Pages

Wednesday, November 21, 2012

Dunia semakin teruk tercemar karbon dioksida



GENEVA - Agensi meteorologi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, pencemaran karbon dioksida (CO2) di udara adalah paling tinggi pada tahun lalu.
Agensi berkenaan yang dikenali sebagai Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) memberitahu, kadar kandungan CO2 di atmosfera kini meningkat 40 peratus berbanding sebelum Zaman Industri yang bermula sekitar tahun 1700.
Beberapa pegawai WMO semalam turut berkata, terdapat 30 peratus peningkatan kesan pemanasan iklim dunia antara tahun 1990 dan 2011 yang berpunca daripada gas CO2 hasil pembakaran bahan api fosil.
Setiausaha Agung WMO, Michel Jarraud berkata, sebanyak 350 bilion metrik tan gas CO2 dilepaskan ke atmosfera Bumi sejak tahun 1750. - AP

110 negara sokong hukuman mati dimansuh

LONDON - Sebanyak 110 buah negara menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memansuhkan hukuman mati.
Resolusi yang dibuat setiap dua tahun sekali itu mencipta rekod sokongan paling tinggi oleh negara-negara dunia.
Malaysia mengambil pendirian tidak bersetuju dengan resolusi terbabit.
Namun, resolusi tersebut turut mencetuskan jurang perbezaan antara negara-negara anggota PBB yang sebelum ini merupakan sekutu rapat.
Resolusi tersebut ditentang oleh 39 buah negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Jepun, China, Iran, India, Korea Selatan, Syria dan Zimbabwe manakala 36 buah negara lain bersikap berkecuali.
Israel bertindak menentang sekutu kuatnya, AS apabila menyokong resolusi tersebut bersama negara-negara Kesatuan Eropah, Australia, Brazil dan Afrika Selatan.
Pada tahun 2010, sebanyak 107 buah negara menyokong resolusi badan dunia itu.
Resolusi tersebut dibuat sebelum perhimpunan kongres sedunia bagi menentang pelaksanaan hukuman mati yang akan diadakan di Madrid, Sepanyol pada Jun 2013. - AFP

Pemandu teksi Singapura pulangkan wang RM2.7 juta




WANG kertas berjumlah RM2. 7 juta yang ditemui Ka Tian di dalam teksinya selepas ditinggalkan sepasang pelancong warga Thai kelmarin.



ka tian di sisi teksinya.


SINGAPURA - Seorang pemandu teksi di sini dijulang sebagai wira kerana memulangkan wang tunai berjumlah AS$900,000 (RM2.7 juta) milik pasangan pelancong Thailand yang tertinggal di dalam teksinya.
Pemandu berusia 70 tahun itu, Sia Ka Tian berkata, dia terkejut menemui wang tersebut di dalam sebuah beg kertas berwarna hitam di tempat duduk belakang selepas menurunkan mereka di sebuah pusat beli-belah di sini.
"Apabila saya melihat wang itu, saya berfikir masalah sudah datang. Saya pasti terdapat sekurang-kurangnya AS$200,000 (RM612,800) di dalam beg itu," katanya yang sudah 31 tahun memandu teksi.
Namun, apabila dia membawa beg kertas itu pulang ke syarikat pengangkutan teksi ComfortDelGro tempat dia bekerja, rakan-rakannya yang mengira wang itu terkejut kerana beg itu mengandungi wang sebegitu banyak.
Beg tersebut mengandungi sejumlah wang kertas bernilai seribu dolar Singapura.
"Duit itu tidak penting buat saya. Ia bukan milik saya, jadi bagaimana saya hendak gunakannya?" katanya kepada akhbar Straits Times.
Pasangan warga Thai tersebut melaporkan kehilangan tersebut kepada syarikat ComfortDelGro dan Ka Tian siap sedia menunggu apabila mereka tiba untuk menuntut kembali wang itu.
Bagaimanapun, akhbar berkenaan tidak menyatakan tujuan pasangan itu membawa wang dalam jumlah yang begitu banyak.
Ka Tian pula menerima sejumlah ganjaran daripada pasangan tersebut tetapi jumlahnya tidak didedahkan.
Pihak syarikat turut merancang untuk memberikan anugerah kepada Ka Tian kerana sikap jujurnya itu.
"Kami amat berbangga dengannya (Ka Tian) dan lega kerana penumpang tersebut menemui semula wang mereka," tambah jurucakap yarikat penghantar itu, Tammy Tan.
Pada 2009, seorang pemandu teksi lain mengembalikan beberapa jongkong emas seberat lima kilogram bernilai 377,000 dolar Singapura (RM942,807) yang ditemui di dalam teksinya. - AFP

Bunga bangkai mekar buat kali kedua




ORANG ramai berkumpul untuk melihat bunga bangkai mekar buat kali kedua di Taman Botanikal Basel, Switzerland kelmarin.


BASEL, Switzerland - Para pengunjung di Taman Botanikal Basel di sini berpeluang melihat dengan lebih dekat bunga terbesar di dunia, Amorphophallus titanum, yang mekar untuk kali kedua pada tahun ini kelmarin.
Dikenali juga sebagai bunga bangkai kerana bau tumbuhan itu seperti daging mereput, bunga berkenaan mekar buat kali pertama pada April lalu selepas 17 tahun ditanam.
Tumbuhan setinggi 2.27 meter itu berwarna kuning dan merah gelap.
Dalam pada itu, beberapa pakar botani di taman berkenaan memberitahu bahawa mereka terkejut kerana bunga tersebut mekar buat kali kedua dalam tempoh kurang 20 bulan. - AFP

Dua wanita ditahan kerana kritikan di Facebook




DUA orang wanita yang ditangkap kerana mengkritik di laman sosial Facebooknya berjalan keluar dari sebuah mahkamah di Mumbai semalam.


