Pages

Wednesday, November 2, 2011

Libya pilih Perdana Menteri baru

2011/11/02
AL-KEIB (kiri) bersama Abdel Jalil selepas pengundian memilih pemimpin di Tripoli, kelmarin.
AL-KEIB (kiri) bersama Abdel Jalil selepas pengundian memilih pemimpin di Tripoli, kelmarin.
Pemerintah sementara lantik ahli teknokrat ketuai negara

TRIPOLI: Pemerintah sementara Libya kelmarin melantik seorang pakar teknokrat dan ahli perniagaan untuk mengetuai kerajaan peralihan ketika Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menamatkan kempen udara yang membantu menggulingkan bekas pemimpin, Muammar Gaddafi.
Abdel Rahim al-Keib yang juga penduduk asal Tripoli, dilantik sebagai Perdana Menteri dalam undian yang dijalankan di kalangan anggota Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC).
Al-Keib yang tidak begitu dikenali sehingga kini, adalah ahli akademik yang pakar dalam kejuruteraan elektrikal. Dia mengalahkan empat calon lain selepas meraih 26 daripada 51 undi.

“Ini membuktikan rakyat Libya mampu membina sendiri masa depan mereka,” kata pengerusi NTC, Mustafa Abdel Jalil, selepas undian tamat.

Al-Keib juga seorang ahli perniagaan berjaya menghabiskan masa berdekad di luar negara sebagai penentang Gaddafi sebelum menyertai revolusi pro-demokrasi yang menyaksikan penyingkiran pemimpin itu. Dia turut memberi sumbangan kewangan besar kepada NTC.

“Sudah tentu aspek utama programnya ialah menstabilkan negara, fail keselamatan dan tentera, yang akan dikawal Kementerian Dalam Negeri. Al-Keib juga menjanjikan untuk menyediakan keperluan asas rakyat Libya,” kata ketua hal ehwal politik NTC, Fathi Baja.
Awal kelmarin juga, ketua NATO, Anders Fogh Rasmussen, melakukan lawatan singkat ke Tripoli dan berkata dia melihat tiada lagi tugas besar bagi pakatan itu di Libya beberapa jam sebelum misi udaranya berakhir secara rasmi.

“Pada tengah malam ini, satu lagi kejayaan NATO dalam sejarah akan berakhir. Namun, anda juga sudah mula menulis bab baru dalam sejarah Libya,” katanya.
Rasmussen bergegas untuk mengadakan rundingan secara langsung di Hotel Rixos tetapi kemudian berpeluang bercakap mengenai masa depan negara itu dengan sekumpulan 60 pemuda Libya.

Lawatan dibuat tujuh bulan selepas kuasa Barat membedil bertalu-talu peluru berpandu pertama terhadap tentera Gaddafi dalam serangan udara yang membantu menumbangkan pemerintahan pemimpin veteran itu.

Zon larangan terbang dan halangan laut, dikuatkuasakan oleh NATO sejak 31 Mac lalu dan berakhir satu minit sebelum tengah malam kelmarin waktu Libya, seperti yang ditetapkan oleh resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu, menamatkan mandat misi pakatan itu.

Operasi NATO ditamatkan walaupun Abdel Jalil meminta pakatan itu kekal sehingga akhir tahun ini, dengan amaran puak yang setia kepada Gaddafi masih memberi ancaman.

Bagaimanapun, NATO menyifatkan penduduk awam selamat daripada serangan selepas rejim baru Libya mengisytiharkan pembebasan negara itu berikutan kematian Gaddafi dan kejatuhan bandar kelahirannya, Sirte, 30 Oktober lalu. – AFP Berita Harian Online | Libya pilih Perdana Menteri baru:

'via Blog this'

Amerika hukum UNESCO

2011/11/02

Tarik balik pembiayaan RM184 juta kerana izin Palestin jadi ahli

NEW YORK: Amerika Syarikat bertindak menarik balik dana tahunan untuk agensi ekonomi, kebudayaan dan pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai hukuman terhadap badan dunia itu kerana memberi keanggotaan penuh kepada Palestin meskipun turut dibantah Israel dan Eropah.
Sebanyak 107 anggota UNESCO menyokong untuk menerima Palestin sebagai anggota penuh, keputusan yang disambut sorakan kuat delegasi antarabangsa di Paris. Sebanyak 52 wakil negara lain termasuk United Kingdom, memutuskan untuk tidak mengundi.

Dalam masa beberapa jam, Amerika mengumumkan ia menghentikan sumbangan besarnya kepada bajet UNESCO berikutan keputusan undian berkenaan.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Victoria Nuland, berkata Washington tidak mempunyai pilihan disebabkan undang-undang berusia 21 tahun melarang bayaran dana kepada mana-mana badan PBB yang menerima Palestin sebagai anggota penuh.

