Pages

Friday, March 25, 2011

Ambil kesempatan di bumi bergolak




HAMPIR setiap siri peperangan di negara asing akan diketuai AS menguatkan lagi keangkuhannya dengan gelaran Polis Dunia.


TATKALA kesengsaraan dihadapi rakyat Jepun yang dilanda ombak besar tsunami dan gempa bumi masih segar dalam ingatan masyarakat dunia, masyarakat antarabangsa dikejutkan pula dengan petaka baru iaitu peperangan di Libya.
Amerika Syarikat (AS) dengan gelaran 'Polis Dunia' bersama sekutunya melancarkan serangan bertali arus ke atas Libya dalam usaha menjatuhkan Presidennya, Muammar Gaddafi.
Senario tersebut bukanlah kali pertama menyaksikan Polis Dunia itu bertindak sebagai 'pengaman' dalam usaha memastikan keamanan dunia dan negara diserang hidup bebas daripada pemerintah kuku besi.
Antara beberapa negara lain yang pernah menyaksikan AS dan sekutunya bertindak sebagai Polis Dunia termasuklah Jepun, Vietnam, Afghanistan, Iraq dan banyak lagi.
Serangan ke atas Libya mula dilakukan pada 18 Mac lalu, selepas Polis Dunia mendapat tiket daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan sokongan Liga Arab yang meluluskan resolusi tindakan ketenteraan bagi menghalang Gaddafi membunuh rakyatnya yang memberontak.
Resolusi yang diluluskan dengan sokongan AS, Perancis dan Britain itu turut membabitkan penguatkuasaan zon larangan terbang ke atas Libya dan membenarkan penggunaan tentera darat bagi melindungi orang awam daripada tentera Gaddafi.

AS dan sekutunya berjaya menjatuhkan dan membunuh Presiden Saddam dalam serangan pada tahun 2003.


Perbelanjaan perang AS
Campur tangan Barat terbesar di dunia Arab sejak serangan AS dan sekutunya ke atas Iraq pada 2003 itu telah mengakibatkan Libya dibedil secara besar-besaran melalui laut dan udara untuk melumpuhkan pentadbiran Gaddafi.
Bagaimanapun, kerakusan tentera bersekutu dalam menyerang Libya terutama AS bakal menyaksikan operasi serangan mencecah sehingga berbilion ringgit dan memerlukan Pentagon memohon dana kecemasan daripada Kongres.
Pada hari pertama Operasi Odyssey Dawn, AS membelanjakan lebih AS$100 juta (RM303 juta) hanya untuk peluru berpandu yang dilancarkan di Libya.
Tentera AS yang mengetuai serangan tersebut turut mengepam jutaan ringgit lagi untuk melumpuhkan tapak pertahanan udara dan darat di pesisir pantai Libya.
Jurucakap Pentagon bagaimanapun menjelaskan, mereka tidak boleh menganggarkan kos secara rasmi sehingga kini. Pentadbiran Barack Obama mengatakan operasi yang dilancarkan di Libya menggunakan peruntukan sedia ada iaitu peruntukan perbelanjaan peperangan AS$150 juta (RM454 juta).
"Kami tidak bercadang memohon peruntukan tambahan buat masa ini," kata jurucakap Pejabat Pengurusan dan Belanjawan, Kenneth Baer.
Bagaimanapun, Pentagon mungkin terpaksa meminta Kongres untuk menambah peruntukan kewangan mereka satu masa nanti. Beberapa penggubal undang-undang juga berpendapat, AS tidak mampu untuk campur tangan di Libya.
"Bukan sahaja serangan ketenteraan di Libya tidak mendapat kelulusan Kongres seperti mana termaktub dalam perlembagaan AS tetapi, melibatkan kos yang tinggi," kata ahli Kongres Parti Republikan yang mewakili negeri Michigan, Justin Amash.



"Kita tidak perlu membazir wang yang sememangnya tiada untuk sesuatu peperangan tidak diperlukan," katanya.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Pusat Strategik dan Taksiran Belanjawan, Zack Cooper, berkata, perbelanjaan penguatkuasaan zon larangan terbang sahaja boleh mencecah sehingga AS$800 juta dan AS$100 juta (RM302 juta) lagi untuk mengekalkannya.
"Kos semakin meningkat. Harga bagi menggantikan jet pejuang yang terhempas Selasa lalu dengan model terbaru lebih canggih boleh mencecah sehingga jutaan ringgit.
"Bahkan, harga bahan api setiap kali jet pejuang ke udara menelan kos sebanyak AS$10,000 (RM30,280) bagi setiap jam penerbangan," kata Cooper.
Askar AS di bumi asing
Menyingkap kembali sejarah negara kuasa besar yang bertindak sebagai Polis Dunia, dahulunya tugas tersebut lebih dahulu dipimpin Britain yang mengepalai Kuasa Berikat yang turut dianggotai Perancis, Rusia, China dan Amerika Syarikat.
Bahkan, semasa Perang Dunia Pertama pada tahun 1914, pada asalnya AS mahu kekal sebagai negara neutral. Hanya dalam Perang Dunia Kedua yang tercetus pada 1939, AS mula melibatkan diri secara aktif Kuasa Berikat untuk berperang dengan Kuasa Paksi yang terdiri daripada Jerman, Jepun dan Itali.
Perang Dunia Kedua menjadi antara peperangan yang paling memakan belanja paling tinggi kepada AS. Pada tahun 1942, AS menghantar jutaan anggota tentera dan ribuan pesawat perang dan kereta kebal ke Britain. Bagaimanapun, dua peristiwa yang tidak mungkin dilupakan sejarah, apabila tindakan Jepun membedil Pearl Harbor, membangkitkan kemarahan AS yang kemudian membalas dengan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki.
Taring AS sebagai Polis Dunia selepas itu semakin menjadi-jadi. Antara peperangan besar yang diketuai AS di bumi asing termasuklah dalam Perang Vietnam yang berlangsung di antara tahun 1957 hingga 1975.

MESKIPUN tidak mendapat sokongan sekutu rapatnya Britain, AS tetap melancarkan serangan ke bumi Vietnam pada tahun 1957.


Dalam peperangan itu, AS mengetuai negara lain seperti Australia, New Zealand, Thailand, Korea Selatan dan Filipina. Menariknya, sekutu AS, Britain dan Kanada menolak untuk bersama dalam perang tersebut.
Selepas lebih 57,000 orang terbunuh AS dan sekutunya keluar dari Vietnam pada tahun 1973 tanpa kemenangan yang jelas. Ia antara perang yang telah memalukan AS di mata antarabangsa.
Konflik Perang Teluk pada tahun 1990 menyaksikan penglibatan besar-besaran AS apabila mengepalai 34 buah negara untuk berperang dengan Iraq.
Ketika itu, dunia mahu menyelamatkan Kuwait yang diserang pasukan Iraq.
Beberapa tahun selepas itu, kemarahan AS nampaknya tidak surut ke atas Iraq atau lebih tepat lagi Presidennya, Saddam Hussein. Menggempur Iraq buat kali kedua pada tahun 2003, AS bukan sahaja berjaya menumbangkan Saddam bahkan, menamatkan riwayat presiden itu.
Yang pasti, dengan rekod 'cemerlang' AS sebagai Polis Dunia, nampaknya negara itu akan terus angkuh memikul tanggungjawab itu. Persoalannya, sejauh manakah ikhlasnya AS sebagai Polis Dunia?
-kosmo