MUMBAI - Pihak berkuasa India menahan seorang wanita kerana mengkritik dalam akaun Facebooknya mengenai penutupan sebuah kawasan perniagaan di sini bagi memberikan laluan kepada upacara pengkebumian seorang ahli politik berpengaruh India, Bal Thackeray.
Wanita berkenaan menyatakan penutupan tersebut dibuat kerana takut dan bukan kerana menghormati ahli politik tersebut.
Turut ditahan bersama merupakan seorang wanita lain yang menekan butang suka pada komen itu.
Beberapa penganalisis dan pihak media semalam secara meluas mengutuk penangkapan mereka oleh pihak berkuasa negeri Maharashtra sebagai cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara.
Pada Ahad lalu, kedai-kedai, perkhidmatan pengangkutan awam dan kewangan di seluruh bandar raya ini ditutup ekoran kematian pemimpin itu.
Penahanan kedua-dua wanita itu dilihat sebagai langkah oleh polis untuk mengelak daripada berlakunya kekacauan oleh penyokong Thackeray.
Kedua-dua wanita berkenaan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin kelmarin. - AP

Amaran Hamas kepada Israel



PENDUDUK Gaza membawa jenazah dua kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan udara Israel untuk dikebumikan di Beit Lahiya, utara Genting Gaza semalam.


GENTING GAZA - Komander tertinggi sayap tentera Hamas, Mohammed Deif memberi amaran, Israel akan menerima padah jika ia berani melancarkan serangan darat ke dalam wilayah Palestin ini.
"Pihak musuh (rejim Zionis) akan menerima padah jika ia merancang untuk masuk ke Gaza," kata Mohammed yang merupakan komander Briged Ezzedine Al-Qassamzz kepada stesen televisyen Hamas, Al-Aqsa.
"Perang darat merupakan harapan terbaik untuk membebaskan tahanan Israel," tambahnya.
Beliau merujuk kepada rancangan pejuang Palestin untuk menawan askar-askar Israel dan menukarnya dengan tahanan Palestin sekiranya Tel Aviv menceroboh Gaza.
Dalam perkembangan terbaharu, pasukan perubatan di sini menyatakan seramai enam penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara tentera Israel yang masuk hari ketujuh semalam
Angka kematian tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat keganasan Israel kini meningkat kepada 116 orang termasuk sejumlah wanita dan kanak-kanak.
Serangan udara dan bedilan artileri Tel Aviv itu yang bermula pada 14 November lalu turut mencederakan lebih daripada 920 orang awam.
Mengulas serangan terbaharu itu Tentera Israel menyatakan, operasi semalam melibatkan kira-kira 100 sasaran di sini yang dibedil dengan pesawat pejuang dan meriam.
Salah satu sasaran tentera Israel merupakan Bank Islam Kebangsaan milik pejuang Hamas yang rosak teruk selepas diserang.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah roket yang ditembak dari sini mengenai sasaran dekat Baitulmuqaddis tetapi tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
Pasukan Briged Al-Qassam mengaku melancarkan roket tersebut ke arah bandar Baitulmuqaddis yang ditakluki Israel.
Perkembangan itu berlaku ketika Mesir yang menjadi pengantara gencatan senjata antara Israel dan Gaza menyatakan pertempuran yang berlaku akan tamat minggu ini.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah menghantar Setiausaha Negara Hillary Clinton ke Asia Barat untuk menghentikan pertempuran antara Israel dan Hamas.
White House berkata, Hillary akan berjumpa dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Baitulmuqaddis, pegawai-pegawai Hamas di Ramallah dan pemimpin Mesir di Kaherah bagi mencari jalan penyelesaian. - Agensi

Tuesday, November 20, 2012

Ibu pejabat polis Hamas sasaran terbaru Israel



Ibu pejabat polis Hamas sasaran terbaru Israel
Ibu Pejabat Polis Abbas ranap selepas dibedil Israel awal pagi, semalam.
GAZA CITY - Serangan Israel ke atas Gaza memasuki hari keenam dengan menyaksikan pertempuran sengit terus tercetus semalam, apabila serangan udara membedil Ibu Pejabat Polis Abbas.
Bedilan itu adalah serangan kedua terbesar selepas Pejabat Presiden Palestin, Ismail Haniyeh musnah dalam bedilan kelmarin.
Jurucakap polis berkata, kejadian itu menyebabkan banyak kediaman dan bangunan di kejiranan Rimal rosak termasuk berpuluh kenderaan.
“Ratusan penduduk awam mengalami kecederaan namun tiada kematian dilaporkan setakat ini,” katanya.
Minggu lalu, serangan udara Israel turut meranapkan Ibu Pejabat Polis Arafat, yang menempatkan kemudahan utama anggota polis Hamas. - AFP

