Pages

Tuesday, April 7, 2015

Gaun Cinderella dihasilkan oleh 20 pekerja dalam masa lima bulan



WATAK utama filem Cinderella dimainkan oleh Lily James.


LONDON – Sebanyak 20 orang pekerja mengambil masa selama lebih lima bulan untuk menyiapkan gaun yang dipakai oleh Lily James dalam filem Cinderella yang ditayangkan baru-baru ini.
Gaun mewah tersebut dihasilkan oleh pereka fesyen Sandy Powell dan Jane Law untuk digayakan dalam adegan tarian filem arahan Kenneth Branagh itu.
Mereka sebelum itu memilih fabrik berkualiti serta mempunyai pelbagai warna biru yang berkilauan dalam menghasilkan busana yang dianggap magik asli.
“Gaun dihasilkan secara berstruktur dengan dimulakan di bahagian pakaian dalam, korset dan kemudian gelung skirt yang diperbuat daripada besi,” ujar Powell.
Gaun yang begitu besar dan dilengkapi kristal Swarovski jahitan tangan itu juga telah menyebabkan pinggang pemakainya kelihatan begitu ramping.
Lily James memerlukan masa 20 minit untuk memakai gaun itu dan ia tidak boleh dicuci sekiranya kotor. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3WZr2umwU 
Hakcipta terpelihara 

Wanita 100 tahun catat rekod berenang 1,500 meter


NAGAOKA berjaya menamatkan perlumbaan renang sejauh 1,500 meter pada Sabtu lalu sekali gus bakal mendapat pengiktirafan daripada Guinness World Records.


TOKYO – Seorang warga emas berusia 100 tahun menjadi wanita tertua pertama di dunia berjaya memenangi pertandingan renang gaya bebas sejauh 1,500 meter pada Sabtu lalu.
Wanita itu, Mieko Nagaoka mengambil satu jam dan 16 minit bagi menamatkan perlumbaan dalam kate­gori 100 hingga 104 tahun di kolam renang di Ehime, barat Jepun.
“Saya mahu berenang sehingga saya berusia 105 tahun jika saya boleh hidup selama itu,” katanya kepada agensi berita Kyodo.
Menurut Kyodo, kejayaan itu akan diiktiraf di dalam Guinness World Records.
Nagaoka yang menerbitkan sebuah buku berjudul Saya berusia 100 tahun dan perenang aktif terbaik dunia tidak asing untuk menamatkan perlumbaan 1,500 meter memandangkan dia pernah menamatkan renangan sejauh itu pada usia 99 tahun di sebuah kolam renang bersaiz Olimpik.
Nagaoka mula berenang pada usia 80 tahun ketika kebanyakan warga emas Jepun yang semakin tua mengamalkan gaya hidup sihat.
Mengikut statistik kerajaan, terdapat hampir 59,000 warga emas berusia 100 tahun di Jepun. Jumlah itu bermakna 46 daripada 100,000 orang di negara berkenaan berusia 100 tahun atau lebih.
Sebelum ini, seorang pelari pecut, Hidekichi Miyazaki yang berusia 103 tahun memegang rekod dunia dalam acara 100 meter untuk kategori 100 hingga 104 tahun.
Miyazaki mampu mencatatkan larian dalam 29.83 saat. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3WZquk7f1 
Hakcipta terpelihara 

Pelajar hidup lapan bulan dalam hutan


PONDOK yang dibina oleh Miller bagi menjalankan kajian hidup secara ringkas di hutan. - AGENSI


PENNSYLVANIA, Amerika Syarikat – Tanpa sebarang kemudahan asas, seorang pelajar tinggal di dalam sebuah pondok yang dibina daripada pokok-pokok tumbang bagi melunaskan projek kajian hidup di hutan baru-baru ini.
Selama hampir lapan bulan, Dylan Miller, 21, membuktikan dia mampu meneruskan kehidupan walaupun tidak mempunyai bekalan elektrik dan kemudahan air paip untuk hidup selesa seperti rakan-rakannya di Kolej Juniata, Huntingdon.
Pelajar tahun akhir jurusan bahasa Inggeris dan Falfasah itu membina pondok setinggi 2.74 meter dengan keluasan 25 meter persegi di sebuah kawasan yang mengambil masa 30 minit dari kampusnya.
MILLER membuktikan tanpa kemudahan asas yang sempurna, dia masih mampu meneruskan kehidupannya. - AGENSI


