Israel serang Gaza buat hari kelima, 47 maut
Askar Israel melancarkan Iron Dome dari bandar Beersheba semalam. - Foto ihsan Reuters
BAITULMUQADDIS - Pesawat-pesawat Israel melancarkan serangan ke atas Gaza buat hari kelima pagi ini sementara angka kematian di pihak Palestia mencecah 47 orang setakat ini.
Separuh daripada angka kematian itu membabitkan orang awam termasuk 12 kanak-kanak, kata laporanReuters memetik pegawai-pegawai Palestin.
Laporan itu juga menyebut bahawa tentera Israel sedang membuat persiapan untuk melancarkan serangan dari darat.
Bagaimanapun negara jiran Mesir pula berkata sudah ada tanda-tanda kemungkinan kedua-dua pihak akan memeterai gencatan senjata.
Israel melancarkan kempen serangan udara ke atas Palestin pada Rabu lalu, membawa kepada kematian pemimpin utama Hamas yang menyelia wilayah gaza dan menentang kewujudan rejim Yahudi.
Dalam pada itu, Ketua Perisikan Mesir, Mohammed Shehata mengadakan perbincangan dengan Hamas dan Israel untuk menghentikan serangan yang berterusan tiga hari berturut-turut.
Mohammed telah menghubungi Israel dan meminta negera Yahudi itu agar bertindak menenangkan situasi, lapor CNN memetik seorang jeneral risikan.
Beliau sedang berusaha untuk memujuk kedua-dua pihak akan bersetuju untuk gencatan senjata.
Menurut jeneral itu, perbincangan sedang berlangsung dan belum ada tanda-tanda jelas bila kata putus akan dicapai.
Pusat Penerangan Palestin pula berkata, Mohammed telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Hamas, Khalid Meshaal semalam untuk mencapai penyelesaian menghentikan 'ketegangan' terbaru ini.