Isu Gaza: Rusia dakwa AS halang usaha PBB



72 maut sejak Rabu, Palestin mahu komuniti antarabangsa bantu
Anggota bomba memadam kebakaran susulan serangan Israel ke atas sebuah rumah di Gaza City,baru-baru ini. - Foto ihsan Reuters
NEW YORK - Rusia mendakwa Amerika Syarikat menghalang usaha Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengecam konflik Israel-Palestin di Semenanjung Gaza yang semakin  meningkat.
Moscow juga mendakwa anggota-angota lain majlis tersebut melengah-lengahkan isu terbaru berhubung serangan Israel yang bermula Rabu lalu.
Duta Rusia ke PBB, Vitaly Churkin berkata, beliau bersedia untuk membawa satu resolusi iaitu satu langkah yang lebih tegas berbanding hanya satu kenyaatan biasa bagi menghentikan konflik semasa dan memperlihatkan sokongan ke atas usaha mencapai jalan penyelesaian dibawa pihak serantau dan antarabangsa.
Dipetik Reuters, Churkin berkata, beliau akan merangka satu resolusi jika persetujuan boleh dicapai bersama 15 anggota Majlis Keselamatan mengenai kenyataan dibuat yang diluluskan secara konsensus.
Resolusi akan diluluskan jika menerima sokongan sembila negara tetapi tidak harus ada veto oleh anggota kekal, yang terdiri daripada Russia, China, Britain, AS dan Perancis.
"Jika satu anggota Majlis Keselamatan, yang saya pasti anda boleh meneka yang mana satu, telah membayangkan mereka tidak bersedia untuk mengikut sebarang reaksi Majlis Keselamatan," kata Churkin merujuk kepada AS.
Katanya, pendirian AS itu akan menjejaksan usaha-usaha semasa dibawa oleh Mesir dan negara-negara serantau.

Israel terus mengganas



2012/11/20 - 05:19:02 AM
  Foto

Penduduk melihat kemusnahan rumah keluarga al-Dallu selepas jet Israel melancarkan peluru berpandu.

Foto
Doktor memeriksa mayat empat kanak-kanak ahli keluarga al-Dallu, mangsa serangan Israel di Gaza. - Foto AP

Gaza: Mereka kata Mohammed masih hidup! jerit Khalil al-Dallu ketika penyelamat menarik mayat seorang pemuda dari sebuah kediaman musnah dek serangan udara Israel.

Seramai 29 lagi penduduk Gaza maut lewat kelmarin hingga semalam ketika operasi Israel masuk hari ke-6 yang digelar Pillar of Defence (Operasi Tunjang Pertahanan).

Khalil mengalirkan air mata apabila dimaklumkan bahawa sepupunya itu antara enam ahli keluarga al-Dallu yang maut selepas peluru berpandu Israel menggegarkan kawasan kejiranan Nasser, meruntuhkan kediaman tiga tingkat mereka.

Keluarga kami syahid! tangis beliau ketika mayat Mohammed al-Dallu dimasukkan ke dalam ambulans.

Apa dosa kanak-kanak dan bayi ini, Israel? jerit beliau. Sebelas mayat ditarik dari runtuhan bangunan itu dan kawasan sekitar.

Mayat isteri Mohammed, Suheila juga ditemui selain lima anak mereka, Jamal, Sara, Yussef, Ranin dan Ibrahim.

Mayat seorang wanita lain yang juga ahli keluarganya turut ditarik keluar. Serangan turut membunuh dua lagi jiran mereka dari keluarga Muzzana iaitu Amina Mattar, 83 dan Abdullah Mohammed, 22.
Bapa Mohammed, Jamal dan anak lelakinya, Abdullah, 17, terselamat. Ketika serangan mereka keluar membeli makanan.

Jamal sekadar mampu bersandar pada tiang elektrik sambil saudaranya memenuhi kawasan sekitar ketika cebisan mayat cucunya dikutip di kawasan yang pernah menjadi kediaman mereka.

Dalam keadaan yang hampir histeria kerana terlalu marah dan sedih, Ibrahim menjerit: Jangan beritahu abangnya Abdullah. Trauma akan membunuhnya! Abdullah, 26 pada masa ini belajar di Turki dalam bidang perubatan.

Di Ramallah, pergerakan Fatah dan Hamas memutuskan untuk bersatu ketika krisis berlangsung di Gaza.

Sesiapa yang kata kami tidak bersepakat adalah penjenayah mulai hari ini, kata pemimpin kanan Hamas, Mahmud al-Ramahi ketika 1,000 orang berhimpun membantah keganasan Yahudi.

Mulai sekarang, kami umumkan tiada lagi perpecahan, kata pegawai kanan Fatah, Jibril Rajoub.
AFP

Kapsul Soyuz mendarat di Kazakhstan




BEBERAPA petugas memeriksa kapsul roket Soyuz TMA-05M yang membawa pulang tiga kru Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa semalam.


ALMATY - Seramai tiga angkasawan yang menaiki kapsul roket Soyuz TMA-05M mendarat dalam persekitaran gelap dan sejuk di pedalaman Kazakhstan semalam selepas berada selama 125 hari di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Angkasawan Pentadbiran Aeronautik Dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Sunita Williams, kosmonaut Rusia Yury Malenchenko dan angkasawan agensi angkasa lepas Jepun, Aki Hoshide mendarat pada pukul 7.56 pagi waktu tempatan di timur laut bandar Arkalyk.
Sebanyak lapan buah helikopter membawa sejumlah kru mencari dan menyelamat dihantar untuk menghulurkan bantuan selepas kapsul mereka tersasar sedikit dari lokasi pendaratan sepatutnya.
" Bagi saya, semuanya berada dalam keadaan baik," kata Williams kepada kru penyelamat berkenaan.
Seramai tiga angkasawan lain terus berada di ISS dan akan disertai angkasawan NASA, Tom Marshburn, angkasawan Agensi Angkasa Lepas Kanada, Chris Hadfield dan kosmonaut Rusia, Roman Romanenko pada bulan depan.
Setakat ini, kapal angkasa Soyuz merupakan satu-satunya pengangkutan untuk membawa angkasawan antarabangsa ke ISS sejak perkhidmatan kapal angkasa Shuttle milik Amerika Syarikat berakhir pada 2011. - Agensi

Puting beliung air landa pantai



SEBUAH kenderaan pacuan empat roda melalui jalan pantai di Teluk Batemans, Australia ketika puting beliung air berlaku kelmarin.


