Pages

Sunday, March 4, 2012

Puting beliung terus landa Amerika

Foto
PEKERJA bantuan meninjau keadaan mangsa puting beliung di Indiana

Foto
KEMUSNAHAN kediaman akibat puting beliung di Henryville, Indiana dilihat dari udara.

Foto
ANGGOTA bomba membantu membersihkan kediaman yang dilanda puting beliung di Milton, Kentucky.

Hubungan darat di Indiana, Kentucky terputus, 29 terbunuh sejak kelmarin

HENRYVILLE: Puting beliung melanda beberapa bandar kecil di Indiana dan menyebabkan kawasan luar bandar di Kentucky terputus hubungan ketika musim awal puting beliung di Amerika Syarikat menyebabkan sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh, manakala angka kematian dijangka meningkat.
Ribut petir ganas yang sudah diramal jabatan kaji cuaca sejak beberapa hari lalu, mula terbentuk di Pantai Teluk dan Tasik Besar, mencetuskan berpuluh-puluh puting beliung.
Bencana alam itu memusnahkan sepenuhnya beberapa kawasan perumahan menjadi padang jarak padang tekukur, meruntuhkan menara pemancar telekomunikasi, menumbangkan tiang elektrik dan menghumbankan kereta, bas sekolah, traktor dan treler ke jalan raya, menyebabkan perhubungan darat terputus.

Di Kentucky, anggota Pengawal Kebangsaan dan polis tempatan bertungkus-lumus melakukan kerja mencari mangsa yang masih hilang dan dikhuatiri terperangkap.

DI Indiana, pihak berkuasa meredah jalan gelap akibat terputus bekalan elektrik bagi meninjau kawasan perumahan di beberapa kejiranan yang musnah sama sekali.

“Kami tidak akan dapat mengetahui apa yang sebenarnya berlaku sebelum hari menjelang siang. Buat masa ini kami akan melakukan segala yang terbaik,” kata Syerif kawasan Clark County, Indiana, Mejar Chuck Adams. 
Di Henryville, bandar kecil dengan 2,000 penduduk di utara Louisville, Kentucky, anggota penyelamat meredah jalan yang dipenuhi sampah sarap sambil membawa troli berisi makanan dan air untuk diberikan kepada sesiapa yang memerlukan.

Beratus-ratus anggota bomba dan polis membuat rondaan di bandar yang musnah dengan hanya beberapa bangunan masih bertahan, manakala semua sekolah di bandar itu musnah.

“Saya kehilangan semuanya. Dulu kawasan ini cantik, sekarang semuanya sudah tiada,” kata seorang penduduk Andy Bell, ketika beliau membantu seorang rakan di bengkel kenderaannya yang rosak.

Tidak jauh dari situ sebuah bas sekolah terperosok ke dalam sebuah restoran, manakala sebuah kerusi tersangkut di pintu sebuah kereta.

Seorang lagi penduduk, Susie Renner, 54, berkata beliau melihat dua puting beliung membadai Henryville selang beberapa minit antara satu sama lain. Puting beliung pertama berwarna cokelat akibat dipenuhi sisa sampah, manakala yang kedua berwarna hitam.

“Saya seorang pengkaji dan pemburu puting beliung, tetapi saya tidak pernah berasa begini takut seumur hidup saya,” katanya.

Puting beliung kelmarin melanda hanya dua hari selepas ribut kencang mengorbankan 13 orang di Barat dan Selatan Amerika. Menjelang jam 10 malam, perkhidmatan kaji cuaca mengeluarkan 269 amaran puting beliung, sedangkan hanya 189 amaran dikeluarkan sepanjang Februari. – AP

Berita Harian Online | Puting beliung terus landa Amerika:

'via Blog this'

Satu kampung kena lelong



GAMBAR bertarikh 28 Februari menunjukkan perkampungan Saint Nicolas Courbefy di tengah Perancis.


PARIS - Satu lelongan akan diadakan pada 21 Mei depan bagi menjual sebuah perkampungan terbiar di Perancis .

Kampung Saint Nicolas Courbefy yang terletak sekitar 450 kilometer ke barat daya ibu kota Perancis itu dirampas bank tempatan, Credit Agricole awal bulan ini selepas pemilik-pemiliknya gagal membayar ansuran bulanan mereka.

Terdiri daripada beberapa bangunan terbiar, sebuah kandang kuda, gelanggang tenis dan kolam renang, ia dahulunya merupakan sebuah pusat peranginan yang turut mengandungi hotel mewah, kolam renang dan restoran.

Peguam Credit Agricole, Paul Gerardin kelmarin memberitahu, lelongan akan diadakan ekoran cuma seorang pembeli yang melahirkan minat membeli kampung itu.

Menurut Gerardin, setakat ini pejabatnya menerima lebih 100 panggilan termasuk dari China dan Qatar untuk menyertai lelongan berkenaan.

Namun katanya, pembeli yang berminat perlu menyerahkan deposit harga permulaan sebanyak 330,000 euro (RM1.3 juta) untuk menyertai lelongan itu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Saturday, March 3, 2012

Wajah bengkak seperti bola selepas guna pewarna rambut


LONDON: Seorang wanita muda yang gemarkan gaya wajah baru mengalami kecacatan penglihatan buat sementara waktu dan dirawat di hospital selama tiga hari ekoran tindak balas pewarna rambut yang dibelinya di pasar raya.

Wajah Carmen Rowe membengkak seperti “bola” selepas menggunakan pewarna rambut hitam Clairol “Nice n Easy” yang dibelinya di sebuah pasar raya tempatan di Asda. Dia dimasukkan ke Hospital Morriston Swansea keesokan harinya selepas mengalami wajah bengkak menyebabkan dia tidak dapat melihat. Bagaimanapun, wanita berusia 25 tahun itu berkata, dia menjalankan ujian pada kulit 48 jam sebelum menggunakan pewarna itu tanpa menghadapi sebarang masalah dan telah mewarnakan rambutnya sejak dia berusia 13 tahun.


