BEIRUT - Kumpulan pemberontak Syria dilaporkan menawan dan mengepung sebahagian kawasan strategik tentera kerajaan sejak beberapa minggu lalu di wilayah utara Aleppo, hari ini.

Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, pertempuran ganas berlaku antara kedua-dua pihak sebelum kumpulan pemberontak itu menawan Pangkalan Tentera 46 di Atarib yang menjadi sasaran utama sejak bulan lalu.

“Pemberontak menawan sebahagian besar pangkalan itu dan  turut merampas senjata berat milik tentera,” katanya dipetik AP.

Menurut kumpulan pemerhati itu, pemberontak meletupkan dua tangki minyak dengan menggunakan peluru berpandu buatan sendiri.

Di Damsyik, tentera kerajaan terus diserang dengan meriam di selatan Al-Hajar al-Aswad dan membunuh seorang awam dan beratus penduduk cedera.

Sementara itu, Iran memberi amaran terhadap dalang pembekal senjata kepada pemberontak Syria.

Menteri Luar Iran, Ali Akbar Salehi berkata, perbuatan itu mengancam kestabilan serantau dan meningkatkan risiko keganasan.

“Jika pembekalan senjata ini tidak dihentikan peperangan akan terus tercetus dan ramai penduduk menjadi mangsa,” katanya ketika rundingan
bersama wakil  Presiden Bashar Al-Assad dan kumpulan pemberontak,” katanya.

Terdahulu, Perancis secara terbuka mengaku membekalkan senjata kepada pemberontak selepas  Presiden Francois Hollande, mengiktiraf Gabungan Kebangsaan Syria (SNC) yang diwakili Ahmed al-Khatib Moaz dengan menawarkan pembukaan pejabat kedutaan di Paris.