SYDNEY, Australia - Satu kejadian puting beliung air gergasi dilihat di kawasan pantai Teluk Batemans yang terletak sekitar 225 kilometer ke selatan bandar raya ini kelmarin, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.
Fenomena alam semula jadi itu terbentuk apabila puting beliung berlaku di atas permukaan laut.
Puting beliung air boleh bergerak selaju 128 kilometer sejam (km/j) dengan pusaran anginnya pula bertiup pada kelajuan antara 96 km/j hingga 192 km/j.
Ribut berkenaan boleh menyebabkan kemusnahan besar pada terumbu karang, hidupan marin dan mengancam bot, pesawat serta perenang.
Walaupun jarang berlaku di Australia, empat puting beliung air gergasi pernah dilihat di Pantai Avoca di sini pada Mei tahun lalu. - Agensi

Korban serangan Zionis meningkat 96 orang



PENDUDUK Palestin berkumpul melihat sebuah rumah yang musnah selepas serangan udara tentera Israel di Khan Younis, selatan Genting Gaza.


GENTING GAZA - Serangan udara tentera Israel yang masuk hari keenam semalam meragut 13 lagi nyawa warga Palestin menjadikan angka korban keseluruhan kini meningkat kepada 96 orang.
Serangan itu berlaku ketika usaha gencatan senjata sedang giat dilakukan oleh para pemimpin antarabangsa bagi menamatkan kekejaman Zionis.
Serangan yang dilancarkan ke atas wilayah Genting Gaza kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh empat tahun.
Dalam pada itu, tentera Israel menyatakan, pihaknya telah berjaya mengambil alih sebuah program stesen televisyen milik Hamas.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa penganalisis politik berkata, pemimpin Israel berpuas hati dengan kejayaan Operation Pillar of Defence yang dilancarkan pada Rabu lalu bertujuan untuk menghentikan tembakan roket pejuang Hamas.
Operasi tersebut melibatkan serangan udara bertubi-tubi ke atas wilayah Palestin berkenaan.
Sejak keganasan ke atas Genting Gaza bermula, Israel tidak henti-henti melakukan serangan udara dan langsung tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti walaupun serangan udara kian berkurangan sejak Jumaat.
Sehingga semalam, pihak tentera Israel berkata, ia telah membedil lebih daripada 1,350 kawasan Gaza manakala pejuang Hamas telah menembak lebih 850 roket ke Tel Aviv dan satu ke Baitulmuqaddis.
Kelmarin, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pasukan tentera daratnya kini bersedia untuk menggempur Genting Gaza bagi menentang pejuang Hamas.
Stesen radio awam melaporkan seramai 40,000 pasukan tentera simpanan kini bersiap sedia berhampiran sempadan Gaza.
Sementara itu, Perdana Menteri Mesir, Hisham Kandil berkata, usaha damai yang dikelolakan pihaknya sedang berjalan dan peluang untuk menamatkan peperangan adalah cerah.
"Rundingan sedang berjalan sekarang ini dan saya berharap kami akan mencapai sesuatu bagi membolehkan keganasan dihentikan," kata Hisham dalam satu wawancara di Kaherah. - Agensi

Monday, November 19, 2012

Kawal guna minda



Versi awal Puzzlebox Orbit yang menggunakan reka bentuk tradisional helikopter, sedang diuji oleh pelajar sekolah. Gambar kecil menunjukkan model terbaru, Puzzlebox Orbit yang dijual dengan harga AS$299 (RM900) sebuah. - AGENSI
LOS ANGELES 17 Nov. - Kebiasaannya alat permainan kawalan jauh memerlukan alat kawalan khas dan perlu dikawal menggunakan pergerakan tangan.
Namun sebuah firma elektronik Amerika Syarikat (AS) mencipta helikopter permainan kawalan jauh yang dikenali sebagai Puzzlebox Orbit yang dikawal dengan menggunakan fon kepala khas.
Malah pengguna helikopter itu tidak perlu menggunakan tangan untuk menggerakkannya, sebaliknya mereka boleh menggunakan minda mereka untuk membolehkan alat permainan tersebut berfungsi.
Fon kepala model Neurosky berkenaan mempunyai ciri-ciri khas untuk mengesan gelombang otak pengguna yang akan mengawal pergerakan helikopter permainan terbabit.
Puzzlebox Orbit dihasilkan dengan tujuan melatih otak manusia menjadi tenang sebelum mengawalnya. Produk itu dijual dengan harga AS$299 (RM900) sebuah menerusi laman web Kickstarter.
Helikopter mainan itu juga mempunyai ciri-ciri reka bentuk yang unik berbentuk sfera untuk melindungi kipas alat tersebut daripada patah atau rosak sekiranya merempuh dinding atau siling. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121118/lu_04/Kawal-guna-minda#ixzz2CgDWyL5r
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Krisis Gaza: Israel serang 80 kawasan, angka korban cecah 90




19 November 2012
GAZA CITY – Sekurang-kurangnya 18 orang lagi maut di Semenanjung Gaza hari ini apabila tentera Israel meneruskan serangan udara, yang dilaporan mahu menghentikan serangan roket ke Israel.
Angka kematian setakat ini meningkat iaitu 90 rakyat Palestin dan tiga di pihak Israel.

Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata yang mereka mensasarkan kira-kira 80 kawasan serangan termasuk bangunan milik tentera Hamas, kemudahan penyimpanan senjata dan balai polis sekali gus membawa jumlah keseluruhan kawasan serangan sebanyak 1,350.

Salah satu serangan semalam memusnahkan ibu pejabat polis Hamas.

Serangan udara juga seakan tiada henti datang daripada kapal perang Israel.

Setiausaha Agung PBB, Bang Ki-moon turut menggesa supaya gencatan senjatan diadakan segera dan bersedia untuk menyertai rundingan gencatan senjata di Mesir.

Semalam, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengulangi pendirian pihaknya akan memperluaskan serangan ke atas Gaza.

Hujung minggu lalu, Kabinet Israel meluluskan tindakan memobilisasi sehingga 75,000 askar simpanan.

Presiden Mesir, Mohammed Mursi berkata pula berkata pencerobohan Israel ke atas Gaza bakal memberi kesan serius dan tidak dapat menerima perlakuan Israel itu sama sekali.

Pemberontak Syria tawan lapangan terbang

Pemberontak Syria tawan lapangan terbangLapangan terbang tentera kerajaan Syrian di bandar Deir al-Zor ditawan pemberontak.
BEIRUT - Kumpulan pemberontak dilapor menawan sebuah lapangan terbang yang digunakan tentera kerajaan Syria di kawasan yang bersempadan dengan Iraq, hari ini.

Aktivis tempatan, Ziad al-Amir berkata, ia ditawan selepas pasukan tentera Presiden Bashar al-Assad bertindak balas dengan serangan di lapangan terbang itu dengan jet pejuang, sekali gus menunjukkan kumpulan pemberontak mengukuhkan kedudukan mereka di pekan Albu Kamal yang ditawan baru-baru ini.

Video diterbitkan kumpulan pemberontak itu juga menunjukkan, tentera Syria melakukan rondaan udara menggunakan jet pejuang di wilayah Deir al-Zor, lapor Reuters.

Sementara itu, media tempatan melaporkan, seorang jurukamera Turki Cuneyt Unal yang ditawan oleh tentera kerajaan Syria sejak Ogos dibebaskan dan selepas kumpulan Ahli

Parlimen pembangkang, dari parti CHP, bermesyuarat dengan Bashar termasuk kumpulan penggubal undang-undang.

“Saya dalam keadaan baik dan tidak dicederakan oleh sesiapa,” katanya dalam satu temu bual bersama stesen televisyen tempatan.

Media melaporkan, jurukamera itu akan dihantar pulang ke halamannya di Turki dengan segera.

Ogos lalu, Unal bersama Bashar Fahmi al-Kadumi, yang bertugas dengan agensi media Al-Hurra untuk siaran berita di Amerika Syarikat, hilang di utara bandar Aleppo.

Gaza terus bermandi darah, kem pelarian dibedil



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 November 2012
Gaza terus bermandi darah, kem pelarian dibedil
Penduduk Gaza mencari mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang terkena bedilan bom di Gaza City.
GAZA CITY -  Bumi Gaza terus bermandi darah kerana dihujani bedilan roket serta bom yang disasarkan dari pelbagai sudut termasuk di udara dan laut menyebabkan tiga kanak-kanak yang berlindung di kem pelarian Bureij, tengah Gaza terkorban, hari ini.

Menurut sumber paramedik, kem pelarian Jebalya turut dibedil sebanyak dua kali dan membunuh seorang kanak-kanak serta mencederakan 12 yang lain.

Menjelang pagi tadi, beberapa bedilan roket disasarkan tentera rejim ke arah kediaman dan pejabat pengamal media Arab di Gaza City sehingga mencederakan sebahagian wartawan yang bertugas di stesen televisyen (tv) kerajaan Al-Quds.

"Sekurang-kurangnya enam wartawan cedera dan seorang daripada mereka kehilangan sebelah kaki selepas terkena bedilan bom udara yang disasarkan ke stesen tv Al-Quds dalam kejiranan Rima," kata jurucakap kementerian kesihatan, Ashraf Al-Qudra.

Saksi memberitahu, pusat media kedua terbesar Gaza, Sky News, Al-Arabiya dan ibu pejabat rangkaian tv Hamas, Al-Aqsa turut dibom rejim menyebabkan dua wartawan parah.

Sementara itu, pertemuan Presiden Mesir, Mohammed Mursi bersama Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam menyatakan satu gencatan senjata bakal dimeterai di antara Israel dan Palestin.

Bagaimanapun, dalam satu laporan agensi berita Israel, pegawai rejim memaklumkan mereka sesekali tidak akan melaksanakan gencatan senjata sebaliknya meneruskan serangan ke dalam Semenanjung Gaza. -Al-Jazeera

Pemberontak Syria tawan pangkalan tentera Aleppo




19 November 2012
BEIRUT - Kumpulan pemberontak Syria dilaporkan menawan dan mengepung sebahagian kawasan strategik tentera kerajaan sejak beberapa minggu lalu di wilayah utara Aleppo, hari ini.

Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, pertempuran ganas berlaku antara kedua-dua pihak sebelum kumpulan pemberontak itu menawan Pangkalan Tentera 46 di Atarib yang menjadi sasaran utama sejak bulan lalu.

