Menurut pengarah majalah Philosophie, Fabrice Gerschel, fenomena itu berlaku kerana penduduk Perancis tertanya-tanya tentang agama Islam dan mereka tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh media.
Jelasnya, keadaan tersebut juga menyebabkan banyak edisi khas tentang al-Quran dihasilkan oleh syarikat penerbitan majalah bagi memenuhi kehendak pembaca.
Menurut Kesatuan Kedai-Kedai Buku Kebangsaan Perancis, jualan buku tentang Islam meningkat tiga kali ganda pada suku pertama tahun ini berbanding tahun lalu.
Penjual buku, Yvon Gilabert pula berkata, seorang wanita beragama Kristian datang ke kedainya untuk membeli al-Quran kerana mahu menilai sendiri dakwaan yang mengaitkan Islam dengan keganasan.
Penguasa kedai buku Al Bouraq, Mansour Mansour berkata, hasil jualan buku tentang Islam di kedainya meningkat 30 peratus sejak kebelakangan ini, sama seperti yang berlaku selepas serangan 11 September 2001.
“Saya rasa penjualan buku ini akan meningkat untuk jangka masa yang lama,” jelas Mansour.
Persoalan tentang Islam bukan sahaja menjadi topik perbualan dalam kalangan orang awam, tetapi turut mendapat perhatian cendekiawan Perancis apabila mereka bertindak menganjurkan program kajian tentang al-Quran di pusat pengajian berprestij, College de Perancis, di sini, kelmarin.
Serangan di pejabat Charlie Hebdo pada 7 Januari lalu mengakibatkan 17 orang terkorban.  AFP