Penyerahan dana AS$60 juta (RM184 juta) yang dijangka dibuat lewat bulan ini digantung, langkah yang memberi tamparan hebat kepada agensi itu. Amerika menyumbang 22 peratus daripada bajet tahunan UNESCO.
“Keputusan UNESCO dikesali, tidak matang dan memandang rendah matlamat yang dikongsi untuk mencapai keamanan menyeluruh, adil dan berpanjangan antara penduduk Palestin dan Israel,” dakwa Nuland.

Israel turut memberi petanda memberi hukuman berat kepada agensi PBB itu. Kementerian Luarnya mengeluarkan kenyataan untuk menimbang kerjasama berterusan dengan UNESCO.

Duta rejim Zionis itu ke UNESCO, Nimrod Barkan, menyifatkan undian itu sebagai satu tragedi.

Tetapi, pegawai Palestin yang menyifatkan undian itu satu peristiwa bersejarah, nyata gembira dengan keputusan agensi berkenaan.

“Undian itu akan menghilangkan sedikit ketidakadilan yang dibuat kepada penduduk Palestin,” kata Menteri Luar Palestin, Riyad al-Malki, di Paris.

Sokongan berkenaan membolehkan Palestin menyertai agensi PBB itu, suntikan besar kepada kempen mendapatkan pengiktirafan antarabangsa sebagai negara merdeka, dan menjadi tamparan hebat kepada Israel dan Amerika yang membantah langkah itu.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, berkata undian itu sebenarnya mewakili sokongan kepada kebebasan dan keadilan.

Dalam kenyataan kepada Wafa, Abbas berkata: “Undian ini adalah demi keamanan dan mewakili persetujuan sebulat suara antarabangsa menyokong hak kedaulatan penduduk Palestin, yang paling penting penubuhan negara merdeka.”
Sebahagian perwakilan juga mengutuk reaksi Amerika.

“Reaksi mereka seolah-olah seperti kami meminta untuk diterima menjadi ahli al-Qaeda,” kata pegawai kanan Palestin, Nabil Shaath, sebelum undian. – Agensi Berita Harian Online | Amerika hukum UNESCO:

'via Blog this'

Suha tolak dakwaan rasuah oleh Tunisia

2011/11/02
FOTO 1994 menunjukkan Suha bersama Arafat.
FOTO 1994 menunjukkan Suha bersama Arafat.
VALLETTA: Kerajaan Tunisia mengeluarkan waran tangkap terhadap Suha Arafat, balu bekas Presiden Palestin yang dituduh terbabit dalam rasuah, sesuatu yang dinafikan oleh bekas isteri pemimpin Fatah itu selain berikrar akan menentang dakwaan ke atasnya kerana beliau adalah mangsa kepada rejim lama negara berkenaan.

Agensi berita Tunisia kelmarin melaporkan waran dikeluarkan minggu lalu terhadap Suha berikutan peranannya dalam skandal membabitkan bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali dan keluarganya.
Bercakap kepada wartawan menerusi telefon awal kelmarin, Suha berkata: “Saya menafikan semua tuduhan yang disenaraikan dalam media. Saya sedia berdepan dengan isu ini dengan menyerahkan dokumen dan saya percaya peguam Tunisia untuk membentangkan semua dokumen itu.
“Saya tidak mempunyai kaitan dengan Sekolah Antarabangsa sejak 2007.” Katanya, dia sudah menjual sahamnya kepada Asma Mahjoub, anak saudara isteri kepada Ben Ali, Leila.

“Bayaran dilakukan olehnya untuk menyumbang kepada modal Sekolah Antarabangsa adalah pinjaman berjumlah 300,000 dinar Tunisia (RM650,000) diperoleh dari Bank Perumahan Tunisia.

“Saya sudah membayar pinjaman itu dan apabila menjual saham berkenaan, saya cuma memperoleh 30,000 dinar (RM65,947),” katanya.

Suha menegaskan, tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kes membabitkan nama Ben Ali dan menggesa namanya tidak dikaitkan dengan isteri bekas Presiden Tunisia itu.
Kerakyatan Tunisia yang diberikan kepada Suha ditarik balik tidak sampai setahun selepas memperolehnya. Dia diusir dan menetap di Malta. Suha juga mendakwa tidak pernah diberitahu secara rasmi mengenai waran itu dan cuma membacanya dalam akhbar.

“Saya akan berjuang . Saya amat terkejut kerana saya adalah mangsa pemerintahan kuku besi Tunisia,” kata Suha, 48, dalam temu bual dalam bahasa Inggeris di kediamannya di sini.

Suha menetap di Tunisia selepas kematian Arafat di Perancis pada 2004 tetapi meninggalkan negara itu beberapa tahun kemudian selepas berbalah dengan keluarga suaminya.

Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang diterajui Arafat, beribu pejabat di Tunis selama beberapa tahun berikutan pencerobohan Israel ke atas Lubnan pada 1982. – Agensi Berita Harian Online | Suha tolak dakwaan rasuah oleh Tunisia:

'via Blog this'

Saiful Apek tak mengaku ambil dadah



Saiful Apek


PETALING JAYA 1 Nov. – Pelakon komedi, Saiful Apek bersama empat rakannya termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan mereka, tahun lalu.

Saiful atau nama sebenarnya, Mohd. Saifulazam Mohamed Yusoff, 42; Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28; Shaiful Baharom, 24; dan Noremy Mohamad, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepada mereka.

Hanya Mohamad Shafarul Abdul Rahim, 25, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 11 malam, 12 Jun tahun lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 dan pengawasan polis.

Mohamad Shafarul yang bekerja secara sambilan di syarikat milik Saiful, Gitu-Gitu Production turut mengaku bersalah terhadap dua lagi pertuduhan iaitu memiliki 0.09 gram kanabis dan memiliki perkakas yang digunakan untuk menyediakan kanabis.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di No. 306, Blok C, Pangsapuri Sunway Court, Jalan PJS 7/13, Bandar Sunway di sini pada pukul 10 malam, hari yang sama.

Dakwaan bagi kedua-dua tuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 10(2)(a) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Dengan pengakuan salah itu, Mohamad Shafarul dikenakan denda antara RM2,000 dan RM3,000 yang kesemuanya berjumlah RM7,500 atau penjara 10 bulan serta dua tahun pengawasan oleh pihak polis.

Sementara itu, Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid membenarkan Saiful dan tiga rakannya yang lain masing-masing diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad dan Fadilah Shah Abdul Latif manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Fadly Hashim.

Mengikut laporan akhbar sebelum ini, Saiful Apek diberkas sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Subang Jaya dalam serbuan di sebuah rumah kerana mengambil dadah bersama empat lagi rakannya, termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20-an.

Dalam serbuan pada pukul 10 malam itu, polis turut merampas 40 gram daun kering dipercayai dadah jenis ganja atau kanabis.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap pelakon yang pernah mengarah dan menerbitkan filem serta rakan-rakannya kemudian mendapati semua mereka positif dadah.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Iraq tolak tawaran Turki dan Iran latih tentera


02/11/2011 2:48am

BAGHDAD 2 Nov. – Iraq menolak tawaran dari Turki dan Iran untuk melatih pasukan tenteranya selepas rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung misi ketenteraan di negara ini gagal, kata seorang pegawai kerajaan, semalam.

“Teheran dan Ankara menawarkan untuk memberi latihan ketenteraan kepada pasukan tentera kami namun tidak menerimanya berhubung situasi kini.

“Kami lebih selesa sekiranya ia tidak melibatkan kerjasama dengan negara-negara jiran,” kata pegawai yang identitinya tidak didedahkan.

Pada 29 Oktober lalu, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menawarkan latihan ketenteraan kepada tentera Iraq bagi menghadapi persediaan menjelang pengunduran tentera AS pada penghujung tahun ini. – AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Gempa bumi 6.5 landa luar pesisir pantai Mexico


02/11/2011 2:48am

LOS ANGELES 2 Nov. – Satu gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada Skala Richter melanda luar pesisir pantai Mexico semalam, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa tersebut berlaku pada pukul 8.32 malam waktu Malaysia, 333 kilometer tenggara resort Cabo San Lucas pada kedalaman lima kilometer.

Gempa tersebut bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kerosakan atau kecederaan. – AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Buruh Indonesia hantar pulang wang RM5.27b


JAKARTA 1 Nov. — Pekerja Indonesia di Malaysia dilaporkan mengirim pulang wang ke tanah air berjumlah AS$1.7 bilion (RM5.27 bilion) pada suku ketiga tahun ini, menurut rekod Bank Indonesia (BI).

Angka itu mewakili lebih daripada separuh jumlah wang sebanyak AS$2.91 bilion (RM9.02 bilion) yang dikirim pulang oleh tenaga kerja Indonesia (TKI) yang bekerja di kawasan Asia Pasifik.

Jurucakap BI, Difi Johansyah berkata, kiriman wang oleh pekerja Indonesia di luar negara ke tanah air mencapai AS$5.05 bilion (RM15.65 bilion) atau kira-kira 43 trilion rupiah sepanjang suku ketiga tahun ini dan TKI yang bekerja di kawasan Asia membuat kiriman wang tertinggi berbanding kawasan lain.

''TKI di kawasan Asia Pasifik mengirim wang ke Indonesia mencapai AS$2.91 bilion. Ia jumlah terbesar dibandingkan kawasan lain," katanya kepada portal berita detik.com hari ini.