“Pemberontak menawan sebahagian besar pangkalan itu dan  turut merampas senjata berat milik tentera,” katanya dipetik AP.

Menurut kumpulan pemerhati itu, pemberontak meletupkan dua tangki minyak dengan menggunakan peluru berpandu buatan sendiri.

Di Damsyik, tentera kerajaan terus diserang dengan meriam di selatan Al-Hajar al-Aswad dan membunuh seorang awam dan beratus penduduk cedera.

Sementara itu, Iran memberi amaran terhadap dalang pembekal senjata kepada pemberontak Syria.

Menteri Luar Iran, Ali Akbar Salehi berkata, perbuatan itu mengancam kestabilan serantau dan meningkatkan risiko keganasan.

“Jika pembekalan senjata ini tidak dihentikan peperangan akan terus tercetus dan ramai penduduk menjadi mangsa,” katanya ketika rundingan
bersama wakil  Presiden Bashar Al-Assad dan kumpulan pemberontak,” katanya.

Terdahulu, Perancis secara terbuka mengaku membekalkan senjata kepada pemberontak selepas  Presiden Francois Hollande, mengiktiraf Gabungan Kebangsaan Syria (SNC) yang diwakili Ahmed al-Khatib Moaz dengan menawarkan pembukaan pejabat kedutaan di Paris.

Israel serang Gaza buat hari kelima, 47 maut




18 November 2012
Israel serang Gaza buat hari kelima, 47 maut
Askar Israel melancarkan Iron Dome dari bandar Beersheba semalam. - Foto ihsan Reuters
BAITULMUQADDIS - Pesawat-pesawat Israel melancarkan serangan ke atas Gaza buat hari kelima pagi ini sementara angka kematian di pihak Palestia mencecah 47 orang setakat ini.
Separuh daripada angka kematian itu membabitkan orang awam termasuk 12 kanak-kanak, kata laporanReuters memetik pegawai-pegawai Palestin.
Laporan itu juga menyebut bahawa tentera Israel sedang membuat persiapan untuk melancarkan serangan dari darat.
Bagaimanapun negara jiran Mesir pula berkata sudah ada tanda-tanda kemungkinan kedua-dua pihak akan memeterai gencatan senjata.
Israel melancarkan kempen serangan udara ke atas Palestin pada Rabu lalu, membawa kepada kematian pemimpin utama Hamas yang menyelia wilayah gaza dan menentang kewujudan rejim Yahudi.
Dalam pada itu, Ketua Perisikan Mesir, Mohammed Shehata mengadakan perbincangan dengan Hamas dan Israel untuk menghentikan serangan yang berterusan tiga hari berturut-turut.
Mohammed telah menghubungi Israel dan meminta negera Yahudi itu agar bertindak menenangkan situasi, lapor CNN memetik seorang jeneral risikan.
Beliau sedang berusaha untuk memujuk kedua-dua pihak akan bersetuju untuk gencatan senjata.
Menurut jeneral itu, perbincangan sedang berlangsung dan belum ada tanda-tanda jelas bila kata putus akan dicapai.
Pusat Penerangan Palestin pula berkata, Mohammed telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Hamas, Khalid Meshaal semalam untuk mencapai penyelesaian menghentikan 'ketegangan' terbaru ini.

Samira Ibrahim gadis paling digeruni di Mesir



LIZA HASAN
19 November 2012
Samira Ibrahim
Samira Ibrahim
Samira Ibrahim, nama paling ditakuti di Mesir ketika ini. Gadis berusia 25 tahun itu selayaknya dinobatkan sebagai gadis paling berani di negara pimpinan Mohammed Mursi.
Keberanian beliau menentang dominasi golongan Adam, terutama kerakusan tentera Mesir yang sering memperlakukan golongan hawa semahunya wajar dicontohi oleh wanita pada dekad ini.
Tragedi 6 Februari, boleh dikatakan mengukir sejarah apabila beliau tampil buat pertama kalinya ke muka pengadilan bagi  mengheret tentera negara itu untuk menuntut hak terhadap tuduhan rogol setelah dipaksa menjalani ujian keperawanan.
“Saya mahu lakukan revolusi terhadap tekanan melampau kepada golongan wanita di negara ini. Mereka mengkhianati rakyat dan negaranya sendiri,” katanya dalam satu temu bual di radio Netherlands.
Pada 9 Mac 2011, Samira termasuk 16 gadis lain ditahan di dataran Tahrir, Kaherah ketika perarakan hari wanita antarabangsa. Empat hari dilaluinya di penjara tentera, adalah mimpi buruk dalam hidupnya apabila beliau bersama tahanan lain diperlakukan seperti pelacur, diseksa menggunakan renjatan elektrik dan digelar wanita sundal oleh petugas di penjara.

Mereka dipaksa berbogel sambil disaksikan ketua penjara dan petugas lainnya dengan alasan sebagai pemerhati ketika ujian keperawanan dilakukan oleh doktor tentera, Ahmed Adel.
Bertitik tolak dari kes itu, Samira bangkit menuntut haknya dengan membawa kes itu ke pengadilan atas tuduhan rogol dan pada 27 Disember 2011, hakim Mahkamah Persekutuan mengeluarkan arahan terhadap larangan ujian terbabit.