Dia yang tinggal di pondok tersebut sejak September tahun lepas, cuba memahami falsafah kehidupan yang pernah ditulis oleh dua orang ahli falsafah, Ralph Waldo Emerson dan Henry David Thoreau.
Berasal dari Meadville, Miller akan belajar menggunakan lilin yang dinyalakan di pondok tersebut dan sering mengecaj komputer riba dan telefon bimbitnya ketika berada di kampus setiap hari. Malah, jika berkesempatan dia akan mandi di rumah rakannya.
"Saya ingin membuktikan kita masih mampu hidup seperti seorang raja walaupun hidup dengan sederhana di dalam hutan," ujarnya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0406&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3WZq2RyEc 
Hakcipta terpelihara 

Bawang tidak pedihkan mata dihasilkan


Syarikat makanan Jepun, House Foods Group mendakwa berjaya menghasilkan
Syarikat makanan Jepun, House Foods Group mendakwa berjaya menghasilkan bawang yang tidak memedihkan mata apabila dipotong. Agensi
TOKYO 6 April – Sebuah syarikat makanan Jepun, House Foods Group, mendakwa berjaya mencipta bawang yang tidak akan memedihkan mata apabila dipotong.
House Foods Group menyatakan, penyelidik mereka berjaya mengubah sifat sejenis enzim yang memedihkan mata di dalam bawang itu.
Syarikat makanan tersebut menyatakan, pihaknya dalam satu kajian pada 2002 menemukan proses biomekanik yang menyebabkan seseorang menangis apabila memotong bawang.
“Daripada hasil kajian itu, kami berjaya mencipta teknik untuk mengubah sifat enzim terbabit.
“Kami menggunakan sejenis ion untuk menyebabkan bawang menghasilkan hanya sejumlah kecil enzim itu, tetapi pada masa sama mengekalkan nutrisi dan rasa tumbuhan ini,’’ kata kenyataan yang dikeluarkan syarikat berkenaan.
Selain mengurangkan kesan menyebabkan mata pedih, teknik yang dihasilkan syarikat itu turut menjadikan bawang kurang berbau.
House Foods Group menyatakan, kesemua 20 kakitangan menguji bawang yang dihasilkan tersebut dan mengesahkan tumbuhan itu tidak lagi berbau.
“Keadaan itu membawa maksud tiada lagi nafas dan tangan berbau selepas makan atau memotong bawang,’’ ujar kenyataan berkenaan.
Bagaimanapun, syarikat berkenaan tidak mempunyai rancangan untuk menghasilkan bawang itu secara komersial.
Dalam pada itu, beberapa penyelidik tidak bersetuju bahan yang mencetuskan kepedihan mata tersebut dihilangkan daripada bawang.
Seorang ahli kimia, Eric Block berkata, bahan tersebut wujud untuk memastikan bawang dapat hidup dalam persekitaran semula jadi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bawang-tidak-pedihkan-mata-dihasilkan-1.78118#sthash.vlvNli3A.dpuf

Arnab terbesar dunia bakal dicabar anak sendiri


Jeff (kiri) bergambar bersama induknya, Darius yang kini memegang
Jeff (kiri) bergambar bersama induknya, Darius yang kini memegang rekod sebagai arnab terbesar di dunia. AGENSI
LONDON 6 April – Arnab yang diiktiraf sebagai terbesar di dunia, Darius bakal berdepan saingan sengit untuk mengekalkan gelaran itu apabila anaknya memiliki kemampuan untuk memecahkan rekod tersebut.
Darius, yang mempunyai berat 22.2 kilogram dan berukuran lebih 1.2 meter panjang berdepan cabaran selepas anaknya, Jeff yang kini sudah berukuran 1.15 meter panjang dan mempunyai masa enam bulan untuk mencapai berat melebihi induknya.
Pemilik kedua-dua arnab itu, Annette Edwards, 63, dari Bromgrove, barat daya Birmingham, berkata, dia tidak sabar menunggu saat Jeff mencapai usia sama seperti induknya sekali gus dinobatkan sebagai arnab terbesar oleh Guinness Book of Records.
Jelasnya, walaupun saiz Darius sangat besar, tetapi saiz Jeff dianggap lebih besar memandangkan arnab itu masih pada peringkat bayi.
“Saya mengharapkan Jeff mampu membesar melebihi induknya, sekali gus memecah rekod dan mencatat sejarah baharu dunia,” katanya seperti yang dilaporkan portal Mail Online.
Arnab jenis Continental Giants merupakan baka arnab yang mampu membesar kira-kira 1.2 meter panjang.
Menurut Edwards, dia menghabiskan sebanyak wang sebanyak 5,000 pound (RM27,271) setahun untuk membeli 2,000 batang lobak dan 700 buah epal sebagai makanan kepada arnab belaannya.
“Meskipun bersaiz besar dan kuat makan, Darius dan Jeff rajin membersihkan diri, menyebabkan kos penjagaan kesihatan mereka sangat rendah.
“Mereka juga mempunyai selera yang besar apabila waktu makan dan situasi itu sangat baik bagi penjagaan gigi dan penghadaman yang sihat,” jelasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/arnab-terbesar-dunia-bakal-dicabar-anak-sendiri-1.78116#sthash.NktiTVFV.dpuf