Beliau berkata, TKI yang bekerja di kawasan Asia Barat dan Afrika mengirim pulang wang berjumlah AS$2.01 bilion (RM6.23 bilion) dan daripada jumlah itu mereka yang bekerja di Arab Saudi menyumbang jumlah paling besar iaitu sebanyak AS$1.68 bilion (RM5.2 bilion). - BERNAMA

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Pihak berkuasa Bangkok ditekan kemarahan mangsa banjir


BANGKOK 1 Nov. - Pihak berkuasa Bangkok hari ini mendakwa mereka tidak dapat meredakan krisis banjir bagi setiap orang di ibu negara Thailand ini, sementara kemarahan dan penderitaan penduduk di kawasan yang ditenggelami air meningkat kerana tiada bantuan daripada kerajaan.

Walaupun kawasan tengah Bangkok sehingga kini terselamat daripada banjir, keadaan begitu genting di beberapa kawasan sekitarnya, di mana penduduk meluahkan kemarahan kerana rumah-rumah mereka dikorbankan untuk menyelamatkan bahagian tengah ibu negara.

Pihak berkuasa pusat dan tempatan berbalah berhubung setinggi mana pintu-pintu air di pinggir utara Bangkok patut dinaikkan bagi membolehkan air mengalir, kata Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra.

Katanya, beberapa kawasan lain di bandar raya ini, termasuk kawasan perindustrian, akan dilanda banjir jika terlalu banyak air dibenarkan mengalir.

"Seperti ahli politik lain, saya mengasihi rakyat tetapi kadang-kadang saya perlu bertegas dengan tuntutan golongan minoriti demi menjaga kepentingan majoriti, dan saya tidak boleh tunduk kepada setiap tuntutan," kata Sukhumbhand.

Pusat bandar Bangkok terselamat daripada banjir buruk selepas benteng di sepanjang Sungai Chao Phraya menghalang limpahan air semasa air pasang dari Teluk Siam pada hujung minggu lalu.

Bagaimanapun di daerah barat seperti Bang Phlat, hanya lima kilometer dari pusat bandar Bangkok, rumah-rumah rosak teruk dan jalan bertukar menjadi terusan air kotor, dan penduduk pula tidak mendapat bantuan pihak berkuasa.

"Saya mahu pihak kerajaan datang untuk membantu kami, kerana kami sudah meminta bantuan seperti bot, makanan, ubat-ubatan tetapi tidak menerima apa-apa," kata Pailin Sontana, 58, ketika meredah air keruh setinggi paras pinggang.

Namun jurucakap Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA), Jate Sopitpongstorn berkata, mereka tidak dapat membantu semua orang 'kerana penduduk enggan meninggalkan rumah mereka dan berpindah ke pusat perlindungan yang kami sediakan'.

"Kami mempunyai bilangan bot dan kenderaan tentera yang terhad dan tidak dapat pergi ke setiap jalan untuk mengagihkan bekalan makanan dan air tiga kali sehari," katanya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Al-Keib jadi PM sementara Libya


TRIPOLI 1 Nov. - Seorang ahli perniagaan, Abdul Raheem al-Keib dilantik sebagai Perdana Menteri kerajaan sementara Libya dalam satu undian oleh ahli Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), semalam.

Dilahirkan di Tripoli pada 1950, Abdul Raheem memperoleh 26 daripada 51 undian dan menewaskan empat calon, antaranya Menteri Hal Ehwal Minyak bagi kerajaan sementara Libya, Ali Tarhuni dan pesaing politik yang pernah dipenjarakan Muammar Gaddafi, Idriss Abu Fayed.

Abdul Raheem pernah mendapat pendidikan dalam bidang kejuruteraan elektrikal di Amerika Syarikat (AS) sekitar 1980-an dan menjadi tenaga akademik di Tripoli University serta bertugas di Institut Petroleum di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ketika berucap selepas pelantikan tersebut, beliau berikrar untuk mengutamakan hak asasi manusia dalam pentadbirannya.

''Kami memberi jaminan untuk membina sebuah negara yang menghormati hak kemanusiaan dan tidak akan menerima sebarang pencabulan hak terbabit.

''Namun, kami memerlukan masa,'' katanya.

Pemerhati politik melihat pelantikan Abdul Raheem 'melegakan' kebimbangan rakyat Libya berhubung kepimpinan negara itu selepas kematian Gaddafi dalam satu serangan baru-baru ini.

Beliau menggantikan Mahmoud Jibril yang berjanji meletak jawatan selepas berjaya mengisytiharkan pembebasan Libya.

Abdul Raheem berkata, pentadbirannya akan bekerjasama dengan pejuang NTC bagi memastikan kestabilan dan membebaskan Libya daripada konflik ketenteraan.