Dibuang kerja akibat menentang

Sungguhpun kes itu selesai tetapi perjuangan Samira sebenarnya masih hijau. Aura beliau berjaya meresapi ke tubuh seluruh golongan wanita di negara itu. Beliau yakin kemenangan kes terbabit sekadar menutup aib rejim tentera Mesir apabila ujian keperawanan itu ditafsirkan sebagai ‘pemeriksaan bertujuan mulia’ oleh mahkamah tentera ketika hujahan dibacakan di Mahkamah Persekutuan Kaherah pada 25 Oktober tahun lalu.
Mengikut perundangan di Mesir, pelanggaran ini tidak dapat dikenakan hukuman kerana tiada bukti kukuh terhadap kewujudan ujian keperawanan yang dikatakan wajib dijalani oleh semua tahanan.
“Awalnya mereka mengakui terdapat ujian keperawanan. Namun tuduhan itu ditafsirkan sebagai hanya mengeluarkan kata-kata kesat berbaur lucah,” kata Samira.

Beliau berkata, ini membuktikan pihak tentera melindungi pelakunya kerana mendakwa mereka hanya berdiri dan melihat sahaja.
Kemarahan dan kekesalan Samira tidak dapat dibendung apabila beliau nekad mengheret pihak tentera ke muka pengadilan antarabangsa.

Kelantangan bersuara membuatkan dirinya diiktiraf oleh aktivis dunia sekali gus menjadikannya sebagai gadis paling berani di Mesir.

Protes demi protes dilakukan bagi menuntut hak wanita sehingga mempunyai penyokong paling ramai di Mesir, New York dan Arab Saudi.
Keberanian itu juga membuka mata dunia sehingga beliau tersenarai sebagai 100 wanita paling berpengaruh di dunia oleh majalah Times.

Namun kehidupannya kini berubah apabila beliau yang dahulunya bekerja sebagai pengurus pemasaran dibuang kerja gara-gara keberanian menentang pihak tentera kerajaan.
Tetapi perkara itu sedikit pun tidak melemahkan semangatnya malah beliau mendapat sokongan dari keluarganya terutama ayahnya yang juga aktivis berhaluan kiri.

”Adik-beradik saya wajar digelar pahlawan. Kami tabah selepas ayah diperlaku kejam dan pernah dipenjarakan ketika pemerintahan Presiden Hosni Mubarak,” katanya.

Pengaruh di Facebook

Sejak tercetusnya revolusi itu, perseptif terhadap golongan wanita tidak lagi dipandang enteng. Sungguhpun beliau dianggap sebagai pemecah tradisi adat konservatif di negara itu, namun wanita Mesir kini bijak menggunakan kewarasan dan keberanian dalam membezakan hak, tuntutan dan maruah.
Medium media sosial digunakan untuk menyalurkan maklumat dan perbincangan terhadap hak golongan wanita malah beliau sendiri menggalakkan wanita untuk lebih bersikap terbuka dalam melayari maklumat di internet dan berhubung dengan masyarakat antarabangsa.
Tindakannya itu turut disokong oleh golongan lelaki yang rasional terhadap hak-hak wanita dunia.

Jatuh tersungkur kerana wanita



WARTAWAN SINAR HARIAN
19 November 2012
David Petreaus
Petreaus meletak jawatan pada 9 November lalu.- Foro Newscom
Skandal terbaru di Amerika Syarikat (AS) seakan serupa dengan jalan cerita dalam filem perisikan yang sering dihasilkan industri hiburan negara itu.
Hanya beberapa hari selepas Presiden Barack Obama mengekalkan kuasa untuk satu penggal lagi selepas memenangi pilihan raya umum AS, negara itu dikejutkan dengan peletakan jawatan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Jeneral  David Petreaus.
Petreaus, 60, bukan calang-calang orangnya. Mempunyai karier selama 37 tahun dalam tentera AS dan menjadi pemimpin tertinggi tentera, Petreaus adalah komander yang bertanggungjawab mengendalikan perang di Afghanistan.
Kehebatannya dalam aspek ketenteraan dan perisikan tidak boleh dinafikan sehingga Petreaus dilantik Obama menjadi ketua CIA, agensi perisikan paling terkenal di dunia.
Dengan latar belakang sehebat itu, Petreaus sepatutnya lebih tahu wanita adalah senjata paling berbahaya yang boleh menjatuhkan reputasi seseorang.
Tetapi siapa sangka, ketua perisik itu sendiri menjunamkan dirinya ke kancah kemusnahan hanya kerana perhatian yang diberikan oleh seorang wanita.

Petreaus meletak jawatan pada 9 November lalu selepas mengakui mempunyai hubungan sulit dengan penulis biografinya, Paula Broadwell, 40.
Broadwell yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak menghabiskan banyak masa di Afghanistan pada 2010 ketika Petraeus berkhidmat di negara itu sebagai komander tertinggi tentera AS.
Wanita itu diberi kebenaran menulis buku biografi Petraeus bertajuk "All In" yang dianggap pengkritik sebagai buku yang hanya penuh dengan pujian.
Hubungan sulit itu diketahui selepas Broadwell menghantar emel mengugut seorang kenalan Petraeus, Jill Kelley yang dianggap cuba menarik perhatian komander itu, menyebabkan Kelley berasa terancam mengadu kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

“Selepas berkahwin selama 37 tahun, saya membuat pertimbangan sangat buruk dengan melibatkan diri dalam hubungan sulit.
“Kelakuan seperti ini tidak boleh diterima, sebagai seorang suami dan sebagai pemimpin organisasi seperti ini.

Hari ini, Presiden (Obama) menerima peletakan jawatan saya,” kata Petreaus dalam suratnya kepada semua pegawai CIA bertarikh 9 November lalu.

