Gaza terus bermandi darah, kem pelarian dibedil
Penduduk Gaza mencari mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang terkena bedilan bom di Gaza City.
GAZA CITY -  Bumi Gaza terus bermandi darah kerana dihujani bedilan roket serta bom yang disasarkan dari pelbagai sudut termasuk di udara dan laut menyebabkan tiga kanak-kanak yang berlindung di kem pelarian Bureij, tengah Gaza terkorban, hari ini.

Menurut sumber paramedik, kem pelarian Jebalya turut dibedil sebanyak dua kali dan membunuh seorang kanak-kanak serta mencederakan 12 yang lain.

Menjelang pagi tadi, beberapa bedilan roket disasarkan tentera rejim ke arah kediaman dan pejabat pengamal media Arab di Gaza City sehingga mencederakan sebahagian wartawan yang bertugas di stesen televisyen (tv) kerajaan Al-Quds.

"Sekurang-kurangnya enam wartawan cedera dan seorang daripada mereka kehilangan sebelah kaki selepas terkena bedilan bom udara yang disasarkan ke stesen tv Al-Quds dalam kejiranan Rima," kata jurucakap kementerian kesihatan, Ashraf Al-Qudra.

Saksi memberitahu, pusat media kedua terbesar Gaza, Sky News, Al-Arabiya dan ibu pejabat rangkaian tv Hamas, Al-Aqsa turut dibom rejim menyebabkan dua wartawan parah.

Sementara itu, pertemuan Presiden Mesir, Mohammed Mursi bersama Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam menyatakan satu gencatan senjata bakal dimeterai di antara Israel dan Palestin.

Bagaimanapun, dalam satu laporan agensi berita Israel, pegawai rejim memaklumkan mereka sesekali tidak akan melaksanakan gencatan senjata sebaliknya meneruskan serangan ke dalam Semenanjung Gaza. -Al-Jazeera