Menurutnya, Kabinet baru akan dibentuk dalam masa dua minggu ini. - AFP/REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Ribut salji di Amerika Syarikat ragut 12 nyawa



SEBUAH kenderaan bergerak melalui kawasan pokok tumbang yang menyebabkan sebuah kereta terperosok ke dalam longkang di Jalan Union Valley, West Milford, New Jersey, kelmarin. – REUTERS


NEW YORK 1 Nov. – Ribut salji yang melanda timur laut Amerika Syarikat (AS) sejak minggu lalu telah mengorbankan 12 nyawa dengan lebih 2 juta rumah masih terputus bekalan elektrik.

Pihak berkuasa berkata, daripada 12 angka korban itu, lima terbunuh di Pennsylvania, tiga di Massachusetts manakala masing-masing dua di Connecticut dan New Jersey.

Ribut salji yang jarang berlaku di kawasan itu juga menyebabkan beberapa lapangan terbang terpaksa ditutup termasuk di Hartford Connecticut.

Bagaimanapun, lapangan terbang di New York dan laluan kereta api yang menghubungkan Washington dan Boston beroperasi seperti biasa selepas terjejas teruk minggu lalu.

Di New Jersey, kira-kira 400,000 penduduk masih terputus bekalan elektrik.

Gabenor New Jersey, Chris Christie berkata, dijangka 95 peratus rumah di kawasannya akan memperoleh kembali bekalan elektrik hujung minggu ini.

Di utara Connecticut, Gabenor Dannel Malloy berkata, lebih 800,000 rumah masih bergelap ekoran gangguan bekalan elektrik dan ia akan dapat diselesaikan dalam beberapa hari lagi.

Katanya, beratus-ratus jalan raya terputus hubungan ekoran salji tebal dan ia merupakan ‘bencana’ terburuk dalam sejarah Connecticut.

‘‘Ramai penduduk terpaksa meninggalkan rumah masing-masing kerana tiada bekalan elektrik,’’ ujarnya.

Menurut Perkhidmatan Kaji Cuaca Negara, ribut salji terburuk melanda timur laut AS dengan salji setebal 80 sentimeter. – AFP/REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Tunisia keluarkan waran tangkap ke atas balu Yasser Arafat


TUNIS 1 Nov. - Pihak berkuasa Tunisia mengeluarkan waran tangkap antarabangsa terhadap balu Yasser Arafat, Suha sebagai sebahagian siasatan rasuah terhadap keluarga bekas Presiden Zine al-Abidine Ben Ali.

Suha Arafat pernah menghabiskan banyak masa di Tunisia dan selama bertahun-tahun menjalin hubungan erat dengan isteri Ben Ali, Leila Trabelsi.

"Tunisia mengeluarkan waran tangkap terhadap Suha kerana disyaki terlibat dalam kes-kes rasuah kewangan dengan keluarga isteri Ben Ali," kata jurucakap Kementerian Kehakiman, Shokri Nafti semalam.

Di Malta, Suha berkata, beliau belum menerima notis rasmi mengenai waran itu tetapi terkejut dengannya, sambil menyifatkan diri beliau sebagai mangsa rejim lama Tunisia.

"Saya belum diberitahu secara rasmi mengenai sebarang waran tetapi saya sangat terkejut kerana saya adalah mangsa pemerintahan diktator Tunisia dan kini saya pula menjadi tertuduh," katanya di laman web Malta, timesofmalta.com.

Keluarga Yasser Arafat menjalin hubungan dengan Tunisia semasa Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) berada dalam buangan dan mendirikan ibu pejabatnya di Tunis pada 1980-an dan awal 1990-an.

Berikutan kematian pemimpin veteran Palestin itu pada 2004, balunya mendapat pasport Tunisia dan kerap kelihatan di sisi Trabelsi, seorang bekas pendandan rambut yang ahli keluarganya kemudian menguasai sebahagian besar ekonomi negara ini.

Namun kerakyatan Tunisia yang diterima oleh Suha dilucutkan dan beliau diusir pada 2007 ekoran perbalahan dengan Trabelsi, dan beliau kini tinggal di Malta.

Tuduhan yang dihadapinya di Tunisia termasuk dakwaan rasuah melibatkan usaha sama beliau dengan Trabelsi dalam penubuhan sebuah Sekolah Antarabangsa Carthage di Tunis.

Kata Suha semalam, beliau memutuskan hubungan dengan sekolah itu pada 2007 dan memiliki dokumen untuk membuktikan beliau telah menjual semua sahamnya kepada anak saudara Trabelsi, Asma Mahjoub. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Lanun Somalia tawan 15 kapal



Seorang lanun Somalia lengkap bersenjata berjalan di tepi pantai dengan kapal kargo Greece, MV Filitsa berlabuh di perairan selepas ditawan lanun dalam gambar fail 7 Januari 2010. – AFP


NEW YORK 1 Nov. – Lanun Somalia kini dilaporkan menawan lebih 300 tebusan dan 15 kapal dan membangkitkan militan lain untuk menyerang kapal-kapal di beberapa bahagian lain di Afrika, kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Amaran itu dikeluarkan ketika Majlis Keselamatan PBB menyeru negara-negara Afrika Barat untuk meningkatkan rondaan tentera laut dan langkah-langkah lain untuk menentang kegiatan melanun.