Dengan pengakuan dan peletakan jawatan itu, dia menyertai senarai panjang pemimpin AS, dari presiden kepada wakil rakyat, yang menyaksikan karier mereka musnah kerana seks.

Skandal seks pemimpin
Emel cemburu dari Broadwell itu bukan hanya menjatuhkan Petraeus tetapi turut melibatkan seorang lagi pemimpin tinggi tentera AS.

Minggu lalu, Pentagon mengumumkan Jeneral John Allen, 58, yang sepatutnya dilantik sebagai Komander Tertinggi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Eropah, sedang disiasat atas dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan Kelley.

Jaringan skandal itu kelihatan semakin rumit dan menyamai twist dalam filem Hollywood.

Namun sejak dahulu lagi, politik dan pentadbiran AS dicemari banyak skandal seks, termasuk melibatkan presiden dan wakil rakyat.

Antara yang paling awal diperkatakan adalah skandal bekas Presiden John F Kennedy dengan ramai wanita, termasuk pelakon terkenal tahun 1960-an, Marilyn Monroe.

Walaupun Kennedy tidak pernah mengakui sifat kaki perempuannya, buku tulisan seorang bekas pekerja Rumah Putih, Mimi Alford yang diterbitkan Februari lalu memberi jawapan kepada soalan itu.
Di dalam buku Once Upon a Secret: My Affair With President John F. Kennedy and Its Aftermath, Alford menceritakan hubungan sulit selama 18 bulan antara dia dengan Kennedy pada 1962, ketika wanita itu berumur 19 tahun.

Kemudian siapa yang tidak ingat dengan Monica Lewinsky, pekerja sementara di Rumah Putih yang mendedahkan dia mempunyai hubungan sulit dengan Presiden AS, Bill Clinton pada 1998?
Clinton mengadakan sidang akhbar khas dan menegaskan: “Saya tidak pernah mempunyai hubungan seksual dengan wanita itu, Cik Lewinsky”.
Namun Clinton kemudian disiasat atas dakwaan menipu di bawah sumpah sebagai presiden apabila beliau menafikan hubungan dengan Lewinsky yang berumur 22 tahun pada waktu itu.
Clinton akhirnya mengaku dalam keterangan kepada Senat AS, diikuti dengan pengumuman terbuka di televisyen bahawa beliau mempunyai hubungan seksual dengan Lewinsky.
Beliau bagaimanapun terselamat apabila Senat AS enggan memecatnya dan terus berkhidmat sebagai presiden sehingga akhir penggal pemerintahannya.
John Edwards, bekas Senator yang pernah dua kali menjadi calon presiden dalam pilihan raya AS pula mengaku mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita pada 2008 sehingga menghasilkan seorang anak.
Skandal membabitkan pemimpin di AS semakin pelik apabila seorang anggota Kongres, Anthony Weiner mengaku menggunakan akaun sosial Twitter untuk menghantar pautan gambar bogelnya kepada seorang wanita berumur 21 tahun.
Beliau kemudian meletak jawatan selepas skandal itu didedahkan media.

Keselamatan AS terjejas?
Hubungan sulit bukan sesuatu yang asing dalam kalangan pemimpin paling berkuasa di Washington tetapi skandal seks Petraeus, seorang jeneral tentera bertaraf empat bintang, melibatkan persoalan keselamatan negara serta kestabilan politik AS.

Menurut penganalisis, tiada bukti berlaku pencerobohan keselamatan akibat hubungan sulit itu namun itu tidak menghentikan persoalan sama ada Broadwell mempunyai akses kepada maklumat sulit ketenteraan.
Persoalan itu semakin kuat, minggu lalu, dengan penyiaran rakaman ucapan Broadwell di Universiti Denver yang dirakam bulan lalu.

“Saya tidak tahu kalau anda pernah mendengar hal ini, tetapi pejabat CIA (di kedutaan AS di Libya) menahan dua orang militan Libya dan mereka (CIA) percaya serangan ke atas konsulat itu adalah usaha puak militan untuk membebaskan tahanan ini,” kata Broadwell, merujuk kepada serangan di kedutaan AS di Benghazi yang membunuh duta AS, Chris Stevens dan dua pegawai CIA pada 11 September lalu.
Dakwaan Broadwell itu dinafikan pegawai perisikan yang ditemu ramah agensi berita CNN namun tiada bukti maklumat diperoleh Broadwell itu datang daripada Petraeus.
Sementara itu, akhbar The New York Times melaporkan penyiasat menjumpai dokumen rahsia di dalam komputer bimbit Broadwell tetapi Petraeus menafikan dia memberi sebarang maklumat rahsia kepada Broadwell.
Seorang bekas jeneral tentera AS, James Marks berkata, dia yakin tiada sebarang pencerobohan maklumat berlaku sepanjang skandal itu.
“Hampir kosong peratus kemungkinan bahawa keselamatan negara terancam akibat hubungan sulit ini,” katanya.
Peletakan jawatan Petraeus turut memalukan CIA yang telah pun dikritik akibat serangan di kedutaan AS di Libya serta menimbulkan lebih banyak persoalan oleh Kongres berhubung integriti agensi itu.

Siasatan FBI yang membawa kepada kemusnahan karier Petraeus juga menggambarkan hubungan tegang antara kedua agensi kerajaan paling berkuasa di AS.
Namun bekas penolong pengarah FBI, Chris Swecker berpendapat kejadian terbaru ini tidak akan menjejaskan operasi CIA.
“Realitinya, CIA akan sentiasa dikelilingi kontroversi kerana kedudukannya sebagai agensi perisikan,” katanya.