Sekurang-kurang 25 terbunuh dalam kejadian gempa di Myanmar


25/03/2011 10:59am


YANGON 25 Mac - Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh apabila gempa kuat 6.8 skala richter menggoncang Myanmar di kawasan berhampiran sempadan Thailand.
Gegarannya itu dapat dirasakan sehingga ke Bangkok yang terletak hampir 800 kilometer.
Pihak berkuasa Myanmar menyatakan banyak mangsa terkorban di bandar Tarlay iaitu 10 lelaki, seorang kanak-kanak dan 13 orang wanita. - AFP

Mangsa banjir bertambah


Oleh ANI AWANG


IPOH 24 Mac - Jumlah mangsa banjir di daerah Kerian meningkat kepada 359 orang hari ini berbanding 340 orang semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Fauzi Mat Nayan berkata, kesemua mangsa masih berada di lima pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu, SK Bukit Merah dan Dewan Orang Ramai di Alor Pongsu, Dewan Batu 38 Parit Abu Hasan serta Dewan Batu 40 Bukit Merah.
Katanya, mangsa terlibat terdiri daripada 168 penduduk di Kampung Alor Setanggok, Batu 37/38 Jalan Keretapi (48 orang), Kampung Parit Ban Abu Hasan (46), Kampung Parit Abu Hasan (31).
Kampung lain ialah Batu 40 Bukit Merah dengan 44 orang, Parit Mat Keling (4), Kampung Perlis (2), Kampung Tebuk Pancur (8) dan Kampung Parit Ayer Hitam lapan orang.
"Kampung terlibat dinaiki air sedalam 0.5 meter hingga satu meter berikutan air dari empangan Bukit Merah yang dilepaskan akibat hujan lebat sejak empat hari lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Fauzi berkata, jalan raya di Batu 38 Jalan Alor Pongsu-Selama masih ditutup kepada kenderaan ringan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Chong Phaik Kee berkata, semua cuti kakitangan JKM di daerah yang dilanda banjir telah dibekukan berkuat kuasa serta merta bagi membolehkan semua urusan berkaitan berjalan lancar.
"Kita telah memberikan bantuan awal seperti makanan dan selimut kepada mangsa yang dipindahkan di pusat-pusat pemindahan banjir," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan mengenai kerugian yang dialami mangsa akibat kejadian banjir itu.

Tentera Amerika dipenjara 24 tahun



TACOMA Washington 24 Mac - Seorang daripada lima orang tentera Amerika Syarikat (AS) yang mula dibicarakan atas dakwaan membunuh lima orang awam Afghanistan yag tidak bersenjata pada tahun lalu dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun selepas mengaku bersalah atas ketiga-tiga pembunuhan terancang itu.
Akuan bersalah dan hukuman yang dijatuhkan ke atas Jeremy Morlock, 23, dari Wasilla, Alaska itu menanda satu titik perubahan dalam satu tuduhan paling serius yang dilakukan oleh tentera AS dalam tempoh 10 tahun peperangan di Afghanistan.
Majalah German, Der Spiegel minggu ini menyiarkan beberapa gambar berkaitan pembunuhan itu dan salah satu gambar menunjukkan Morlock membongkok dan tersenyum lebar di sisi mayat yang berdarah sambil mengangkat kepala mangsa itu.
Hakim ketenteraan yang mengetuai kes itu, Leftenan Colonel Kwasi Hawk, menerima pengakuan bersalah Morlock di Kem Bersama Lewis-McChord berdekatan Tacoma dan menjatuhkan hukuman penjara selama 24 tahun ke atas Morlock.
Hakim turut mengarahkan tempoh hukuman penjara ke atasnya dikurangkan hampir setahun setelah mengambil kira tempoh dia ditahan sejak menghadapi tuduhan itu selain layak untuk parol dalam tempoh tujuh tahun.
Morlock yang turut dilucutkan jawatan dalam tentera dalam keadaan mengaibkan berdiri senyap ketika hakim mengumumkan hukuman ke atasnya dan tidak menunjukkan sebarang reaksi berhubung hukuman tersebut.
Di awal perbicaraan, dia telah membaca kenyataan meminta maaf kepada keluarga mangsa terbabit dan rakyat Afghanistan dengan menyatakan dia hilang pedoman.
Dalam akuan bersumpahnya ketika perbicaraan, Morlock mengaitkan empat orang lagi tentera daripada unit infantrinya yang digelar 'pasukan membunuh' dan bersetuju untuk memberi keterangan terhadap mereka jika dipanggil untuk menjadi saksi apabila kes mereka dibicarakan di mahkamah tentera nanti. - Reuters

Seoul lancar latihan menembak




Helikopter Korea Selatan jenis AH-1S Cobra melepaskan tembakan daripada mesingan dalam latihan menembak besar-besaran di Pocheon, 65 kilometer ke timur laut Seoul, semalam. - AFP


SEOUL 24 Mac - Korea Selatan hari ini melancarkan latihan tembakan peluru hidup secara besar-besaran berhampiran dengan sempadan Korea Utara, sempena ulang tahun pertama tenggelamnya kapal perang Cheonan miliknya bersama 46 krewnya.
Menurut Kementerian Pertahanan, kereta kebal, kenderaan pengangkut senjata, meriam, helikopter dan jet pejuang mengambil bahagian dalam latihan itu di Pocheon, 30 kilometer ke selatan sempadan.
Latihan itu diadakan sehari selepas tentera Korea Utara mengancam untuk bertindak balas kepada rancangan penyebaran risalah oleh aktivis antiPyongyang berhampiran pertikaian sempada, Laut Kuning.
Korea Selatan turut mengadakan latihan di laut selama seminggu yang bermula Isnin lalu sebagai mengingati peristiwa kapal perang Cheonan yang karam pada 26 Mac tahun lalu yang didakwa terkena peluru berpandu Korea Utara.
Latihan itu termasuk tiga hari latihan kapal perang dan jet pejuang bermula esok, simulasi serangan oleh kapal selam, kapal laut dan jet pejuang Pyongyang.
Latihan tembakan besar-besaran oleh tentera laut akan diadakan Sabtu ini di tiga lokasi di luar semenanjung Korea.
Seoul yang secara teknikalnya masih berperang dengan Korea Utara sejak konflik 60 tahun lalu memberitahu bahawa latihan itu diadakan sebagai tindakan mempertahankan diri.
Ketegangan antara kedua-dua negara berjiran ini meningkat sejak Pyongyang membedil pulau Yeonpyeong pada 23 November lalu menyebabkan empat rakyat Korea Selatan terbunuh.
Korea Selatan hari ini turut melancarkan kapal pemusnah ketiga yang dilengkapi radar berteknologi tinggi Aegis serta sistem kawalan senjata.
Menurut tentera laut, senjata pemusnah KDX-III dikenali sebagai Seoae Ryu Seong- ryong itu akan mula digunakan pada Mac tahun depan selepas operasi ujian selama setahun.
KDX III sepanjang 166 meter itu boleh membawa 120 peluru berpandu dan torpedo pada sistem pelancar tegaknya, lapor agensi berita Yonhap. - AFP