Jurucakap kepada Setiausaha Agung PBB, Taye-Brook Zerihoun berkata, beberapa lanun Somalia turut melancarkan serangan berperingkat di Lautan Hindi serta semakin ganas.

Menurut angka terbaru daripada Organisasi Maritim Antarabangsa, lanun Somalia kini mempunyai 316 tebusan dan 15 kapal.

Beberapa kerajaan termasuk Britain kini sedang mempertimbangkan untuk meletakkan pengawal keselamatan swasta di atas kapal.

Tambahnya, PBB dan kerajaan semakin bimbang dengan hubungan antara lanun dengan militan al-Shebab yang kini bertindak memerangi kerajaan Somalia.

“Tindakan pihak antarabangsa menyebabkan kesan yang tidak diingini serta memaksa lanun Somalia menjalankan kegiatan di selatan termasuk kawasan-kawasan yang berada di bawah pengaruh Shebab.

“Hubungan yang semakin meningkat antara militan al-Shebab dengan lanun Somalia boleh berubah di mana mereka boleh mendorong serangan di beberapa tempat lain di laluan perkapalan dunia terutamanya di Teluk Guinea,” katanya.

Serangan di luar pantai Nigeria kini merebak ke Benin di mana sekurang-kurangnya 20 insiden kegiatan lanun berlaku pada tahun ini berbanding tiada pada tahun lepas, lapor industri perkapalan.

Benin dan Nigeria melancarkan rondaan tentera laut pada bulan lepas dan Perancis, Amerika Syarikat serta China turut menawarkan bantuan di Afrika Barat. – AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Doktor Jackson tidak hubungi 911 dengan segera


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Doktor peribadi Michael Jackson iaitu Conrad Murray sepatutnya menghubungi talian kecemasan 911 dengan segera apabila dia mendapati penyanyi berkenaan tidak bernafas, kata seorang saksi pembelaan pada Isnin lalu.

Saksi pembelaan tersebut, Dr. Paul White bertegas bahawa Jackson menyebabkan kematiannya sendiri dengan menyuntik ubat bius kuat, propofol ke dalam tubuhnya.

Namun, pakar perubatan tersebut mengaku tindakan Conrad adalah berisiko.

"Saya akan melakukan perkara yang berbeza dengan Conrad dalam aspek meminta pertolongan dan menghubungi 911," kata White yang berulang kali bertengkar dengan pendakwa raya, David Walgren di Mahkamah Tinggi Los Angeles.

Murray didakwa cuai dalam memberikan ubat bius propofol sehingga membawa kepada kematian Jackson.

Dia boleh dipenjarakan selama empat tahun jika didapati bersalah kerana membunuh tanpa sengaja.

Penyanyi bergelar raja pop itu meninggal dunia di kediaman sewanya di sini pada 25 Jun 2009 akibat kegagalan jantung ketika dia berusia 50 tahun.

- AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Saintis di China cipta protein dalam darah daripada beras


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Sekumpulan saintis di sebuah universiti di China semalam menyatakan mereka berjaya menghasilkan albumin daripada beras.

Albumin adalah sejenis protein yang ditemui dalam darah manusia yang digunakan untuk merawat kesan melecur, kejutan trauma dan penyakit hati.

"Apabila diekstrak daripada beras, protein yang dihasilkan adalah sama dengan albumin manusia (HSA) secara fizikal dan kimia," kata laporan penyelidikan berkenaan yang diterbitkan dalam jurnal AS,Proceedings of the National Academy of Sciences.

Penemuan tersebut merupakan kejayaan besar dalam pengeluaran HSA yang sebelum ini dihasilkan melalui bekalan darah manusia. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Saintis cipta robot memanjat seperti cicak



KOMBINASI gambar menunjukkan pergerakan robot yang boleh bergerak pada dinding tegak seperti cicak.


PARIS - Para saintis mencipta sebuah robot yang boleh memanjat dinding tegak tanpa menggunakan gam, lekapan dan cecair melekap.

Robot seberat 240 gram itu mempunyai tapak yang diliputi dengan mikrofiber kering yang direka berdasarkan bulu jari kaki cicak.

Cicak boleh bergerak di dinding kerana terdapat bulu terlalu halus yang dikenali sebagai setae.

Tapak robot itu dilengkapi dengan mikrofiber polimer yang selebar 0.017 milimeter (mm) dan setinggi 0.01mm.

