa laluan utama.

Manakala jurucakap kaunter Terminal Bas Sungai Nibong pula berkata, semua syarikat bas tidak menghadapi masalah kerana sudah mengetahui penutupan jambatan sejak bulan lalu, dengan tidak menjual tiket bagi perjalanan membabitkan tempoh penutupan berkenaan.
Berita Harian Online | Ribuan kenderaan terkandas:

'via Blog this'

Perbuatan kejam berbalas


IPOH - Perbuatan kejam seorang peniaga kasut yang memukul kepala seorang warga emas dengan besi pengunci stereng hingga menyebabkan kematian pada malam Krismas dua tahun lalu berbalas apabila dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Loh Yoon Fatt, 40, dijatuhi hukuman itu selepas pesuruhjaya Kehakiman Teo Say Eng mendapatinya bersalah menyebabkan kematian Lam Siew Keong, 60, di tempat letak kereta Restoran Overseas, Jalan Sultan Abdul Jalil di sini pada pukul 7 malam 25 Disember 2009.

Say Eng dalam keputusannya berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira fakta dan keterangan 13 saksi pendakwaan yang tertuduh sengaja memukul kepala mangsa menggunakan benda itu dengan sekali pukulan.

"Pihak pembelaan gagal membuktikan bahawa tertuduh memukul mangsa dalam keadaan provokasi selain tidak berupaya membuktikan punca kematian adalah disebabkan dua pembedahan di kepala.

"Ini menunjukkan tertuduh sengaja memukul mangsa sehingga menyebabkan kematian. Dengan itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Guna pelabuhan seludup syabu



NOOR RASHID menunjukkan sebahagian serbuk syabu tulen yang dirampas daripada lapan lelaki Iran pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Sindiket dadah Iran kini dikesan menukar taktik dengan menyeludup bahan itu melalui pelabuhan pula berbanding lapangan terbang sebelum ini bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik itu gagal ekoran kejayaan pihak polis menangkap dua lelaki Iran di Jalan Kampung Pandan di sini 11 November lalu yang membawa kepada rampasan dadah di Ampang yang dipercayai diseludup melalui Pelabuhan Klang.

Lapan hari kemudian, pihak keselamatan itu menahan enam lagi lelaki Iran di sebuah rumah di Taman D’Alpinia, Puchong pada pukul 2.30 petang dan merampas 124.9 kg syabu.

Bagaimanapun, ahli sindiket yang berusia di antara 29 dan 51 tahun tersebut tidak mempunyai kaitan.

Kesemua dadah itu bernilai RM27 juta dan polis turut merampas wang RM137,400.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, nilai serbuan itu merupakan yang paling tinggi dalam tempoh 11 bulan tahun ini.

Katanya, dalam serbuan pertama polis menemui syabu yang disorokkan di dalam dua bagasi dibawa dua lelaki Iran tersebut.

“Susulan itu, kita menemui 14.2 kg syabu lagi yang disembunyikan di dalam sebuah kontena di Jalan Hulu Klang, Ampang. Dadah itu diletakkan di dalam polyboard sebelum diselit di celah kepingan batu marmar.

“Suspek dipercayai menyeludup dadah tersebut melalui Pelabuhan Klang,” katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Bekas pengarah makan rasuah RM15,000 dipenjara



MAHMAD FAISAAL (kiri) diiringi pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Alor Setar semalam.


Bekas pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Zon Utara dihukum penjara tiga tahun dan didenda RM150,000 selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan rasuah membabitkan wang tunai RM15,000 dua tahun lepas.

Hakim Mohd Rosli Osman menjatuhkan hukuman itu selepas pembelaan Mahmad Faisaal Fadzil, 54, gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan pindaan yang dihadapinya.

Bagi setiap pertuduhan, dia dihukum penjara tiga tahun namun diperintah menjalani hukuman itu secara serentak.

Bagaimanapun, hukuman penjara ditangguhkan sehingga selesai rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi denda RM150,000 diarah bayar pada hari hukuman diputuskan. Tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Mahmad Faisaal didakwa meminta bagi diri sendiri wang tunai RM15,000 daripada Azmi Mohamad sebagai upah kononnya untuk menyokongnya sebagai pembekal benih berdaftar dengan lembaga itu pada 15 Jun 2009.

Selain itu, upah tersebut juga kononnya sebagai dorongan melantik Azmi untuk membekalkan benih nanas melalui Pesanan Pembekalan Benih Nanas pada tarikh 9 Jun 2009 bernilai RM18,850 dan 22 Februari 2009 bernilai RM33,350 serta RM34,437.50.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 3.30 petang 21 Julai 2009.

Pertuduhan pindaan kedua pula, tertuduh didakwa memperoleh wang tunai RM15,000 daripada individu sama bagi tujuan dan dorongan serupa di CIMB Bank di 1583, Bangunan Tunku, Jalan Tunku Ibrahim di sini kira-kira pukul 12.25 tengah hari 22 Julai 2009.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

47 penduduk tiga daerah dipindah



SEORANG wanita mengawasi kanak-kanak bermain perahu di hadapan rumahnya yang ditenggelami banjir di Kampung Merbau Menyusut, Setiu semalam.


KUALA TERENGGANU - Hujan lebat sejak dua hari lalu memaksa 47 penduduk dari tiga daerah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu berkata, sehingga pukul 2 petang semalam, daerah Setiu paling terjejas apabila 30 penduduk dari lapan buah keluarga di Kampung Merbau Menyusut terpaksa dipindahkan ke Masjid Kampung Merbau Menyusut.

Turut dipindahkan adalah 13 penduduk dari dua keluarga di Kampung Kolam, Hulu Terengganu yang kini ditempatkan di balai raya Kampung Kolam sementara empat penduduk lain ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Berangan, Marang.

Kesemua 47 penduduk itu merupakan kumpulan pertama mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan.

"Setakat pukul 5 petang ini, tiga pusat pemindahan dibuka iaitu di Masjid Kampung Merbau Menyusut, balai raya Kampung Kolam dan SK Pengkalan Berangan sementara laluan jalan raya belum ada yang ditutup," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula berkata, paras air Sungai Nerus di Kampung Langkap kini melebihi paras bahaya iaitu 22.14 meter (m).

Dua lagi sungai iaitu Sungai Telemong di Kampung Paya Rapat dan Sungai Setiu meningkat kepada paras amaran iaitu 21.2m dan 7.80m.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zuhami Omar memberitahu, bantuan tambahan banjir kini berada di setor simpanan banjir JKM di Pulau Kerengga dekat sini.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'