Abu Bakar Bashir nafi tahu komplot



JAKARTA 24 Mac - Guru agama radikal Indonesia, Abu Bakar Bashir menafikan beliau mengetahui mengenai rancangan untuk menggulingkan kerajaan, selepas beliau dinamakan sebagai majlis penasihat dalam barisan Kabinet alternatif yang didraf oleh Forum Masyarakat Islam (FUI).
Abu Bakar berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai pergerakan yang dikenali sebagai Majlis Revolusi Islam atau rancangan rampasan kuasa itu.
"Saya tidak menentang Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. Beliau boleh memerintah negara ini selagi Indonesia berpegang kepada undang-undang Islam," kata Abu Bakar menjelang pendengaran kes beliau di Mahkamah hari ini kepada Jakarta Post. - AGENSI

Presiden Yemen sedia letak jawatan



SANAA 24 Mac - Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh semalam mengumumkan kesediaannya untuk meletak jawatan menjelang akhir tahun ini bagi meredakan pemberontakan, tetapi tawarannya itu tidak diendahkan oleh kumpulan pembangkang.
"Pada saat bersejarah ini, Yemen memerlukan kebijaksanaan untuk mengelak keganasan berterusan yang akan menyebabkan negara berhadapan keadaan berbahaya," kata Saleh dalam surat yang diserahkan kepada kumpulan pembangkang.
Kumpulan pembangkang yang awal semalam menyeru protes besar-besaran diadakan esok untuk memaksa Saleh berundur memberitahu, mereka sedang meneliti tawaran itu.
Protes berminggu-minggu menentang pemerintahan Saleh selama 32 tahun meningkatkan kebimbangan negara-negara Barat berhubung masa depan negara ini, tempat di mana al-Qaeda berkubu. - REUTERS

Radiasi: Singapura haramkan produk makanan dari Jepun



25/03/2011 2:28am

SINGAPURA 25 Mac – Pihak berkuasa Makanan Pertanian dan Veterinar Singapura (AVA) telah menggantung pengimportan susu dan produk susu, buah-buahan dan sayuran, makanan laut serta daging dari wilayah Fukushima, Ibaraki, Tochigi dan Gunma di Jepun.
“Tindakan berkuat kuasa serta merta itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga berikutan perkembangan terbaru di Jepun,” kata AVA dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihaknya telah menerima maklumat dari Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun bahawa mereka telah mengesan tahap radioaktif yang tinggi dalam produk susu mentah dan sayur-sayuran dari wilayah berkenaan. - Agensi

Stefani hulur AS$1j



Gwen Stefani


LOS ANGELES 24 Mac – Penyanyi Gwen Stefani menyumbang sebanyak AS$1 juta (RM3 juta) kepada Tabung Kecemasan untuk Kanak-kanak Gempa Bumi-Tsunami Jepun bagi membantu mengurangkan penderitaan dan memulihkan semangat mereka.
“Selama ini saya diilhamkan oleh Jepun, mencintai negara itu serta menghargai dan menghormati rakyat serta budaya negara matahari terbit itu. Bencana yang melanda Jepun menyedihkan saya dan saya mahu melakukan sedaya mungkin untuk membantu mereka,” katanya.
Menurut Stefani, dia tidak akan berjaya seperti sekarang tanpa sokongan peminat.
Sementara itu, edisi terhad baju-T Harajuku Lovers yang direka oleh Stefani boleh diperolehi bermula minggu depan melalui www.nodoubt.com dengan hasil penjualannya akan disalurkan bagi usaha bantuan di Jepun.
Lelongan amal akan turut diadakan dengan peminat boleh membida untuk menyertai penyanyi itu pada majlis khas di Los Angeles bagi meningkatkan bantuan untuk dana itu. – REUTERS

Tiga pekerja loji nuklear cedera


TOKYO 24 Mac - Tiga pekerja yang sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan di reaktor Daiichi di loji jana kuasa Fukushima hari ini cedera selepas terdedah kepada radiasi tinggi.

Jurucakap Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri Jepun (NISA), Fumio Matsuda berkata, dua daripada mereka telah dikejarkan ke hospital selepas cedera semasa memasang kabel elektrik di reaktor No. 3 di loji tersebut.
"Dua daripada mereka dimasukkan ke wad selepas didapati terdedah kepada radiasi setinggi 170 hingga 180 millisievert," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Australia, Kanada dan Singapura hari ini menghentikan import makanan dari Jepun, selepas wap panas radioaktif tersebar dari loji nuklear di Fukushima dan meningkatkan kebimbangan di Tokyo.
Australia mengarahkan import makanan dari empat daerah berhampiran loji jana kuasa di timur laut Tokyo itu dihentikan termasuk rumpai laut, makanan laut, susu, produk tenusu, buah-buahan segar dan sayur-sayuran.
Singapura turut menggantung import produk tenusu dan makanan lain dari daerah Fukushima, Gunma, Ibaraki dan Tochigi, sementara Kanada memperketat kawalan import produk makanan dari kawasan sama.
Di loji jana kuasa Fukushima, juruteknik berjaya memulihkan bekalan elektrik di bilik kawalan reaktor No. 1, walaupun wap panas berwarna putih dilihat keluar dari empat reaktor loji tersebut.
Perkembangan baru itu membolehkan pekerja menggunakan dua bilik kawalan utama di reaktor No.1 dan No. 3 yang terpaksa diabaikan sebelum ini selepas beberapa siri letupan selain masalah pembebasan radiasi yang berlaku. - AFP/AP

Angka korban tsunami di Jepun mencapai 9,800 orang



25/03/2011 2:48am

TOKYO 25 Mac - Sejumlah lebih 9,800 mangsa terkorban manakala 17,500 lagi masih hilang dalam bencana tsunami di Jepun, menurut laporan pihak polis yang dikeluarkan hari ini.
Seorang jurucakap polis dari daerah Miyagi yang terjejas teruk berkata, anggaran jumlah kematian akan meningkat sehingga 15,000 orang di kawasan itu sahaja. - Agensi

Tentera Bersekutu terus serang Libya



Seorang pemberontak bersenjata mengawal askar-askar upahan dan tentera yang setia kepada Gaddafi selepas mereka ditahan di sebuah penjara di Benghazi, semalam. – REUTERS


TRIPOLI 24 Mac – Letupan dan bedilan anti-pesawat menyelubungi ibu negara Libya hari ini ketika Tentera Bersekutu meneruskan serangan udara ke atas tentera Muammar Gaddafi, masuk hari keenam berturut-turut.
Pegawai Britain mendakwa tentera udara Libya kini hampir musnah.
Menurut wartawan AFP, bedilan anti-pesawat bermula pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari waktu Malaysia diikuti bunyi letupan kuat.
Ketika armada kapal-kapal Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meronda perairan Libya untuk melaksanakan embargo senjata ke atas Gaddafi, usaha baru untuk melancarkan operasi tentera gagal selepas beberapa hari berlangsung perdebatan sengit.
Seorang diplomat NATO berkata, 28 negara bersekutu akan mencuba sekali lagi hari ini untuk mencapai keputusan sama ada NATO perlu terlibat dalam operasi ketenteraan yang dilancarkan sejak Sabtu lalu oleh Britain, Perancis dan Amerika Syarikat (AS).
Namun, negara-negara terlibat telah mula mencatat kejayaan dalam operasi tersebut dengan Naib Marshal Udara Britain, Greg Bagwell mendakwa tentera udara Libya kini hampir dimusnahkan dan tidak lama lagi akan berkubur.
Pegawai AS secara terbuka turut membuat spekulasi bahawa tekanan berterusan akan memaksa Gaddafi berundur selepas empat dekad memerintah.
Saksi melaporkan, letupan kuat berlaku malam tadi di pangkalan tentera di Tajura, kira-kira 32 kilometer ke timur Tripoli, sementara bedilan anti-pesawat kedengaran ketika serangan udara dilancarkan ke atas ibu negara Libya ini.
Agensi berita rasmi JANA melaporkan, serangan udara di Tajura mengorbankan ‘sejumlah besar’ penduduk awam.
Menurut JANA, Tajura menjadi sasaran serangan sebanyak tiga kali dengan serangan ketiga terkena pasukan penyelamat yang cuba memindahkan mangsa yang terbunuh dan cedera dari sisa runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan pertama dan kedua.
Dakwaan itu, bagaimanapun tidak disahkan oleh mana-mana kumpulan bebas.
Tajura adalah pangkalan tentera Libya yang penting dan telah menjadi sasaran tentera bersekutu sejak serangan pertama.
Walaupun kesudahan krisis di Libya ini masih tidak jelas, Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates yang kini dalam lawatan di Kaherah berkata, tekanan ke atas rejim Gaddafi dapat menggalakkan sekutu pemimpin itu atau anggota keluarganya meninggalkannya.
Tentera AS berkata, tentera Gaddafi yang mengancam bandar-bandar yang dikuasai pemberontak kini menjadi sasaran serangan udara mereka. – AFP