Istana Gaddafi jadi pasar


Sebahagian besar kawasan istana Muammar Gaddafi di Benghazi, dijadikan
Sebahagian besar kawasan istana Muammar Gaddafi di Benghazi, dijadikan pusat perniagaan dengan orang ramai menjual pakaian dan haiwan peliharaan. AGENSI
TRIPOLI 6 April - Istana milik bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang dahulunya pernah menjadi simbol menyemai ketakutan dalam hati rakyat, kini tidak digeruni sebaliknya dijadikan sebagai pasar jualan pakaian dan haiwan peliharaan.
Malah kebanyakan kawasan istana tersebut hanya tinggal runtuhan meskipun sebelum kejatuhan Muammar pada 2011 akibat revolusi rakyat, orang ramai berasa bimbang untuk jalan berhampiran kediaman itu yang kelihatan seper­ti kubu besar.
Bercakap tentang kehidupan sebelum revolusi, seorang pemandu teksi yang dikenali sebagai Hassan berkata, orang ramai takut untuk berada berdekatan Istana Bab al-Aziziya yang terletak di Tripoli.
“Rakyat tidak berani memandang dinding istana tersebut kerana bimbang akan ditahan,” katanya seperti dilaporkan portal Mail Online.
Hampir semua struktur kompleks istana tersebut musnah akibat serangan tentera bersekutu diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan hanya tinggal beberapa buah bangunan rosak, lantai hijau rumah Muammar dan rangkaian terowong bawah tanah.
Jurucakap Kementerian Pelancongan, Adel Mohammed Farina berkata, Istana Bab al-Aziziya yang juga simbol era pemerintahan Muammar, kini musnah.
“Beliau hanya boleh dikenang dalam buku sejarah dan dokumentari, tetapi bukan peninggalan pemerintahannya,” katanya.
Sebuah lagi kediaman Muammar di Sabha, selatan Libya turut menerima nasib yang sama manakala di timur Benghazi, kumpulan pedagang menjadikan lebih 10 hektar kawasan milik Gaddafi sebagai pusat perniagaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/istana-gaddafi-jadi-pasar-1.78120#sthash.mE8TEl3b.dpuf

Monday, April 6, 2015

Budak temu sarang tabuan terbesar


Jordan Waddingham mengabdikan kenangan bersama sarang tabuan Eropah
Jordan Waddingham mengabdikan kenangan bersama sarang tabuan Eropah terbesar, sekali gus menjadi sarang tabuan terbesar di dunia. AGENSI
SYDNEY 5 April – Seorang kanak-kanak lelaki Australia mencatat rekod dunia apabila menemukan sarang tabuan tanah jenis Eropah terbesar di dunia yang kini dipamerkan di sebuah muzium di Tasmania.
Kanak-kanak berusia 12 tahun itu, Jordan Waddingham menemukan sarang tabuan itu di kawasan semak di Karoola, timur laut Launceston selepas ibunya, Stephanie menawarkan AS$20 (RM73) untuk mengesan sarang serangga itu ekoran terganggu dengan kehadiran tabuan itu di rumah mereka.
Menurut portal Mail Online, Waddingham hanya mengambil masa beberapa minit untuk mengesan sarang berkenaan di tebing sungai apabila mengekori beberapa ekor tabuan itu pulang ke koloninya.
Pakar dari Muzium Queen di Launceston, Simon Fearn berkata, pihaknya mengambil masa dua hari untuk menggali keseluruhan sarang tabuan itu apabila dimaklumkan tentang penemuan koloni terbesar oleh kanak-kanak itu.
Malah, katanya, empat orang diperlukan untuk mengangkat sarang itu yang berukuran satu meter tinggi dan tiga meter ukuran lilit, sekali gus lebih besar berbanding saiz normal yang hanya sebesar bola sepak.
“Sarang seberat 90 kilogram itu dipercayai menampung koloni tabuan sebanyak kira-kira 100,000 ekor dan kini disimpan di muzium untuk tontonan umum,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/budak-temu-sarang-tabuan-terbesar-1.77634#sthash.hQIyrR7O.dpuf