Carmen akhirnya dibenarkan keluar dari hospital selepas tiga hari rawatan apabila bengkak di wajahnya surut dengan pengambilan steroid dan antibiotik. Namun, dia dimasukkan semula ke hospital sebanyak empat kali bulan seterusnya selepas mengalami sakit dan bengkak di wajahnya. Doktor akhirnya mengesan tindak balas alahan terhadap Paraphenylenediamine di dalam pewarna rambut itu.

Carmen dari Swansea berkata: “Saya bangun dan kepala saya bengkak hingga sya tidak dapat melihat. Saya sudah menjadi buta.


“Saya lihat ke cermin dan separuh daripada wajah saya sudah bengkak. Kelihatannya separuh daripada kepala saya bagaikan telah dipam menjadi sebiji bola. “Saya terus ke hospital dan ketika sampai di sana, kepala saya makin membengkak, malah telinga saya juga menjadi besar. Doktor menahan saya di wad serta-merta.


“Perkara paling teruk ialah apabila kepala saya mula keluar nanah. Saya terpaksa membungkus kepala dengan tuala, ia cukup teruk dan baunya seperti anjing basah,” katanya.

“Saya tahu remaja sering mewarnakan rambut mereka pada usia 13 atau 14 tahun dan ia mungkin bahaya untuk mereka.


“Saya hanya ingin memberi amaran kepada ibu bapa apa yang mungkin terjadi. Ia adalah alahan yang boleh berlaku bila-bila masa saja,” katanya

myMetro | Wajah bengkak seperti bola selepas guna pewarna rambut: "p"

'via Blog this'

Tusuk pemutar skru di kepala isteri

Seorang pakar menunjukkan kecederaan wanita malang itu.

TAMIL NADU - Pergaduhan suami isteri di Madurai, India, berakhir dengan tragedi menyakitkan apabila si suami yang begitu marah bertindak menusuk sebatang pemutar sru bersaiz sederhana ke kepala isterinya.

Pakar bedah saraf, D.K Selvamuthukumaran memberitahu, wanita berumur 35 tahun itu dalam keadaan separa sedar dan tidak mampu bertutur ketika dimasukkan ke Pusat Penyelidikan dan Hospital Madurai Meenakshi, dua minggu lalu.

Selain menembusi otak mangsa, pemutar skru sepanjang 22 sentimeter (cm) itu turut menikam tengkorak sebelah kirinya,

“Doktor mengambil masa kira-kira lima jam untuk mengeluarkan pemutar skru yang ditusuk melalui lubang hidungnya,” katanya yang turut menambah mangsa masih hidup selepas sekumpulan doktor berjaya merawat pendarahan di kepalanya itu.

Tusuk pemutar skru di kepala isteri - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Black Madam akan didakwa

PHILADELPHIA: Seorang wanita yang menggelar dirinya ‘Black Madam’ mungkin berhadapan dengan tuduhan dalam kes kematian seorang pelancong London yang menjalani suntikan membesarkan pinggul secara haram di sebuah hotel di sini tahun lalu.

Padge Victoria Windslowe, 42, ditangkap Rabu lalu ketika dia bersiap untuk menganjurkan ‘parti mengepam,’ di mana dia akan meyuntik pelanggannya.

Dia berdepan dengan tuduhan melakukan serangan yang menyebabkan kematian dan menjalankan amalan yang mengelirukan apabila seorang pelanggannya, penari bogel, mengalami masalah peparu serius selepas disuntik, kata jurucakap polis Philadelphia, Lt John Walker.

“Padge adalah ‘orang yang mempunyai kepentingan’ dalam kematian wanita berusia 20 tahun dari London yang menerima suntikan di sebuah hotel berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Philadelphia,” kata Walker.


Menurutnya, Padge kemungkinan besar akan didakwa atas tuduhan membunuh dalam kes itu jika pegawai perubatan memutuskan suntikannya menyebabkan kematian Claudia Aderotimi.


“Claudia mengadu sakit dada dan sukar bernafas selepas suntikan itu.

“Sejak tahun lalu kami tahu Padge yang menyuntik Claudia.

“Tetapi siasatan tertangguh kerana polis menunggu keputusan mengenai punca kematian wanita London itu,” kata Walker.

“Pemeriksa Perubatan Delaware County, Fredric Hellman berbincang dengan pendakwa raya dan berusaha untuk menyelesaikan kes kematian Claudia Aderotimi secepat mungkin,” kata jurucakapnya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, Hellman masih menanti keputusan ujian daripada makmal Pentadbiran Makanan dan Dadah.

Sejak beberapa tahun lalu, pelbagai laporan diterima berkait dengan kes suntikan kosmetik secara haram di New York, Los Angeles dan beberapa negeri lain.

Solange Magnano, model dan bekas Ratu Cantik Argentina, mati di Buenos Aires pada 2009 selepas menghadapi masalah kesihatan setelah menjalani suntikan untuk membesarkan pinggulnya. - Reuters


myMetro | Black Madam akan didakwa:

'via Blog this'

Putin selar Barat kerana sokong pemberontak Syria

myMetro | Putin selar Barat kerana sokong pemberontak Syria: "MOSCOW: Perdana Menteri Russia, Vladimir Putin semalam menyelar Barat kerana menyokong kumpulan pembangkang Syria dalam menentang kerajaan.

Menurutnya, tindakan itu memburukkan lagi konflik di negara berkenaan.