Jet pejuang Perancis tembak jatuh pesawat tentera Libya



25/03/2011 2:49am

PARIS 25 Mac - Sebuah jet pejuang Perancis telah menembak jatuh sebuah pesawat tentera Libya dengan peluru berpandu di pangkalan udara Misrata di barat Libya semalam, kata pasukan bersenjata Perancis.
“Pesawat Perancis itu melakukan serangan senjata udara-ke-darat (AASM) setelah pesawat tersebut mendarat di pangkalan udara Misrata,” kata jurucakap dalam satu kenyataannya. - Reuters

Gegaran gempa bumi di Myanmar turut dirasai di Thailand


25/03/2011 3:29am


BANGKOK 25 Mac - Thailand merasai sedikit gegaran berikutan kejadian gempa bumi dengan kekuatan 6.8 pada skala Richter melanda Myanmar malam tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Meteorologi Thailand, Somchai Baimuang berkata, penduduk di wilayah utara di Chiang Rai, Chiang Mai, Nam dan Bangkok turut merasai kesan daripada gempa bumi pada pukul 8.55 malam waktu tempatan.
“Jangan panik dan tiada gempa bumi di Thailand dan tiada amaran tsunami dikeluarkan,” katanya.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik melaporkan kejadian gempa bumi di Myanmar berlaku jauh di pendalaman dan tidak mencetuskan ombak tsunami. - Bernama
-utusan

Dua korban gempa bumi 6.8 skala Richter di Myanmar



25/03/2011 2:28am

YANGON 25 Mac - Gempa sekuat 6.8 skala Richter yang melanda Myanmar berhampiran sempadan Thailand lewat malam tadi meragut dua nyawa termasuk seorang kanak-kanak.
Gegaran tersebut dirasai sehingga ke Bangkok iaitu sejauh 800 kilometer di bahagian selatan pusat gempa Naypyidaw, di ibukota Hanoi.
Gempa tersebut pada awalnya diletakkan sekuat 7.0 skala Richter oleh Pertubuhan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), sebelum disemak semula menjadi 6.8 skala Richter. - AFP
-utusan

Kumpulan mafia bantu mangsa gempa, tsunami


2011/03/25

TOKYO: Kumpulan mafia Jepun turut membantu ketika negara itu mengalami saat genting akibat gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu apabila turut melakukan tugas sivik yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal. 

Sehari selepas gempa bumi, Inagawa-kai (kumpulan penjenayah terancang ketiga terbesar di Jepun yang diasaskan pada 1948) menghantar 25 trak empat tan dipenuhi lampin pakai buang, mee segera ramen, bateri, lampu picit, minuman dan keperluan harian ke kawasan Tohoku.
Seorang anggota Sumiyoshi-kai, kumpulan penjenayah kedua terbesar pula menawarkan perlindungan kepada warga asing.
Yamaguchi-gumi, kumpulan jenayah terbesar Jepun di bawah kepimpinan Tadashi Irie, juga membuka pejabatnya di seluruh negara kepada orang awam dan menghantar trak dipenuhi bekalan, namun secara senyap-senyap. 

Antara tengah malam 12 Mac dan awal pagi 13 Mac lalu, ahli Inagawa-kai di sini menghantar 50 tan bekalan ke Dewan Bandaraya Hitachinaka di daerah Ibaraki. 

Bekalan termasuk mee cawan ramen, tauge, lampin pakai buang, teh dan air minuman. Perjalanan dari bandar ini mengambil masa 12 jam. Anggota Inagawa-kai di Kanagawa pula menghantar 70 trak ke kawasan Ibaraki dan Fukushima untuk menghantar bekalan di kawasan paras tinggi radiasi. 

Secara keseluruhan, Inagawa-kai menggerakkan lebih 100 tan bekalan ke rantau Tohoku. Mereka ke kawasan terdedah radiasi tanpa sebarang perlindungan atau memakan pil potassium iodida. 
Anggota Yamaguchi-gumi yang mana penulis temui berkata: “Tolong jangan kata apa-apa lagi berkenaan apa yang kami lakukan.” 

Bagi mereka yang tidak begitu mengenali yakuza, ia mungkin mengejutkan untuk mendengar sifat dermawan mereka, namun ini bukan kali pertama mereka menunjukkan semangat kemanusiaan. 

Pada 1995 selepas gempa bumi Kobe, Yamaguchi-gumi paling aktif menyalurkan bekalan ke kawasan terjejas. 

Mereka mengakui bekalan itu dibayar dengan wang hasil memeras penduduk di kawasan itu namun tiada siapa mampu nafikan mereka pantas apabila penduduk memerlukan bantuan. 

Mungkin membingungkan bahawa yakuza, yang juga kumpulan penjenayah terancang, mendapatkan hasil daripada aktiviti haram seperti mengumpul wang perlindungan, mengugut, memeras dan penipuan, memiliki sifat sivik semula jadi. 

Bagaimanapun, di Jepun sejak selepas perang mereka sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan. – Agensi 

Radiasi makin tersebar jauh





2011/03/25

PIHAK berkuasa membekalkan air mineral selepas radiasi dikesan dalam air  di Tokyo yang membahayakan kanak-kanak. - Foto AP
PIHAK berkuasa membekalkan air mineral selepas radiasi dikesan dalam air di Tokyo yang membahayakan kanak-kanak. - Foto AP
Radioaktif dikesan kota sebelah Tokyo, tiga lagi bandar AS dan Iceland

TOKYO: Ancaman bahan radioaktif berpunca daripada pelepasan radiasi di loji nuklear Fukushima semakin naik selepas tahapnya meningkat di Saitama, bandar bersebelahan Tokyo selain dikesan di beberapa negeri Amerika Syarikat dan juga Eropah. 

Di Saitama, tahap radiasi dikesan lebih tinggi dalam sistem pembersihan air di daerah Kawaguchi, dan tidak selamat untuk kanak-kanak.
Pihak berkuasa Kawaguchi mendapati tahap radiasi iodin radioaktif mencapai 120 becquerel, sedikit tinggi daripada paras selamat.
Kelmarin, iodin radioaktif di Tokyo mencapai 210 becquerel di sebuah loji pembersihan air menyebabkan pihak berkuasa menyarankan penduduk tidak memberi air paip untuk diminum kanak-kanak. 