Ayah jelajah seluruh China cari anak hilang


gantang
Gantang menunjukkan gambar anaknya Guo Zhen yang hilang 18 tahun lalu. – AGENSI
BEIJING 5 April - Berita tentang usaha seorang bapa di China mencari anak­nya yang hilang sejak 18 tahun lalu dilapor menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial di negara ini sejak kebelakangan ini.
Menurut portal Odditycentral, Guo Gantang, 45, dari Liaocheng di wilayah Shandong, menghabiskan masa selama 18 tahun di atas jalan raya dengan menunggang motosikal bagi mencari anaknya Guo Zhen di seluruh pelosok China.
Zhen hilang pada 21 September 1997 ketika baru berumur dua tahun, dan sejak itu, Gantang telah mengembara sejauh 400,000 kilometer di hampir seluruh wilayah China kecuali Xinjiang dan Tibet dengan menggunakan 10 motosikal bagi mencari anaknya.
Gantang memasang dua bendera tertera gambar lama anaknya yang diikat pada bahagian belakang motosikal yang ditunggangnya yang menurut saksi Zhen diculik di hadapan rumahnya oleh seorang wanita separuh umur.
Bagaimanapun agak malang, usaha Gantang sejak hampir dua dekad itu masih tidak berjaya, walaupun dia dianggap sebagai ‘utusan tuhan’ oleh ibu bapa lain yang turut kehilangan anak mereka.
Hal ini kerana dengan pertolongan Gantang, berpuluh-puluh kanak-kanak yang hilang di China berjaya ditemukan dan disatukan dengan keluarga mereka semula selepas BBC melaporkan lebih 20,000 kanak-kanak di China diculik, setiap tahun.
Namun, Gantang enggan menghadiri majlis pertemuan semula itu kerana dia tetap akan menunggu anaknya pulang dan tidak akan berputus asa.
“Saya sentiasa beritahu diri saya, mungkin esok Zhen akan pulang, namun hari esok itu masih belum tiba lagi,’’ katanya, sambil menambah kata, dia hanya bimbang rumahnya akan musnah semasa dia sedang mengembara mencari anaknya.
Sementara itu, kisah Gantang yang menyentuh hati itu menjadi inspirasi kepada filem Lost and Love yang dibintangi Andy Lau, dan disebabkan jalan cerita filem itu, sudah ramai orang mengetahui kisah Gantang dan menyokongnya di media sosial.
“Ini adalah kasih seorang ayah, cerita yang menyentuh hati! Saya rasa mahu menangis,’’ kata pengguna, @Xiaoyuanzi yang bersimpati dengan nasib Gantang.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ayah-jelajah-seluruh-china-cari-anak-hilang-1.77691#sthash.OeBncq1N.dpuf