Pada masa sama, pemimpin Russia itu menggesa kerajaan Syria dan penentangnya berundur dari bandar-bandar yang dikepung bagi mengakhiri pertumpahan darah.

Menurutnya, keengganan Barat untuk mendesak penentang Presiden Bashar Al-Assad, menggalakkan mereka untuk terus melancarkan pemberontakan bersenjata.


“Adakah mereka mahukan Bashar mengundurkan tenteranya supaya kumpulan pendatang dapat mengambil alih?” tanya Putin ketika pertemuannya dengan pengarang beberapa akhbar terkenal Barat.


Putin mencemuh permintaan Barat kepada Bashar dengan berkata, perkara selanjutnya yang mereka mahukan pemimpin Syria itu lakukan ialah memakai baju hujan diperbuat daripada kayu dan memainkan muzik di rumahnya.

“Bashar tidak boleh mendengar muzik itu kerana ia adalah hari pengebumiannya. Bashar tidak sekali-kali akan bersetuju terhadap permintaan Barat itu,” kata Putin. - AP"

'via Blog this'

Keselamatan Zionis tanggungjawab AS

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semalam menyifatkan sokongan negaranya terhadap Israel sebagai sesuatu yang tidak boleh persoalkan.

Menjelang pertemuannya dengan Perdana Menteri rejim Zionis, Benjamin Netanyahu, Obama juga berkata, beliau mahukan Israel mengekalkan kelebihan kekuatan tenteranya.

Kedua-dua pemimpin itu dijangka menjadikan program nuklear Iran sebagai topik utama pada perbincangan mereka di Rumah Putih, Isnin depan.

Dalam ucapannya pada kempen pungutan derma untuk pilihan raya semula di New York, Obama turut membincangkan mengenai perubahan geopolotik hasil daripada kebangkitan rakyat di dunia Arab.


“Satu daripada matlamat jangka panjang kita di rantau itu ialah untuk memastikan komitmen kita yang tidak boleh dipersoalkan terhadap keselamatan Israel bukan saja dari segi melengkapkan keupayaan tentera yang ia perlukan dan bukan setakat menyediakan kelebihan kualitatif dari segi ketenteraan untuk negara itu,” kata Obama.


Amerika Syarikat juga perlu bekerjasama dengan Israel untuk mewujudkan keamanan yang berkekalan di rantau berkenaan. Dan itu satu cabaran, katanya.

Ketika beliau berbincang mengenai dasar luar, seorang wanita menjerit: “Gunakan kepimpinan anda! Jangan berperang di Iran!”

Obama tersenyum dan menjawab dengan berkata: “Tidak ada siapa yang mengisytiharkan peperangan, wanita muda. Anda terlalu cepat membuat andaian.”

Obama juga mengesyorkan supaya proses damai Israel-Palestin dihidupkan semula sebagai satu langkah ke arah mewujudkan keamanan yang berkekalan di Asia Barat.

Ketika ini, hubungan baik dengan Palestin kurang menjadi tumpuan bagi Israel kerana pemimpinnya memberi lebih banyak tertumpu kepada rancangan melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear Iran. - AP


myMetro | Keselamatan Zionis tanggungjawab AS:

'via Blog this'

Si Lanun cacat kembali beraksi

TRAGEDI...Padilla dirodok tanduk lembu selepas jatuh ke tanah.
TRAGEDI...Padilla dirodok tanduk lembu selepas jatuh ke tanah.
PADILLA nekad untuk muncul semula di gelanggang esok.
PADILLA nekad untuk muncul semula di gelanggang esok.

BARCELONA: Seorang matador Sepanyol yang hilang mata kirinya akibat dirodok lembu akan kembali bertarung semula di gelanggang hujung minggu ini dengan memakai penutup mata.

Juan Jos� Padilla yang kini digelar sebagai “Si Lanun” akan mempertaruhkan nyawanya selepas lima bulan dia dilihat terhoyong-hayang keluar dari gelanggang Zaragoza dengan berlumuran darah sambil menjerit “saya tidak dapat melihat”.


Walaupun dia berkata, dia sudah “bersedia sepenuhnya”, dia mengakui mungkin terdapat elemen bahaya tambahan kerana dia tidak dapat melihat jika lembu itu berada di sebelah kirinya.

Padilla, 38, cedera Oktober lalu selepas dia jatuh ke tanah sebelum tanduk lembu merodok rahangnya dan keluar melalui matanya.


Penonton perlawanan lembu Fiesta Del Pilar Zaragoza di gelanggang Misericordia terkejut dengan insiden itu. Dia kemudian menjalani pembedahan selama lima jam untuk memulihkan kerosakan teruk pada mata, tulang, otot dan kulit manakala wajahnya diperbetulkan semula menggunakan plat titanium dan jaring. Padilla akan melakukan perlawanan profesionalnya yang pertama esok sejak insiden itu di bandar Olivenza di barat Sepanyol. Dia berkata: “Ahad ini bagaikan impian menjadi nyata selepas beberapa bulan yang sukar dan saya sedar sepenuhnya tiada siapa menyangka saya akan kembali ke gelanggang,” katanya. Isteri Padilla, Lidia dan dua anaknya dikatakan menjadi penyebab di sebalik kemunculan semula itu tetapi dia berkata: “Ibu bapa saya tidak faham mengapa saya ingin kembali ke gelanggang,” katanya. Dia juga mendedahkan dia berasa sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan itu dan telah membunuh 10 ekor lembu di ladang persendirian sebagai latihan. Ia bukan kali pertama Padilla, matador popular yang memenangi hati ramai peminat kerana ketabahan dan kerelaannya untuk menghadapi lembu paling liar, cedera dirodok.


Pada 2001, penduduk asal Jerez itu mengalami kecederaan parah di lehernya ketika perlawanan di Pamplona.