Rambut manusia hanya setebal 0.1mm.

Robot itu memanjat 3.4 sentimeter pada setiap satu saat.

Penerangan mengenai robot itu dijelaskan dalam jurnal Britain, Smart Materials and Structure.

Menurut ketua penyelidik projek itu dari Universiti Simon Fraser di Burnaby, wilayah British Columbia di Kanada, Jeff Krahn, robot itu masih lagi dalam peringkat prototaip. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Model dipecat kerana puji keluarga Gaddafi



vanessa hessler


BERLIN - Sebuah syarikat Jerman telah membatalkan kontrak pengiklanan dengan model yang diketahui bukan sahaja pernah menjalin hubungan dengan Motassem, anak lelaki Muammar Gaddafi malah turut memuji keluarganya.

Firma telekomunikasi Jerman, Telefonica dan anak syarikatnya, Alice akan membatalkan kontrak dengan model berusia 23 tahun itu, Vanessa Hessler yang berketurunan Itali-Amerika serta menarik balik penggunaan wajahnya daripada laman web syarikat itu.

"Vanessa Hessler telah gagal untuk menjauhkan diri daripada komennya mengenai konflik di Libya," kata jurucakap syarikat itu, Albert Fetsch kelmarin.

Hessler telah menjadi model bagi syarikat tersebut selama beberapa tahun dan poster yang memaparkan model tersebut terdapat di kebanyakan bandar Jerman.

Hessler mengaku kepada sebuah majalah Itali, Diva e Donna bahawa dia pernah menjalinkan hubungan selama empat tahun dengan Motassem.

Motassem mati ditembak selepas ditangkap bersama bapanya pada 20 Oktober lalu di Sirte, Libya.

"Saya tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya (Motassem) sejak kebangkitan (penduduk Libya) berlaku, tetapi hubungan kami merupakan cinta yang mendalam," kata model yang juga aktres tersebut kepada majalah berkenaan. - AP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Dedah payudara di depan kediaman bekas ketua IMF



Reuters
SEBELUM mendedahkan payudara, tiga wanita itu memakai pakaian seperti amah di depan kediaman bekas Ketua Dana Kewangan Antarabangsa, Dominique Strauss-Kahn di Paris kelmarin.


PARIS - Tiga aktivis kumpulan pembela hak asasi wanita yang dikenali sebagai FEMEN bertindak mendedahkan payudara mereka di depan kediaman bekas Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn di sini kelmarin.

Sebelum mereka mendedahkan payudara masing-masing, ketiga-tiga wanita itu memakai pakaian amah.

Ketiga-tiga wanita itu melakukan perbuatan tersebut bagi membantah sikap Strauss-Kahn terhadap wanita.

Strauss-Kahn meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan IMF pada 18 Mei lalu selepas dia didakwa melakukan serangan seksual ke atas seorang wanita yang merupakan pekerja di sebuah hotel tempat dia menginap di New York.

Namun, dakwaan itu digugurkan oleh pendakwa raya kerana kekurangan bukti fizikal. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Pemaju roboh rumah pusaka



INILAH rumah pusaka Ghazali Ibrahim di Kampung Sungai Nibong Kechil, George Town sebelum dirobohkan.


GEORGE TOWN – Gara-gara gagal mendapat persetujuan, enam beradik terpaksa berputih mata apabila rumah pusaka milik keluarga yang berusia 80 tahun di Kampung Sungai Nibong Kechil dekat Jalan Tun Dr. Awang di sini diroboh pemaju semalam.

Operasi meroboh dijalankan berikutan notis pengusiran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau ke atas penghuni rumah tersebut ketika ini, Ghazali Ibrahim, 63, pada 14 Oktober lalu.

Rumah tersebut terpaksa dirobohkan kerana tanah tersebut kini diambil alih oleh Koperasi Tunas Muda Berhad untuk memajukan projek perumahan.

Rumah Ghazali paling akhir dirobohkan kerana rumah penghuni lain yang dibina di atas tanah yang sama sudah dirobohkan beberapa bulan lalu.

Peguam Koperasi Tunas Muda Berhad, Syamsul Jamil (gambar) berkata, tindakan mengusir penghuni dan meroboh rumah tersebut sepatutnya berkuat kuasa Ogos lalu tetapi ditangguhkan atas budi bicara pihak mahkamah dan pemaju.

Menurut beliau, pemilik rumah tersebut pernah ditawarkan pampasan sebagaimana ditetapkan oleh mahkamah tetapi ditolak.


RUMAH pusaka Ghazali dirobohkan dengan jentolak dalam masa yang singkat.


Kosmo! difahamkan pemaju menawarkan pampasan berjumlah RM42,000 kepada Ghazali.