Selain itu, pencemaran radiasi juga dikesan di tiga lagi negeri Amerika iaitu Colorado, Oregon dan Hawaii tetapi pihak berkuasa menegaskan ia dalam kadar yang kecil dan membahayakan keselamatan awam. 

Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) mendedahkan kehadiran radiasi itu tetapi menekankan kadarnya kecil dan terlalu rendah untuk memberi masalah. 

Di Oregon, radiasi iodin-131 juga dikesan agensi berkenaan manakala di Hawaii ia dikesan sehari sebelumnya. Radiasi itu dipercayai dari Fukushima. Sebelum ini, Washington dan California melaporkan pencemaran berkenaan. 
Di Vienna, radiasi juga dilaporkan sudah tiba di Iceland dan dijangka sampai ke Perancis dan negara Eropah lain tidak lama lagi. 

Pihak Berkuasa Keselamatan Iceland mengesahkan bahan radioaktif iodin-131 dikesan tetapi masih pada paras terlalu rendah. 

Loji nuklear Fukushima rosak dan melepaskan radiasi sejak dilanda gempa 9 skala Richter dan tsunami yang melanda selepas itu pada 11 Mac lalu. 

Usaha menyejukkan loji nukklear itu belum berjaya selepas diganggu letupan, kebakaran dan kebimbangan mengenai radiasi. 

Terbaru, tiga pekerja di loji itu terdedah kepada radiasi 180 millisievert dan dibawa ke hospital, kata Fumio Matsuda, jurucakap Agensi Keselamatan Industri dan Nuklear (NISA). 

Lebih 20 orang cedera dalam operasi untuk menyejukkan reaktor nuklear Fukushima. 
Laporan menyatakan, radiasi sudah menyerap masuk produk tenusu termasuk susu mentah, air laut dan 11 jenis sayur termasuk brokoli yang ditanam dekat lokasi berkenaan. 

Lebih 70,000 penduduk sudah dipindahkan dari kawasan 20 kilometer ke loji itu dan 130,000 berada di kawasan 10 kilometer lagi serta dinasihatkan tidak keluar rumah. – Agensi
bharian

Syria terus tegang


2011/03/25

37 lagi maut ditembak anggota keselamatan

DERAA: Polis Syria melancarkan serangan tanpa henti ke atas sebuah kawasan yang melindungi penunjuk perasaan antikerajaan, menembak mati sekurang-kurangnya 37 orang dalam satu operasi sebelum fajar. 

Anggota keselamatan melepaskan tembakan ke arah beratus-ratus belia di utara pintu masuk ke Deraa menjadikan 43 orang awam terbunuh sejak Jumaat lalu.
“Kami menerima semua mayat itu pada 5 petang semalam. Semuanya ada kesan ditembak,” kata seorang pegawai hospital. Kelmarin, enam terkorban dalam serangan di masjid al-Omari selepas penunjuk perasaan berarak di jalanan menggesa pembaharuan dan kebebasan berpolitik, kata saksi.
Seorang aktivis yang berhubung dengan penduduk di sini berkata, polis menembak tiga lagi yang membantah di pusat bandar era Roman itu selepas matahari terbenam. Enam lagi mayat ditemui kemudian, kata aktivis. 

Protes dipercayai daripada gelombang bantahan prodemokrasi di seluruh rantau Arab ketika ini. Anggota keselamatan bertindak melepaskan meriam air, gas pemedih mata, peluru getah dan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan. 

Ketika mangsa yang maut meningkat, penduduk dari perkampungan berhampiran iaitu Inkhil, Jasim, Khirbet Gazaleh dan al-Harrah cuba berarak ke sini malam kelmarin, namun ditembak anggota keselamatan. 
Aktivis demokrasi menggunakan laman web sosial menggesa demonstrasi besar-besaran di seluruh negara hari ini, hari yang mereka gelar ‘Jumaat Bermaruah.’ 

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Mark Toner, berkata Washington terkejut dengan keganasan dan ‘amat bimbang penggunaan kekerasan oleh kerajaan Syria, penindasan dan penahanan tanpa undang-undang bagi menghalang keupayaan rakyat melahirkan harapan mereka.’ 

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Syria berpusat di London melaporkan dalam laman webnya memetik sumber di sini bahawa pihak berkuasa Syria menembak dan membunuh anggota tentera Khaled al-Masri kerana enggan mematuhi arahan mengambil bahagian dalam serbuan di masjid al-Omari. 

Televisyen tempatan menuduh sekumpulan ‘samseng bersenjata’ menyerang ambulans di bandar ini dan pasukan keselamatan membunuh empat penyerang dan mencederakan penduduk lain serta mengejar mereka yang melarikan diri. 

Ia menafikan bahawa pasukan keselamatan menyerbu masjid, namun turut menunjukkan rakaman senjata, AK-47, bom tangan, peluru dan wang yang didakwanya dirampas dari dalam. – AP

Matlamat tak tercapai

TRIPOLI: Pesawat udara Bersekutu terus mengebom Libya untuk malam kelima semalam, tetapi setakat ini kempen berkenaan gagal menghalang kereta kebal Muammar Gaddafi daripada menyerang kubu pemberontak di Misrata.
Tentera yang setia kepada pemimpin Libya itu dilaporkan bergerak dalam kegelapan malam menuju Misrata sebelum menghujani kawasan berhampiran hospital utama di bandar berkenaan dengan bom.

Saksi berkata, serangan itu dilakukan selepas ia terhenti beberapa jam pada waktu siang ekoran serangan tentera Bersekutu.

Katanya, tentera kerajaan mengambil kedudukan strategik untuk meneruskan serangan ke arah pemberontak.

Jurucakap pemberontak berkata, penembak tepat kerajaan masih berada di Misrata dan tidak terjejas dengan serangan udara sebelum ini.

“Setakat ini 16 orang terbunuh di tangan penembak tepat yang bertindak semberono,” katanya.

Bagaimanapun, kesahihan semua dakwaan itu tidak dapat dibuktikan. Sementara itu, satu letupan kuat kedengaran berhampiran Tripoli semalam dan asap dapat dilihat naik ke udara dari kawasan dipercayai pangkalan tentera Gaddafi.

Pegawai kerajaan kemudian membawa wakil media melihat 18 mayat rentung, didakwa anggota tentera dan orang awam yang terkena bom pihak Bersekutu.
Pegawai tentera AS pula mendakwa serangan itu berjaya mewujudkan zon larangan terbang di kawasan pantai Libya dan kini sasaran mereka adalah kereta kebal rejim Gaddafi. Katanya, pasukan Bersekutu mengadakan 175 penerbangan dalam tempoh 24 jam dan 113 daripadanya dibuat tentera udara AS.

Pegawai Britain pula berkata, tentera negara itu melancarkan peluru berpandu Tomahawk dari kapal selam Trafalgar ke kelengkapan pertahanan udara Libya.

Menteri Pertahanan Perancis, Gerard Longuet, berkata tentera negara itu memusnahkan kira-kira 10 kereta perisai Libya dalam tempoh tiga hari. - Reuters

Tunisia bekukan aset keluarga Gaddafi

TUNIS: Jiran Libya, Tunisia, membekukan semua aset milik Muammar Gaddafi dan keluarganya semalam, menjadikan negara itu kerajaan terbaru bertindak begitu selepas Barat.
Sumber di Tunisia memberitahu, selain Gaddafi, lima lagi ahli keluarganya turut terbabit dalam pembekuan aset berkenaan.