Kemunculannya semula ke gelanggang dilakukan ketika perdebatan sengit mengenai sukan lawan lembu di Sepanyol berterusan dengan penyokong berkata, ia adalah kunci utama budaya negara itu dan pengkritik pula mendakwa ia satu kekejaman terhadap haiwan.


Keadaan itu mendapat tekanan sejak bermula krisis ekonomi pada 2007, apabila pembiayaan awam untuk mempromosikan sukan lawan lembu itu dipotong dan wilayah Catalonia mengharamkannya pada tahun lalu.

myMetro | Si Lanun cacat kembali beraksi:

'via Blog this'

Undi Parlimen uji Ahmadinejad

Berita Harian Online | Undi Parlimen uji Ahmadinejad: "TEHRAN: Iran semalam memilih Parlimen baru dalam undian yang dianggap satu ujian baru kepada Presiden Mahmoud Ahmadinejad khususnya di kalangan golongan konservatif sejak pertikaian keputusan undi meletus pada 2009 yang memberi kuasa semula kepada Ahmadinejad.

Pemilihan kali ini adalah untuk mengisi 290 kerusi parlimen tetapi diboikot pembangkang utama dan kumpulan reformis selepas pemimpin mereka dikenakan tahanan rumah sejak setahun lalu.
Pemimpin agung Ayatollah Ali Khamenei, mengundi sejurus selepas pilihan raya bermula dengan menggesa 48 juta pengundi mengambil bahagian bagi menyokong ‘masa depan, prestij, keselamatan dan kekebalan negara,’ lapor televisyen tempatan.
Pengundian kali ini pada dasarnya adalah perjuangan antara konservatif yang menyokong Ahmadinejad dan pembangkang tegar yang membencinya. Masing-masing mendakwa kesetiaan tidak berbelah bagi kepada Khamenei.

Tidak seperti 2009 apabila kemenangan Ahmadinejad dipertikaikan, bantahan tidak dijangka dalam pengundian kali ini.

Namun, ketua polis Iran, Ismail Ahmadi Moghaddam, berkata pasukan keselamatan sedia menghadapi sebarang masalah. – AFP"

'via Blog this'

Kebencian terhadap Obama meluap

PENYIASAT Arpaio menunjukkan beberapa perkara meragukan dalam sijil lahir Obama.
PENYIASAT Arpaio menunjukkan beberapa perkara meragukan dalam sijil lahir Obama.
Syerif dakwa sijil lahir presiden AS palsu, iklan stesen kereta api guna bahasa kasar

PHOENIX: Seorang Syerif di pejabat Syerif Maricopa County, Arizona, Joe Arpaio, 80, mendakwa, siasatan yang dilakukan pihaknya mendapati bahawa sijil kelahiran Presiden Barack Obama adalah palsu.

“Hasil daripada siasatan terperinci yang dijalankan kakitangan saya selama enam bulan, saya percaya bahawa sijil kelahiran Obama dicetak menggunakan komputer,” katanya.
Arpaio, seorang anggota Republikan yang disifatkan sebagai syerif paling lantang bersuara, menggesa Kongres menyiasat penemuannya, termasuk undang-undang menyatakan bahawa mereka yang memalsukan dokumen melakukan dua jenayah, iaitu menghasilkan dokumen palsu dan mengemukakannya kepada umum.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak menuduh presiden Amerika sekarang melakukan jenayah, tetapi ada banyak persoalan yang memerlukan jawapan. Kami berhasrat meneruskan siasatan bagi mendapatkan jawapan itu,” katanya.

Pada April 2011, Obama mengemukakan butiran terperinci sijil kelahirannya dalam usaha meredakan spekulasi dikalangan anggota Republikan bahawa beliau tidak dilahirkan di Amerika, syarat yang diperlukan perlembagaan untuk menyandang jawatan presiden.

Arpaio berkata, siasatan dijalankan oleh lima anggota sukarela selepas menerima permintaan daripada kumpulan pelobi politik Tea Party di kawasan Phoenix.
Rumah Putih berulang kali menafikan dakwaan bahawa Obama tidak dilahirkan di Amerika.
Sementara itu, lain pula halnya di Stesen Kereta Api Bawah Tanah Dupont Circle Metro (DC Metro Station) Washington, apabila satu papan iklan yang mengkritik program pembaruan penjagaan kesihatan Obama, diakhiri dengan kata-kata ‘pergi jahanam Barack!’

“Barack Obama mahu ahli politik dan birokrat menguasai keseluruhan sistem perubatan di Amerika. Pergi jahanam Barack,” kata kenyataan awal iklan itu sebelum diakhiri dengan ayat itu.

Seorang anggota Kongres Demokrat dari Virginia, Jim Moran, menulis surat kepada Pengarah Urusan Metro, menggesa beliau menurunkan iklan terbabit.

“Iklan itu menunjukkan sikap biadab terhadap presiden Amerika dan tidak dimiliki pihak berkuasa Pengangkutan Metropolitan Washington (WMATA),” katanya.

Bagaimanapun, WMATA berkata, bahasa yang digunakan di dalam iklan terbabit boleh digunakan dan dilindungi di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika yang menjamin kebebasan bersuara.

“Iklan WMATA tertakluk di bawah undang-undang forum umum dan dilindungi perlembagaan,” kata pihak berkuasa Metro dalam satu kenyataan. – Reuters/AFP
Berita Harian Online | Kebencian terhadap Obama meluap:

'via Blog this'

Gantung kertas pada leher semasa mengemis



FABRICIO VIEIRA menggantung sekeping kertas pada lehernya semasa dia meminta wang daripada penumpang sebuah tren di Lisbon kelmarin.