Lelaki pulangkan wang tunai dijumpai


Dan Kennedy memulangkan semula wang yang dijumpainya di tengah-tengah
Dan Kennedy memulangkan semula wang yang dijumpainya di tengah-tengah lebuh raya, baru-baru ini. AGENSI
SALT LAKE CITY 4 April– Seorang lelaki yang mengalihkan sebuah bungkusan ‘sampah’ besar yang terjatuh daripada sebuah kenderaan pengawal keselamatan ke tengah-tengah lebuh raya, terkejut selepas mendapati beg plastik tersebut dipenuhi wang kertas.
Akhbar The Deseret News melaporkan, ketika kejadian Selasa lalu, beg tersebut betul-betul jatuh di hadapan kenderaan dipandu Dan Kennedy sebelum dia bertindak mengalihnya kerana bimbang lalu lintas di lebuh raya berkenaan terganggu.
“Pada mulanya saya menyangka bungkusan itu mungkin ringan, namun saya tidak dapat mengalihkannya.
“Bungkusan itu berukuran 1.2 meter tinggi dan 0.6 meter lebar. Di dalamnya dipenuhi pek-pek kecil wang kertas AS$50 dolar dan AS$100 dolar. Saya jangkakan, satu pek mungkin mengandungi sejumlah AS$22,000 (RM80,599),” ujarnya.
Bagaimanapun, jumlah sebenar wang di dalamnya tidak pula didedahkan.
Kennedy berkata, dia kemudian bertindak memulangkan bungkusan duit tersebut kepada anggota polis dari unit Peronda Lebuh Raya Utah.
“Kes ini memang unik. Sepanjang hidup, saya tidak pernah lagi terdengar kisah bungkusan duit terjatuh daripada trak pengawal keselamatan,” kata anggota polis, Brady Zaugg yang menyifatkan Kennedy sebagai lelaki budiman.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lelaki-pulangkan-wang-tunai-dijumpai-1.77220#sthash.vANbQDM6.dpuf

Al-Quran laris di Perancis


Penjualan melonjak tiga kali ganda

Penjualan al-Quran dan buku tentang Islam, melonjak tiga kali
Penjualan al-Quran dan buku tentang Islam, melonjak tiga kali ganda di Perancis selepas serangan ganas di pejabat majalah mingguan, Charlie Hebdo, Januari lalu. AGENSI
PARIS 4 April - Penjualan al-Quran dan buku tentang Islam, melonjak tiga kali ganda di negara ini selepas serangan ganas di pejabat majalah mingguan Charlie Hebdo Januari lalu, ekoran timbul tanda tanya dalam kalangan penduduk mengenai agama yang semakin pesat berkembang di Eropah itu.
Menurut pengarah majalah Philosophie, Fabrice Gerschel, fenomena itu berlaku kerana penduduk Perancis tertanya-tanya tentang agama Islam dan mereka tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh media.
Jelasnya, keadaan tersebut juga menyebabkan banyak edisi khas tentang al-Quran dihasilkan oleh syarikat penerbitan majalah bagi memenuhi kehendak pembaca.
Menurut Kesatuan Kedai-Kedai Buku Kebangsaan Perancis, jualan buku tentang Islam meningkat tiga kali ganda pada suku pertama tahun ini berbanding tahun lalu.
Penjual buku, Yvon Gilabert pula berkata, seorang wanita beragama Kristian datang ke kedainya untuk membeli al-Quran kerana mahu menilai sendiri dakwaan yang mengaitkan Islam dengan keganasan.
Penguasa kedai buku Al Bouraq, Mansour Mansour berkata, hasil jualan buku tentang Islam di kedainya meningkat 30 peratus sejak kebelakangan ini, sama seperti yang berlaku selepas serangan 11 September 2001.
“Saya rasa penjualan buku ini akan meningkat untuk jangka masa yang lama,” jelas Mansour.
Persoalan tentang Islam bukan sahaja menjadi topik perbualan dalam kalangan orang awam, tetapi turut mendapat perhatian cendekiawan Perancis apabila mereka bertindak menganjurkan program kajian tentang al-Quran di pusat pengajian berprestij, College de Perancis, di sini, kelmarin.
Serangan di pejabat Charlie Hebdo pada 7 Januari lalu mengakibatkan 17 orang terkorban.  AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/al-quran-laris-di-perancis-1.77216#sthash.VXlrRZec.dpuf

Friday, April 3, 2015

Hotel Alas Kanvas, 67 Meter Dari Aras Laut


Diterbitkan: Jumaat, 3 April 2015 3:27 PM
Pengalaman menarik dapat dirasai bagi yang ingin menikmati suasana nyaman di tebing tinggi menghadap laut biru.