“Tindakan ini diambil selaras dengan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Selain Tunisia, Amerika Syarikat serta negara anggota Kesatuan Eropah lebih awal mengambil tindakan sama kerana tidak bersetuju dengan pendekatan Gaddafi menangani krisis kebangkitan rakyat di dalam negaranya.

Pembekuan aset oleh Tunisia dijangka memberi kesan besar kepada Libya.

Tripoli memang memiliki banyak kepentingan pelaburan di negara berkenaan, termasuk dalam sektor perhotelan, rangkaian stesen minyak dan terminal petroleum.

Walaupun pada zahirnya kebanyakan aset itu dimiliki firma pelaburan Libya, pihak yang mendapat manfaat sebenar adalah anggota keluarga Gaddafi. Golongan elit Libya turut menjadikan Tunisia sebagai pusat perbankan, percutian dan rawatan kesihatan sejak 1980-an selepas negara itu dikenakan sekatan antarabangsa. - Reuters

Kerajaan nafi sengaja potong bekalan air, elektrik


TRIPOLI: Libya semalam menafikan kerajaan negara itu memutuskan bekalan air dan elektrik ke bandar Misrata yang dikuasai pemberontak.
Timbalan Menteri Luar, Khaled Kaim, berkata kerajaan menyedari ada khabar angin kononnya tindakan itu diambil.

“Apa yang berlaku hanya masalah teknikal kerana kerosakan dan kemusnahan peralatan,” katanya.

Sebelum itu, penduduk Misrata - bandar ketiga terbesar di Libya - mengadu keperluan asas harian mereka kini dipotong ketika mereka terus dikepung tentera rejim Muammar Gaddafi.

Pengurus syarikat pengurusan air Libya, Omar al-Mislati - berkata memang bekalan air, elektrik dan telekomunikasi ke Misrata terputus, tetapi ia disebabkan masalah teknikal.

“Kami tidak memotongnya,” katanya.

Disebabkan gangguan itu, kata Omar, kira-kira 70,000 daripada 300,000 penduduk Misrata gagal mendapat air bersih.

Pegawai syarikat bekalan elektrik, Mustafa Hassan, berkata kelengkapan untuk menyalurkan elektrik ke Misrata terganggu akibat kerosakan kelengkapan.
“Kejadian itu tidak ada kena-mengena dengan kami,” katanya. Mustafa berkata, 10,000 penduduk terjejas dengan gangguan elektrik itu.

Sementara itu, Khaled menafikan tentera kerajaan terbabit dalam sebarang operasi ketenteraan.

“Gencatan senjata ini sepatutnya untuk dipatuhi semua pihak, bukan tentera saja,” katanya. - Reuters
metro

Kapal selam Britain terus lancar Tomahawk

LONDON: Sebuah kapal selam Britain semalam melancarkan serangan baru peluru berpandu Tomahawk terhadap sistem pertahanan udara Libya dalam serangan yang diselaraskan bersama tentera bersekutu lain.
Serangan itu adalah yang terbaru dalam beberapa siri serangan Britain yang bersama-sama Perancis dan Amerika Syarikat mengetuai usaha menguatkuasakan zon larangan terbang terhadap Libya.

Tentera Britain sekali lagi menyertai serangan terhadap Libya sebagai menyokong Ketetapan 1973 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kata jurucakap Ketua Staf Pertahanan Britain, Mejar Jeneral John Lorimen, Dalam satu kenyataannya, beliau berkata: Britain melancarkan peluru berpandu Tomahawk dari kapal selam kelas Trafalgar terhadap sasaran pertahanan udara sebagai sebahagian daripada rancangan tentera bersekutu untuk menguatkuasakan ketetapan itu.” Ia tidak memberi butir lanjut mengenai sasaran atau hasil serangan itu.

Letupan dan bunyi tembakan senjata antipesawat menggegarkan Tripoli semalam ketika serangan udara tentera bersekutu terhadap Muammar Gaddafi memasuki hari keenam. - AFP

Tentera Gaddafi akan hancur beberapa hari-Juppe

PARIS: Menteri Luar Perancis, Alain Juppe berkata, tentera bersekutu Barat akan mengambil masa beberapa hari atau minggu saja, bukan beberapa bulan, untuk memusnahkan tentera Muammar Gaddafi.
Jet penggempur Barat mengebom Libya buat malam kelima berturut-turut semalam tetapi sehingga ini gagal untuk menghentikan serangan meriam tentera Gaddafi terhadap bandar yang dikuasai pemberontak atau mengundurkan tentera Libya dari satu persimpangan strategik di timur negara itu.

Juppe juga mempertahankan rentak operasi itu dengan berkata: “Anda tidak boleh menjangka kami akan mencapai matlamat dalam masa lima hari saja.” Perancis mengetuai campur tangan tentera yang dibenarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha menghentikan serangan tentera kerajaan Libya terhadap pasukan pemberontak. Ia kini berusaha bersama-sama Britain untuk mewujudkan kumpulan penghubung, yang terdiri daripada beberapa negara utama yang terbabit dalam operasi itu dan negara Arab. Ia bertujuan membincangkan hal mengenai pentadbiran politik dan strategi untuk misi itu sementara Nato akan mengendalikan penyelerasan harian tentera. - AFP
metro

Ramai orang awam maut


TRIPOLI: Agensi berita Libya, Jana, semalam melaporkan, serangan tentera bersekutu terhadap kawasan kediaman di timur bandar raya ini menyebabkan ramai orang awam terbunuh.
“Pengeboman yang dilakukan oleh tentera salib di Tajura berhampiran Tripoli mensasarkan kawasan kediaman, menyebabkan ramai orang awam terkorban,” menurut laporan itu.

Menurutnya, Tajura diserang tiga kali dan serangan ketiga mensasarkan anggota penyelamat yang cuba mengalihkan mayat dan mangsa yang cedera dari runtuhan bangunan akibat serangan pertama dan kedua.

Seorang wartawan AFP pula melaporkan, siren ambulans kedengaran dari tengah Tripoli dan Tajura.

Terdahulu, saksi berkata, letupan kuat kedengaran dari sebuah pangkalan tentera di daerah berkenaan, 32 kilometer ke timur Tripoli dan kebakaran dapat dilihat berlaku dalam perkarangannya.

Tajura menempatkan pang- kalan tentera terpenting Libya dan menjadi sasaran serangan tentera bersekutu pada hari pertama operasi ketenteraan dilancarkan terhadap negara itu Sabtu lalu. - AFP

Pertahanan udara musnah


ANGGOTA Barisan Pembebasan Kebangsaan Sri Lanka  membakar tayar di depan pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana membantah serangan tentera bersekutu terhadap Libya, 
di Colombo semalam.
ANGGOTA Barisan Pembebasan Kebangsaan Sri Lanka membakar tayar di depan pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana membantah serangan tentera bersekutu terhadap Libya, di Colombo semalam.

TRIPOLI: Letupan dan bunyi tembakan senjata antipesawat menggegarkan Tripoli semalam ketika serangan udara tentera bersekutu terhadap Muammar Gaddafi memasuki hari keenam.
Dalam pada itu, seorang pegawai Britain berkata, pasukan tentera udara Libya hampir musnah sama sekali.

Tembakan antipesawat bermula awal pagi, lapor seorang wartawan AFP.