LISBON, Portugal - Seorang lelaki berusia 30 tahun, Fabricio Vieira sanggup mengemis di dalam sebuah tren di sini kelmarin.
Dia yang kini menganggur menggantung sekeping kertas pada lehernya semasa dia mengemis meminta wang di dalam tren itu.
Kertas itu tertulis mesej yang menyatakan dia memerlukan pertolongan untuk membeli makanan.
Vieira yang mengalami kecacatan mendakwa dia kadangkala terpaksa tidur di tepi jalan kerana tidak mampu menyewa kediaman.
Pengangguran di 17 buah negara Eropah yang menggunakan mata wang euro melonjak kepada 10.7 peratus pada Januari lalu sekali gus menjadi kadar tertinggi sejak penubuhan zon mata wang berkenaan pada tahun 1999. - Agensi

Salji turun di Masjid Al-Aqsa


TIGA penduduk Palestin bermain salji di sebuah taman di Baitulmuqaddis semalam.


BAITULMUQADDIS - Masjid Al-Aqsa dan sebahagian besar Israel serta wilayah-wilayah di Palestin semalam dilitupi salji buat kali pertama dalam tempoh empat tahun.
Salji lebih tebal dilaporkan turun di rantau Galilee, utara Israel dan kawasan Hebron Tebing Barat.
Stesen radio Israel melaporkan bahawa sekolah-sekolah di kawasan yang paling teruk terjejas disebabkan salji telah ditutup manakala perkhidmatan bas antara bandar juga dibatalkan.
Timbunan salji setebal lebih tiga meter dicatatkan di puncak Gunung Hermon di kawasan Bukit Golan yang dikuasai Israel sejak salji turun pada Rabu lepas.
Fenomena tersebut adalah yang pertama kali berlaku sejak salji tebal turun di bandar ini pada musim sejuk 2008. - AFP

Lebih 20,000 penduduk Syria terperangkap



GAMBAR yang disiarkan di stesen televisyen Syria TV semalam menunjukkan beberapa buah bangunan diliputi salji di Baba Amr di bandar Homs.


DAMSYIK - Satu konvoi bantuan pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) melakukan persediaan untuk memasuki kawasan penduduk Baba Amr di bandar Homs semalam, sehari selepas tentera Presiden Bashar Al-Assad menyerang bandar berkenaan sekali gus menamatkan kepungan selama empat minggu.
Lebih 20,000 orang awam dipercayai terperangkap di daerah berkenaan ekoran serangan berterusan tentera pemerintah.
Seorang jurucakap ICRC berkata, pihaknya dan pertubuhan Bulan Sabit Merah Syria bersedia memasuki Baba Amr dengan membawa tujuh buah trak sarat dengan bekalan bantuan kemanusiaan.
"Kami bersiap sedia untuk memasuki daerah Baba Amr," kata jurucakap ICRC, Sebastien Carliez di Geneva.
Perkembangan tersebut berlaku selepas pihak pemberontak menyatakan mereka berundur dari Baba Amr kelmarin, hari kedua serangan darat yang dilancarkan Divisyen Perisai Keempat yang diketuai oleh adik Presiden Bashar, Maher.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy membidas serangan ke atas Baba Amr yang disifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan.
"Lebih 8,000 orang terbunuh termasuk beratus-ratus kanak-kanak dengan bandar Homs berdepan risiko hilang dari peta dunia," kata Sarkozy. - Agensi

Friday, March 2, 2012

Mala petaka jika serang

myMetro | Mala petaka jika serang: TEHERAN: Seorang pemerintah kanan tentera Iran semalam memberi amaran kepada Amerika Syarikat bahawa sebarang pertelingkahan ketenteraan dengan Iran akan membawa ‘mala petaka’ yang rumit kepada Washington.

“Memandangkan keadaan di Teluk Parsi ketika ini, Republik Islam Iran memopunyai kelebihan meskipun ia berdepan dengan tekanan yang semakin hebat,” kata Laksamana Ali Fadavi, pemerintah Tentera Laut Pengawal Revolusi Islam Iran.


Ali memberi amaran, Amerika Syarikat akan mengalami bencana yang besar dari segi ekonomi dan juga ketenteraan jika ia melancarkan serangan.

Beliau juga memperlekeh tekanan Barat terhadap ekonomi Iran dengan berkata, matlamat musuh negaranya untuk melemahkan republik Islam itu menerusi ekonomi juga akan berakhir dengan kegagalan.


Rumah Putih kelmarin memberi amaran sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran akan mengkucar-kacirkan kestabilan di Asia Barat, sekali gus mengancam keselamatan warga Amerika Syarikat di Afghanistan dan Iraq.


Amaran itu dibuat beberapa hari sebelum Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berbincang dengan Perdana Menteri rejim Zionis, Benjamin Netanyahu.

“Sebarang tindakan ketenteraan akan menyebabkan ketidakstabilan yang teruk di rantau itu,” kata jurucakap Rumah Putih, Jay Carney.


Israel memberi pelbagai isyarat sejak beberapa minggu lalu mengenai kemungkinan ia melancarkan serangan terhadap Iran bagi menghentikan program nuklear republik Islam itu.

“Iran bersempadan dengan Afghanistan dan Iraq. Kita mempunyai kakitangan awam di Iraq. Kita ada anggota tentera di Afghanistan,” kata Carney pada taklimat media.


Setakat ini, Amerika Syarikat tidak mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan Iran berusaha menghasilkan senjata nuklear, katanya.


Pentadbiran Obama berusaha untuk menyelesaikan isu program nuklear Iran menerusi saluran politik, termasuk pengawasan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa terhadap program nuklear Iran.