PENGINAPAN unik dengan hanya beralaskan platform kanvas dan tergantung pada ketinggian kira-kira 67 meter dari aras laut ditawarkan Hotel Portaledge, Anglesey di utara Wales.
Pada harga £500 semalam untuk dua orang, pelanggan boleh menikmati suasana nyaman dari tebing tinggi dengan bunyi ombak dan desiran angin yang tentu sekali suatu pengalaman menakjubkan.
Pelanggan bagaimanapun perlu menakik turun ke 'bilik' penginapan ketika matahari terbenam untuk bermalam.
Seperti hotel lain, pelanggan juga akan dihidangkan makan malam dengan dapur digantung pada tepi tebing, selain sarapan pada keesokkan paginya.
Penganjur, Sam Farnsworth berkata: "Ia suatu pengalaman yang menyeronokkan apabila bangun dan melihat anda berada di atas sekeping kanvas pada ketinggian 67 meter."
Idea untuk menawarkan penginapan itu timbul selepas mengambil kira ia suatu kebiasaan di utara dan selatan Amerika bagi pendaki untuk bermalam di kawasan curam.
Sehubungan itu, katanya, konsep sama digunakan kecuali ia melibatkan kawasan tebing di tepi laut.
"Kami lakukan beberapa percubaan pada akhir musim panas lalu dan ia berjalan lancar.
"Pada awalnya mungkin akan rasa pelik kerana berada di belebas cenuram tetapi selepas beberapa minit semuanya akan relaks dan menikmati pengalaman menarik itu," kata Sam lagi.
Lebih menggembirakan Sam apabila sudah ada pelanggan menempah untuk melalui pengalaman unik itu ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih tahun depan.
Bagi memastikan semuanya berjalan lancar, setiap pelanggan akan dinasihatkan supaya ke tandas sebelum menakik turun, bagaimanapun mereka boleh naik ke atas semula jika perlu ke tandas sepanjang tempoh penginapan itu.
Ketika ini, dua lokasi yang menawarkan penginapan seumpama itu iaitu di Gogarth, Pulau Holy dan Betws-y-Coed di Snowdonia pada harga £450 seorang atau £500 untuk berpasangan.

Berpuasa sehingga mati

Berpuasa sehingga mati

RAJASTAN - INDIA. Berpuasa sehingga mati, itulah satu budaya ekstrem yang diamalkan oleh masyarakat India yang berpegang kepada ajaran Jainisme.

Mengikut kepercayaan ini , mereka yang ingin mengikut ritual ini perlu bersumpah untuk berhenti makan sehingga mereka benar-benar mati.

Ritual ini digelar ‘Santhara’ , menurut kepercayaan mereka lagi ‘ibadat’ ini dibuat bertujuan untuk membersihkan diri daripada karma buruk dan mencapai ‘Mokhsa’ iaitu pembebasan dari kitaran dunia kematian dan kelahiran semula.

Untuk itu, setiap tahun, ratusan penganut Jainisme di India mengambil sumpah untuk melakukan ‘ibadat’ ini , di mana  lebih dari 60 peratus peserta adalah dari kaum wanita.

Namun ritual ini banyak dilakukan oleh mereka yang sakit teruk, tetapi individu yang sihat juga boleh mengambil bahagian, oleh itu sekiranya mereka ingin membuat demikian mereka boleh meminta izin daripada rakan-rakan, keluarga dan guru untuk melakukan Santhara.

Setelah diberi kebenaran, mereka boleh berpuasa dari makan dan minum secara beransur-ansur, selama masa itu mereka perlu belajar untuk melepas hasrat duniawi. Jika tidak mampu, bererti mereka mengagalkan sumpahnya dan harus segera berhenti berpuasa.

Memetik laporan The Time of India, hingga kini satu-satunya orang yang berjaya menjalani Santhara hingga rekod 87 hari adalah sami berusia 60 tahun bernama Sadhvi Charan pada tahun 2009.

Amalan  Santhara ini diikuti oleh puluhan ribu penganut Jainisme di seluruh dunia, namun yang benar-benar kental sahaja sanggup ‘berpuasa penuh’.

Kucing cakar bapa ‘dera bayi’



RAKAMAN video ini menunjukkan kucing hitam itu mencakar tangan tuannya bagi menghalang dia ‘mendera’ bayi yang diletak di dalam bakul kerusi kenderaan.- YOUTUBE


MOSCOW, Rusia – Tindakan berani seekor kucing telah menyelamatkan seorang bayi daripada ‘didera’ dengan mencakar beberapa kali tangan bapanya.
Kucing hitam itu menunjukkan sifat keibuannya apabila mendengar lelaki itu memukul-mukul dengan kuat tempat duduk kereta bayi dan menjerit ‘bayi nakal’.
Selepas beberapa kali melompat ke arah bapa bayi itu, ia mengambil langkah drastik mencakar apabila tuannya tidak berhenti daripada terus ‘mendera’ bayi tersebut.
“Ia mencakar sehingga menyebabkan tangan saya terluka dan terus menyerang sehingga saya berhenti daripada melakukannya,” ujar lelaki itu.
Insiden tersebut adalah gurauan yang dirakam oleh pemilik kucing tersebut dan menjadi viral di laman sosial sehingga ditonton sehingga lebih 90,000 kali sejak dimuat naik ke YouTube empat hari lepas. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3WCECh3TL 
Hakcipta terpelihara 