Saksi pula berkata, letupan kuat kedengaran di sebuah pangkalan tentera di Tajura, kira-kira 32 kilometer ke timur Tripoli.

Sementara itu, ketika satu armada kapal perang negara bersekutu meronda kawasan pantai Libya untuk menguatkuasakan sekatan senjata terhadap Gaddafi, usaha menyerahkan pemerintahan operasi ketenteraan terus menemui jalan buntu selepas gagal mencari kata sepakat selepas beberapa hari berbincang.

Seorang diplomat Nato berkata, pakatan 28 negara itu akan cuba mencapai keputusan sama ada ia perlu mengetuai operasi yang dilancarkan Sabtu lalu oleh Britain, Perancis dan Amerika Syarikat.

Ketika mengumumkan kejayaan serangan udara itu, Timbalan Marsyal Udara Britain, Greg Bagwell berkata, tentera udara Libya hampir musnah sama sekali dan ‘tidak lagi wujud sebagai satu pasukan tentera.’ Pegawai Amerika Syarikat secara terbuka membincangkan sama ada tekanan berterusan akan memaksa Gaddafi meletakkan jawatan selepas 40 tahun berkuasa.

Tentera Amerika juga berkata, ia kini mensasarkan serangan terhadap tentera darat Gaddafi yang mengancam bandar yang dikuasai pemberontak.
“Kami memberi tekanan terhadap tentera darat Gaddafi yang mengancam bandar yang dikuasai penentangnya,” kata Ketua Turus tentera Amerika untuk misi Libya, Laksamana Muda Gerard Hueber. - AFP

Kopi campur gelatin babi


JOHOR BAHRU: Sebuah kedai kopi popular di negeri ini yang beroperasi sejak kira-kira 70 tahun lalu dan dikunjungi lebih 80 peratus pelanggan beragama Islam rupa-rupanya menghidangkan kopi bercampur gelatin babi.
Perkara menjijikkan itu terbongkar selepas Jabatan Agama Johor (JAJ) menjalankan pemeriksaan terhadap premis itu berikutan aduan orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman (gambar) yang dihubungi Harian Metro turut mengesahkan memang ada gelatin babi dalam serbuk kopi disediakan di kedai berkenaan.

“Sampel serbuk kopi dari premis itu diambil untuk dianalisis Jabatan Kimia Johor dan hasilnya, ia positif gelatin babi.


“Semua itu dilakukan selepas kami mendapat banyak aduan daripada orang ramai. Pemeriksaan dijalankan baru-baru ini oleh JAJ serta Jabatan Kesihatan Negeri Johor,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, kata Zainal, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap pengusaha terbabit melainkan menasihati peniaga supaya memastikan produk mereka halal serta mendapatkan sijil halal.

“Pelanggan beragama Islam perlu berwaspada dalam memilih lokasi untuk menjamu selera, pastikan premis berkaitan mempunyai logo halal,” katanya.

Difahamkan, pengusaha premis terbabit akan hadir ke pejabat JAJ, hari ini. Selain di Johor, kedai kopi itu dikatakan turut memiliki cawangan di Lembah Klang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, pihaknya menghantar lima pegawai ke premis terbabit, kelmarin.

“Selepas menerima aduan menerusi SMS, kami melakukan pemeriksaan di premis itu dan mendapati memang tiada tanda logo halal dipamerkan di situ.

“Berikutan itu, kami tidak boleh mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 ke atas mereka,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Abdul Hamid, jika premis terbabit memaparkan logo halal, pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.

Sehubungan itu, menasihatkan pelanggan beragama Islam supaya berhati-hati memilih lokasi untuk menjamu selera.

“Sepatutnya orang Islam memastikan tanda logo halal sebelum memasuki sesuatu premis itu kerana dalam kes ini, tiada langsung logo berkenaan dipamerkan tapi pengguna Islam masih ke situ untuk menjamu selera.

“Pada masa sama, pengusaha terbabit juga perlu lebih bertanggungjawab kerana premis perniagaan mereka sering dikunjungi pelanggan beragama Islam,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Persatuan Pengguna Bumiputera Johor Bahru berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pengusaha premis terbabit secepat mungkin dan menasihati pengusaha berkenaan supaya mempamerkan kandungan minuman dan makanan kepada pelanggan.

“Kami menerima banyak aduan dan pertanyaan daripada orang ramai yang bimbang selepas melihat sebaran berkaitan isu berkenaan di Internet dan laman web sosial,” katanya.
metro

Tiga pekerja terdedah sinaran tinggi radiasi



OSAKA – Seramai tiga orang pekerja di reaktor No.3 loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun terdedah pada sinaran tinggi radiasi, dua daripadanya telah dimasukkan ke hospital, lapor sebuah agensi keselamatan nuklear Japan semalam.
Loji itu sebelum ini mengalami kerosakan pada sistem penyejuk ekoran gegaran kuat gempa bumi yang berukuran 9 pada skala Richter pada 11 Mac lalu.
Jurucakap Agensi Keselamatan Nuklear dan Perindustrian (NISA) berkata, ketiga-tiga pekerja itu yang sedang memasang kabel di tingkat bawah tanah bangunan turbin terdedah pada radiasi tinggi antara 170 ke 180 milisievert.
“Dua daripada pekerja itu telah dihantar ke sebuah hospital selepas mereka dijumpai dalam sebuah lopak air, walaupun mereka memakai pakaian pelindung radiasi tetapi air yang telah tercemar itu meresap ke dalam dan bahagian kaki mereka terdedah pada radiasi,” katanya.
Pendedahan sebanyak 100 milisieverts setiap tahun boleh dianggap masih rendah tetapi bukti-bukti yang ada menunjukkan jumlah tersebut masih boleh meningkatkan risiko kanser.
“Pendedahan radiasi secara terus boleh menyebabkan radang dan sebab itu, mereka terus dihantar ke hospital untuk dirawat,” ujar jurucakap berkenaan.
Kesemua pekerja itu bekerja dengan anak syarikat pengendali loji jana kuasa Fukushima Daiichi, syarikat Tokyo Electronic Power Co. (TEPCO) yang terletak 250 kilometer dari Tokyo.
Menurut TEPCO, sebanyak 14 orang pekerjanya telah terdedah kepada radiasi sekurang-kurangnya pada tahap 100 milisieverts.
Sementara itu, angka kematian dan hilang akibat gempa bumi kuat di timur laut Jepun sehingga mengakibatkan tsunami meningkat melebihi 27,000 orang semalam.
Polis Jepun menyatakan 9,811 orang disahkan terbunuh dan 17,541 lagi didapati masih hilang.
– Agensi

Pelagak ngeri atasi legenda silap mata



KEDUA-DUA tangan Rob Roy Collins mula menanggalkan baju yang dipakainya.