Menurut Carney, kekurangan bukti bahawa Iran berusaha mendapatkan senjata atom membolehkan Washington meneruskan dasar sekatan ekonomi. terhadap republik Islam itu. - Agensi


'via Blog this'

Majoriti rakyat Israel tolak serangan

myMetro | Majoriti rakyat Israel tolak serangan: "BAITULMAQDIS: Sebahagian besar rakyat Israel menentang sebarang serangan terhadap Iran atau menyokongnya hanya jika ia dilancarkan dengan persetujuan Amerika Syarikat.

Kajian yang dilakukan oleh Universiti Maryland dan Institut Dahaf Israel itu mendapati 34 peratus daripada 500 responden percaya Israel tidak sepatutnya menyerang Iran dan 42 peratus berkata, ia perlu menyerang hanya jika Amerika Syarikat menyokong keputusan itu. Hanya 19 peratus percaya Israel perlu melakukan serangan itu walaupun tanpa sokongan Washington. Keputusan kaji selidik itu diterbitkan sebelum Perdana Menteri rejim Zionis, Benjamin Netanyahu berunding dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengenai program nuklear Iran di Washington Isnin depan.


Amerika Syarikat sebelum ini berkata, serangan Israel ke atas Iran akan mengkucar-kacirkan keadaan di Asia Barat. - AFP"

'via Blog this'

Pengurangan bajet pertahanan AS tanda lemah: Ayman

myMetro | Pengurangan bajet pertahanan AS tanda lemah: Ayman: DUBAI: Pemimpin al-Qaeda, Ayman al-Zawahri semalam menyifatkan keputusan Amerika Syarikat untuk mengurangkan bajet pertahanan dan berunding dengan kumpulan Taliban di Afghanistan sebagai tanda kemerosotan kuasa Washington.

Dalam mesej yanng disiarkan menerusi Internet, Ayman yang mengambil alih pucuk kepimpinan al-Qaeda selepas pembunuhan Osama bin Laden tahun lalu, juga berkata, kebangkitan rakyat yang melanda dunia Arab sejak tahun lalu, secara keseluruhannya bermotifkan Islam.


“Satu daripada tanda terbaru mengenai kemerosotan kuasa Amerika Syarikat ialah pengurangan bajet Jabatan Pertahanannya,” kata Ayman dalam rakaman audio selama 24 minit yang dimuatnaikkan menerusi laman web aktivis Islam.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama baru-baru ini mengumumkan bajet pertahanan untuk 2013 yang mencadangkan pengurangan belanjawan Pentagon, pertama kali sejak 1998. Ia membabitkan pengurangan anggota dan pembelian senjata.


“Faktor terbesar yang memaksa Amerika Syarikat mengurangkan bajet pertahanannya ialah bantuan Allah kepada mujahidin untuk mengancam ‘empayar jahat’ masa ini,” katanya.


Beliau juga menyifatkan usaha Amerika untuk berbaik-baik dengan Taliban, adalah satu lagi bukti kekalahan negara itu. - AFP


'via Blog this'

Ajal di pokok sawit

myMetro | Ajal di pokok sawit: NEWSREMUK...anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit, kelmarin. Gambar kecil, Nurul Erieza, maut.
REMUK...anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit, kelmarin. Gambar kecil, Nurul Erieza, maut.

ROMPIN: Dua rakan karib terbunuh selepas Proton Iswara dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok kelapa sawit di Kilometer 127.7 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Felda Keratong, Muadzam Shah, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, Nurul Erieza Sulaiman dan M aizatul Akmam Mahadi, kedua-duanya berusia 22 tahun, tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta anggota badan.


Abang Nurul Erieza, Mohd Shukri, 23, berkata, kali terakhir dia b ertemu adiknya yang dipanggil Angah oleh keluarga ialah dua minggu lalu ketika mengunjungi rumah ibu bapa mereka.

“Ketika itu Angah langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan, cuma saya pelik sejak dua minggu lalu dia akan memaklumkan kepada saya ke mana saja dia mahu pergi,” katanya.


Menurutnya, dia difahamkan ketika kejadian adiknya yang juga anak kedua daripada lima beradik dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Kuala Rompin dari Serdang, Selangor.


Katanya, adiknya yang juga bekas pelajar International College of Health Sciences (ICHS), Serdang, adalah seorang periang dan ramah. Mohd Shukri berkata, adiknya bekerja sebagai pembantu tadbir di Rompin tinggal serumah dengan Maizatul Akmam yang bekerja di bandar sama.

“Mereka berkawan sejak belajar bersama di kolej berkenaan namun saya tidak pula dimaklumkan tujuan mereka ke Serdang pada hari kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, mereka sekeluarga menerima kejadian itu sebagai takdir dan jenazah adiknya selamat dikebumikan jam 11 pagi semalam di kampung halaman mereka di Durian Tunggal, Melaka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, kemalangan berkenaan masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta saksi kejadian supaya tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.


Katanya, kejadian berkenaan dipercayai berlaku selepas kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok kelapa sawit.


“Ketika kejadian keadaan jalan basah selepas hujan dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah bagi membolehkan bedah siasat dilakukan sebelum dituntut ahli keluarga mereka malam kelmarin,” katanya.


'via Blog this'

Untuk abang, adik merana

myMetro | Untuk abang, adik merana: SIASAT...anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian, semalam.
SIASAT...anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian, semalam.
RAWAT...Norasyikin yang parah.
RAWAT...Norasyikin yang parah.

ALOR GAJAH: “Tiba-tiba saya dengar letupan amat kuat sebelum melihat adik melambung dan jatuh tertiarap dalam keadaan badannya berlumuran darah serta berasap.”

Demikian kata Saiful Eszwan Md Esa, 35, menceritakan kejadian adiknya, Norasyikin, 27, menjadi mangsa bom dipercayai buatan sendiri yang diletakkan di depan pagar rumah mereka di Kampung Ramuan Cina Besar, Lubok Cina, di sini, semalam.