“Operasi hari ini (semalam) adalah mengikut perintah mahkamah dan tindakan meroboh terpaksa diteruskan,” kata Syamsul kepada pemberita di sini semalam.

Sementara itu, adik Ghazali, Abd. Laziz, 61, berkata, dia kecewa kerana semua adik-beradik gagal mempertahankan rumah tersebut.

“Sekiranya abang saya (Ghazali) berbincang secara baik dengan pemaju, sudah tentu kami mendapat hak masing-masing (pampasan) yang setimpal.

“Sikap dia yang enggan berbincang dengan kami adik-beradik menjadikan masalah ini bertambah rumit sedangkan pemaju ada menawarkan sejumlah pampasan kepada pemilik rumah yang tanah mereka diambil,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin memberitahu, pihaknya berharap pemilik tanah dan pemaju masih dapat mempertimbangkan pampasan yang setimpal kepada keluarga terseb

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Fesyen daripada makanan



ROLAND TRETTL (kanan) membetulkan fesyen yang diperbuat daripada sotong pada tubuh seorang model di Muzium Komunikasi, Berlin pada Jumaat lalu.


BERLIN - Chef dan pereka makanan dari Tyrol Selatan, Roland Trettl mencipta fesyen diperbuat daripada makanan di Muzium Komunikasi di sini.

Muzium itu akan mempamerkan gambar model yang memakai fesyen ciptaan Trettl dan jurugambar Helge Kirchberger yang diperbuat daripada sayur-sayuran, sotong, bahagian dalaman haiwan dan makanan lain.

Pameran itu bermula dari 29 Oktober hingga 29 Januari tahun depan. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Rangkaian dadah hampir RM6.24 bilion ditumpas di AS



SEJUMLAH senjata api yang dirampas dalam operasi talian paip ekspres dipamerkan pada sidang akhbar di Phoenix, Arizona kelmarin.


PHOENIX - Pihak penguat kuasa undang-undang menangkap lebih 70 orang dalam beberapa serbuan ke atas satu rangkaian dadah heroin, kokain dan ganja yang disyaki menyeludup hampir AS$2 bilion (RM6.24 bilion) melalui gurun Arizona, Amerika Syarikat (AS), kata bebrapa pegawai kelmarin.

Rangkaian itu tumpas selepas siasatan melibatkan 17 bulan sehingga mengakibatkan satu siri serbuan.

Pihak perisikan yang terlibat dalam operasi talian paip ekspres mendapati rangkaian penyeludupan dadah tersebut mempunyai kaitan dengan sindiket dadah Sinaloa, Mexico yang beroperasi selama lima tahun.

Para pegawai menganggarkan bahawa sindiket itu menyeludup kira-kira AS$33 juta (RM102.97 juta) dadah di sempadan setiap bulan selama lima tahun termasuk 1.5 kilogram ganja, 9,000 kilogram (kg) kokain dan 4,500kg heroin.

Menurut para pegawai, rangkaian itu menggunakan kaedah pengangkutan seperti beg galas dan kenderaan kecil untuk menghantar dadah tersebut menerusi sempadan dengan Mexico.

Dadah itu disimpan di beberapa lokasi persembunyian di kawasan Phoenix sebelum ia dijual kepada para pengedar di seluruh AS.

- Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Penduduk Bangkok masih marah


BEBERAPA penduduk membuat halangan bagi menyekat banjir di Bangkok semalam.


BANGKOK - Pihak berkuasa Bangkok menegaskan semalam bahawa pihaknya tidak dapat mengurangkan kesan banjir untuk setiap penduduk semasa kemarahan kian meningkat di kawasan yang dilanda bah.

Walaupun beberapa kawasan di bandar raya ini kekal tidak dilanda banjir, situasi kritikal berlaku di beberapa daerah.

Kemarahan sebahagian penduduk itu berpunca daripada dakwaan bahawa kediaman mereka telah dikorbankan untuk menyelamatkan sebahagian lokasi di Bangkok.


SEORANG wanita mengimbangkan badannya semasa dia melalui pembahagi jalan yang tidak ditenggelami bah di Bangkok semalam.


Banjir paling teruk di Thailand dalam tempoh beberapa dekad lalu berlaku akibat musim hujan monsun yang bermula tiga bulan lalu.

Di beberapa daerah seperti Bang Phlat yang terletak lima kilometer dari bandar raya Bangkok, banyak rumah ditenggelami banjir dan jalan raya bertukar menjadi terusan air kotor manakala tiada bantuan rasmi diberikan kepada penduduk.

"Saya mahu kerajaan datang dan mengambil berat terhadap kami. Kami telah meminta pertolongan tetapi tiada seorang pun yang datang.

"Kami meminta bot, makanan, perubatan, tetapi tiada," kata seorang penduduk, Pailin Sontana yang kecewa dengan keadaan itu. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'