Pasangan pengantin lelaki 'keliru' kahwin dengan tiga kembar seiras

PENGANTIN lelaki (dari kiri) Rafael, Gabriel dan Eduardo hampir tidak dapat membezakan isteri masing-masing.


PASSO FUNDO, Brazil – Tiga beradik kembar seiras melangsungkan perkahwinan secara serentak di sini pada Sabtu lalu menyebabkan pasangan masing-masing keliru.
Rafaela, Rochele dan Tagiane Bini, kesemuanya 29 tahun, memakai baju pengantin serta gaya rambut dan dandanan serupa, manakala pasangan mereka dikenali sebagai Rafael, Gabriel dan Eduardo turut mengenakan sut kemeja yang sama.
Kembar tiga itu bagaimanapun memegang gubahan bunga yang berbeza warna supaya pasangan masing-masing dapat mengenali mereka.
Ibu bapa kembar tiga itu, Pedro dan Salete Bini mencadangkan majlis tersebut dibuat serentak, sehinggakan kerusi panjang di gereja Katolik Nossa Senhora Aparecida di sini terpaksa dijarakkan bagi membolehkan ketiga-tiga mereka berjalan seiringan.
“Kami membuat keputusan untuk mereka bertiga berjalan seiringan sehingga ke tengah gereja sebelum saya membawa seorang demi seorang kepada pasangan masing-masing,” jelas Pedro yang merupakan seorang petani.
Perjalanan masuk pengantin kembar tiga itu disusuli 18 pengapit dan pengiring kanak-kanak lelaki yang memakai pakaian mengikut warna tema bagi setiap pengantin tersebut iaitu kuning untuk Rafaela, biru untuk Rochele dan merah untuk Tagiane.
Ketiga-tiga beradik itu mendakwa mereka memang rapat sejak kecil lagi dan berkongsi cita rasa serta minat yang serupa. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3WCCjStri 
Hakcipta terpelihara 

Kucing siam miliki pendapatan RM11.9 juta


Choupette menjana pendapatan sebanyak 2.18 juta pound (RM11.90
Choupette menjana pendapatan sebanyak 2.18 juta pound (RM11.90 juta) dengan hanya terlibat dalam dua iklan tahun lepas. AGENSI
LONDON 2 April – Memiliki dua orang pembantu dan sering mengembara menggunakan jet peribadi, Choupette, seekor kucing siam milik seorang pereka fesyen di sini, diiktiraf sebagai haiwan paling kaya di dunia.
Mail Online melaporkan, pemilik kucing berkenaan yang merupakan ketua pereka fesyen rangkaian jenama Chanel, Karl Lagerfeld berkata, sepanjang tahun lalu, Choupette menjana pendapatan sebanyak 2.18 juta pound (RM11.9 juta) dengan hanya terlibat dalam dua iklan.
“Choupette dipilih menjadi model dalam iklan kereta buatan Jerman, Opel dan produk kecantikan Jepun, She Uemura. Ini sesuatu yang unik. Choupette terlibat dalam kempen mempromosikan kereta jenama Opel bersama dua supermodel terkenal iaitu Kate Moss dan Naomi Campbell.
“Dia terlalu `hebat’ dan unik untuk terlibat dalam mana-mana iklan produk makanan kucing. Saya boleh katakan Choupette merupakan kucing paling terkenal dan kaya di dunia,” jelas Lagerfeld.
Tambah Lagerfeld, Choupette yang turut memiliki akaun laman sosial Twitter dan Instagram hidup dalam keadaan serba mewah dan sentiasa mendapat rawatan terbaik bagi menjaga penampilannya.
“Dia memiliki dua orang pembantu yang akan membersihkan bulu dan matanya setiap hari, Choupette juga tinggal di hotel mewah dan makan makanan yang berkualiti tinggi,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kucing-siam-miliki-pendapatan-rm11-9-juta-1.76549#sthash.8x2P1mtc.dpuf