Saiful Eszwan, 35, berkata ketika kejadian pada jam 8.40 pagi itu, dia membaiki motosikal di bangsal kira-kira tujuh meter dari pintu pagar rumahnya.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika adiknya hendak keluar dari pagar rumah untuk pergi bekerja dan sebelum itu, Norasyikin memberitahu ada satu kotak bersaiz kotak kasut diletakkan di luar pintu pagar rumah.


“Saya menasihatinya supaya tidak menyentuh kotak itu. Saya tahu dia membuka pintu pagar, tetapi tidak perasan dia mengangkat kotak itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.


'via Blog this'

Israel lulus penempatan terbesar pendatang Yahudi

myMetro | Israel lulus penempatan terbesar pendatang Yahudi: SHVUT RACHEL: Israel meluluskan satu daripada penempatan haram Yahudi paling lama dan terbesar di Tebing Barat.

Tindakan itu dikecam oleh rakyat Palestin dan aktivis Israel yang menyifatkannya sebagai ketidakjujuran rejim Israel menjelang perbincangan Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama Isnin depan.


Shvut Rachel yang didiami 95 keluarga Yahudi diwujudkan 21 tahun lalu di puncak sebuah bukit di tengah Tebing Barat.

Israel perlu berundur dari kawasan berkenaan untuk membuka jalan kepada penubuhan sebuah negara Palestin.


Pendatang Yahudi terbabit merampas tanah di kawasan berkenaan tanpa kebenaran pihak berkuasa Zionis.


Bagaimanapun, sebuah jawatankuasa perancangan minggu lalu meluluskan 115 apartmen yang sudah dibina atau sedang dalam pembinaan di kawasan itu, menurut pegawai kerajaan dan pemangku Datuk Bandar kumpulan Yahudi itu, Yaakov Moshe Levi. - AFP


'via Blog this'

Bai Jing mati dibunuh suami

myMetro | Bai Jing mati dibunuh suami: BAI Jing dikatakan sebagai pengganti kepada Michelle Yeoh.
BAI Jing dikatakan sebagai pengganti kepada Michelle Yeoh.

BEIJING: Aktres China Bai Jing dibunuh suaminya ekoran satu pertengkaran yang berlaku Selasa lalu di kediaman mereka di daerah Chaoyang di bandar raya ini.

Suaminya, Zhou Chenghai, 44, menikam Bai Jing sebelum membunuh diri, lapor media China.


Aktres berusia 29 tahun itu telah membintangi filem “Kung Fu Wing Chun”, “Three Kingdoms: Resurrection of the Dragon“ dan puluhan filem lagi, siri televisyen seperti “Legend of Xiangxi”, selain drama kanak-kanak dan rancangan muzikal. Dia dipuji sebagai pengganti kepada Michelle Yeoh dan hingga kini adalah bintang kung-fu wanita China paling terkenal.

Berita kematiannya dihebah kali pertama kira-kira jam 3 petang di Sina Weibo - Twitter versi China oleh pengurus besar agensi hiburannya, Ju Chunlei.


Ju berkata, pembunuhan dan bunuh diri itu berlaku ekoran pertengkaran yang sudah lama tercetus antara pasangan itu dan kematian ibu Zhou pada 31 Januari lalu menjadi punca terakhir dalam hubungan bermasalah antara kedua-duanya.


Ju enggan memberikan maklumat lanjut tetapi menurut akhbar China, Legal Evening News, Zhou bersemuka dengan Bai selepas menerima tuntutan perceraian pagi Selasa lalu.

Petisyen perceraian itu menyatakan Bai tidak tahu mengenai perkahwinan terdahulu Zhou dan anak lelaki yang dimiliki serta menuduhnya berlaku curang.


Zhou dikatakan seorang bilionair yang memperoleh kekayaan daripada pasaran saham dan hartanah. Dia juga mempunyai seorang anak lelaki daripada perkahwinan dengan isteri pertama yang diceraikannya untuk bersama Bai. Laporan berita menyatakan Zhou melaburkan sejumlah besar wang dalam karier lakonan Bai dan mereka akhirnya berkahwin pada Oktober 2010.

Awal tahun ini, satu sumber mendakwa Bai bersubahat dengan teman lelakinya dalam plot untuk mencuri 20 juta yuan (RM9.5 juta) daripada Zhou dan mengupah pelacur untuk menggodanya supaya aktres itu dapat menuntut cerai dan memperoleh lebih banyak wang.


Khabar angin mendakwa ibu Zhou “mati akibat berang” awal tahun ini selepas mendapat tahu mengenai hal itu.


Pengarah Zhang Tongzhu yang pernah bekerja dengan Bai berkata, khabar angin itu tidak benar. Dalam fikiran saya, Bai seorang perempuan yang lurus dan rajin bekerja,” katanya.


'via Blog this'

Korea Utara gantung ujian nuklear

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


SEOUL 1 Mac - Korea Utara akan menggantung ujian nuklear dan peluru berpandu serta program pengayaan uraniumnya di bawah perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) yang akan menyaksikan negara komunis itu menerima bantuan makanan daripada AS.

Washington secara serentak mengesahkan perjanjian tersebut yang membuka kemungkinan kemajuan besar dicapai dalam usaha untuk menghentikan program senjata nuklear Korea Utara berikutan kematian pemimpinnya, Kim Jong-il pada Disember lalu.

Perjanjian itu menyusuli rundingan di Beijing pada minggu lepas antara kedua-dua pihak, dialog pertama sejak anak lelaki Jong-il, Kim Jong-un mengambil alih teraju pimpinan Korea Utara.

Jurucakap Kementerian Luar di Pyongyang berkata, Washington menjanjikan 'bantuan makanan' sebanyak 240,000 tan, dengan kemungkinan bantuan makanan tambahan disalurkan kepada Korea Utara yang kerap mengalami kekurangan makanan yang teruk sejak krisis kebuluran pada 1990-an.


'via Blog this'

2 pelajar lempar bom, 10 maut

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Pakar bom memeriksa sebuah pasar di wilayah Pattani yang terbakar selepas bom tangan dilemparkan di pasar itu, semalam. - REUTERS


BANGKOK 1 Mac - Sekurang-kurangnya 10 orang cedera di daerah Rueso, wilayah Narathiwat selepas dua remaja berpakaian seragam sekolah agama melontar sebutir bom tangan ke arah orang ramai, awal pagi ini.

Menurut polis, dua remaja itu menaiki sebuah motosikal menuju ke pekan di Rueso, sebelum pemboncengnya melontar sebutir bom tangan ke arah orang ramai yang sedang sibuk membeli makanan di gerai tepi jalan di situ.

Sekurang-kurangnya 10 orang termasuk enam wanita, tiga lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera dalam serangan itu, dua daripada mereka cedera parah.

Dalam kejadian berasingan di wilayah sama, dua askar kerajaan cedera apabila kumpulan yang disyaki militan meletupkan sebutir bom buatan sendiri dekat sebuah trak pikap yang membawa enam askar yang dalam perjalanan menuju ke kampung Kuching Rupa, daerah Rangae untuk menjalankan operasi.


'via Blog this'

Surat Khalifah Abu Hafs kepada Pope dipamerkan

Kosmo! Online - Dunia:



SEPUCUK surat daripada Khalifah Abu Hafs dipamerkan di Capitol Hill, Rom kelmarin.


ROM, Itali - Sepucuk surat daripada Khalifah Abu Hafs Umar al-Murtada dari Maghribi kepada Ketua Gereja Roman Katolik, Pope Innocent IV dipamerkan di sini kelmarin.

Surat itu bertarikh 10 Jun 1250 dari Marrakesh, Maghribi. Abu Hafs memerintah sebahagian kawasan di Maghribi dari tahun 1248 sehingga 1266 Masihi.

Surat tersebut merupakan sebahagian dokumen yang dipamerkan pada pameran Arkib Rahsia Vatican yang diadakan di Capitol Hill, Rom.

Pameran itu dibuka kepada orang awam bermula semalam dan akan berakhir pada September depan.

- Agensi


'via Blog this'

Kapal penumpang rosak tiba di Seychelles

Kosmo! Online - Dunia:



KAPAL penumpang Costa Allegra ditarik sebuah bot tunda ke pelabuhan Mahe, Seychelles semalam.


VICTORIA - Sebuah kapal penumpang Itali, Costa Allegra yang mengalami kerosakan enjin dan tiada bekalan elektrik berlabuh di pelabuhan Mahe, Seychelles semalam selepas ia ditarik oleh sebuah bot tunda.

Pasukan perubatan dan ambulans bersiap sedia menunggu kapal tersebut yang membawa lebih 1,000 orang setelah kapal tersebut rosak di Lautan Hindi pada Isnin lalu.

"Kami di sini untuk bersama-sama memberikan air dan sokongan psikologi kerana para penumpang berada dalam keadaan yang sangat tertekan," kata seorang pekerja Pertubuhan Palang Merah, Sandra Sabury.

Pihak berkuasa Seychelles telah menyediakan beratus-ratus bilik hotel bagi menempatkan lebih 1,000 orang yang menaiki kapal itu.

Kapal itu mengalami kerosakan enjin dan tiada bekalan elektrik selepas berlaku kebakaran dekat jana kuasa enjin Costa Allegra. - Agensi


'via Blog this'

Israel bina pusat perlindungan bom

Kosmo! Online - Dunia:


SEORANG pengawal keselamatan membuka sebuah pintu kecemasan di kawasan meletak kenderaan di bawah tanah yang diubahsuai menjadi sebuah pusat perlindungan bom di Habima, Tel Aviv kelmarin.


TEL AVIV, Israel – Israel membina sebuah pusat perlindungan bom di bawah bangunan sebuah plaza dekat Teater Kebangsaan Habima di sini.

Kerja-kerja bagi membina pusat perlindungan itu kini memasuki peringkat terakhir.

Pusat perlindungan itu mempunyai tempat tinggal untuk lebih 1,600 orang.

Ia merupakan sebahagian daripada infrastruktur pertahanan di sini.

Pusat perlindungan itu mempunyai sistem penapisan bagi memastikan orang ramai yang berlindung masih dapat menghirup udara yang tidak tercemar walaupun terdapat satu serangan kimia.

Ia dibina sebagai sebahagian daripada kerja-kerja pengubahsuaian sebuah bangunan pawagam yang siap dilakukan pada lewat tahun lalu.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Roi Flyshman berkata, pusat perlindungan itu amat canggih.

Pusat perlindungan itu merupakan tempat meletak kereta bawah tanah yang telah diubahsuai.

“Sejumlah tempat meletak kenderaan di negara ini boleh menjadi pusat perlindungan dan kami akan mencontohi pembinaan pusat perlindungan bom itu,” katanya.

Ketua Pengarah Pusat Perubahan Sourasky di sini, Gabi Barbash berkata, sebuah tempat meletak kereta bawah tanah boleh diubah menjadi sebuah wad kecemasan dengan 1,000 buah katil dalam tempoh 48 jam.

Pusat perlindungan bom itu dibina ketika timbul spekulasi bahawa Israel akan menyerang Iran ekoran isu program nuklear. – Agensi


'via Blog this'