RESORT MENARA ALTON, Britain - Seorang pelagak ngeri, Rob Roy Collins menggantungkan dirinya dalam keadaan terbalik pada tiang sebuah rollercoaster di Britain seperti yang pernah dilakukan ahli silap mata legenda, Harry Houdini yang meninggal dunia pada tahun 1926 ketika berusia 52 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Semasa aksi itu, Collins, 33, memakai baju pesakit mental yang ketat menyebabkan kedua-dua tangannya terikat.
Dia kemudian berjaya menanggalkan baju itu dalam masa satu minit 53 saat semasa dia berada dalam keadaan terbalik pada ketinggian 18.3 meter di udara.
Catatan itu mengatasi masa Houdini iaitu dua minit 37 saat yang melakukan aksi serupa dengan menggunakan sebuah kren di New York, Amerika Syarikat (AS).
Aksi mendebarkan itu menarik kehadiran ramai orang yang berkumpul di sekitar rollercoaster berkenaan di sini, baru-baru ini.
"Aksi ini amat mengujakan dan pada masa yang sama ia juga menakutkan. Saya menjadi pelagak ngeri selama 10 tahun tetapi ini kali pertama saya melakukan aksi 'gila' seperti ini," kata Collin selepas itu . - Agensi
kosmo

Bilik jadi akuarium






NOTTINGHAM - Tidak ramai yang sanggup menukarkan bilik bawah tanah kediaman mereka menjadi sebuah akuarium besar tetapi itulah yang dilakukan oleh seorang lelaki di Britain, Jack Heathcote, lapor sebuah akhbar semalam.
Heathcote, 37, membina akuarium persendirian itu dengan kos £5,000 (RM24,603) di rumahnya di sini dan memenuhinya dengan beberapa spesies hidupan air tawar eksotik.
Akuarium gergasi itu yang berukuran 3.8 meter x 3.9 meter x 2.1 meter terletak di bawah ruang tamu kediaman lima biliknya.
"Hobi saya bukan sekadar menguasai hidup saya tetapi ia juga menguasai rumah saya," katanya.
Lelaki itu yang bekerja sebagai guru turut memberitahu, tiada televisyen di rumahnya kerana dia lebih gemar melihat ikan-ikan peliharaannya itu berenang. - Agensi

Tripoli diserang tentera Barat




STESEN televisyen Sky News semalam menunjukkan kemusnahan akibat serangan tentera Barat di Tripoli, Libya.


TRIPOLI - Beberapa letupan dan tembakan antipesawat menggegarkan bandar ini semalam semasa tentera Barat melakukan serangan pada hari keenam.
Serangan itu dibuat selepas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi muncul bagi menunjukkan beliau masih hidup walaupun tentera Barat diketuai Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis melancarkan serangan pada Sabtu lalu.
Serangan itu dibuat bagi menguatkuasakan zon larangan terbang yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu lalu.
Zon larangan terbang itu dikuatkuasakan bagi menghalang tentera Gaddafi melakukan serangan ke atas penduduk awam.
Namun, pemerintah Libya mendakwa serangan tentera Barat itu mengakibatkan 18 askar dan penduduk awam terbunuh.
Menurut tentera AS semalam, tentera bersekutu Barat telah melepaskan 14 tembakan peluru berpandu Tomahawk ke atas pasukan keselamatan Gaddafi semalaman.
Seorang jurucakap Pusat Pemerintah AS di Afrika di Jerman menyatakan, negara-negara yang menyertai serangan itu turut menggugurkan bom-bom di beberapa sasaran di Libya.
Stesen televisyen ABC menerusi rangkaian beritanya melaporkan semalam bahawa sebuah jet pejuang Perancis menembak jatuh sebuah pesawat perang Libya di bandar Misrata.
Pesawat terbang itu didakwa melanggar arahan zon larangan terbang yang dikuatkuasakan oleh PBB.
Sejak tentera bersekutu yang diketuai AS mula melancarkan penguatkuasaan zon larangan terbang di Libya pada minggu lalu, lebih 175 peluru berpandu Tomahawak dibedil di Libya.

SEORANG pekerja hospital memeriksa sejumlah mayat askar dan penduduk awam yang terbunuh akibat serangan tentera Barat di Tripoli semalam.


Dalam perkembangan yang berkaitan, Britain mendakwa tentera udara Libya hampir lumpuh ekoran serangan yang dilakukan oleh tentera Barat.
Beberapa serangan udara telah menyebabkan beberapa buah kereta kebal tentera Libya musnah di pinggir bandar Misrata.
Namun, seorang penduduk berkata, sejumlah kereta kebal di dalam bandar Misrata tidak musnah akibat serangan.
Sementara itu, pihak pemberontak yang menentang kepimpinan Gaddafi kini sedang berunding dengan pihak pemerintah di bandar Ajdabiya supaya tentera pemerintah dibenarkan meninggalkan bandar tersebut.
Bagaimanapun, syarat yang dikenakan adalah anggota tentera Gaddafi itu perlu menyerahkan senjata kepada pihak pemberontak.
Menurut laman web pemberontak, terdapat krisis kemanusiaan di Ajdabiya selepas beberapa hari bandar itu dibedil oleh tentera Gaddafi.
Sebuah hospital dan sejumlah rumah di bandar berkenaan menjadi sasaran serangan tentera Gaddafi.
Bagaimanapun, kebanyakan penduduk telah bertindak meninggalkan bandar tersebut.
Pergolakan di Libya bermula pada 15 Februari lalu apabila para penunjuk perasaan berhimpun di bandar Benghazi membantah penahanan aktivis hak asasi manusia, Fethi Tarbel.
Tunjuk perasaan menentang pemerintah itu kemudian bertukar menjadi peperangan menentang kepimpinan Gaddafi yang sudah memerintah selama empat dekad.
Para penunujuk perasaan yang sebahagiannya menjadi pemberontak kemudian menuntut Gaddafi supaya meletakkan jawatan. - Agensi
kosmo

Syria pula kian bergolak




BEBERAPA tayar terbakar di salah satu sekatan yang dibuat oleh para penunjuk perasaan 
antipemerintah di bandar Daraa, Syria kelmarin.


NICOSIA - Lebih 100 orang terbunuh selepas anggota-anggota polis bersenjata melepaskan tembakan ke sekumpulan penunjuk perasaan di bandar Daraa, selatan Syria kelmarin, menurut beberapa saksi dan aktivis hak asasi manusia semalam.
Aktivis hak asasi manusia di Daraa, Ayman al-Asswad berkata, anggota-anggota keselamatan menggunakan peluru hidup ketika menembak ke arah para penunjuk perasaan di bandar yang terletak 120 kilometer ke selatan Damsyik.
"Angka kematian sudah pasti melebihi 100 orang dan penduduk di bandar ini memerlukan masa selama seminggu untuk mengebumikan para syuhada mereka," katanya yang dihubungi melalui telefon di sini semalam.
Seorang lagi aktivis meletakkan angka kematian yang lebih tinggi iaitu sebanyak 150 kematian.
Namun, perkara berbeza dilapor oleh pihak berkuasa Syria apabila hanya 10 orang sahaja yang mati.
Bandar Daraa yang mempunyai penduduk seramai 75,000 orang telah menjadi kubu kuat tunjuk perasaan antipmerintah sejak 18 Mac lalu.
Sementara itu, ribuan orang menjerit kebebasan di bandar ini semasa majlis pengebumian sembilan orang penunjuk perasaan antipemerintah diadakan.
Tindakan para penunjuk perasaan itu membantah pemerintahan yang dipimpin oleh Parti Baath yang mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan Syiah di Iran.
Bandar ini dihuni oleh ramai penduduk berfahaman Sunah.
Amerika Syarikat turut mengutuk pembunuhan di bandar ini.
Ekoran tunjuk perasaan itu, Syria akan membuat beberapa keputusan penting.
Pengumuman itu dibuat oleh seorang penasihat kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad selepas tunjuk perasaan antipmerintah berlaku sejak seminggu lalu.
Para penunjuk perasaan itu mahu Bashar meletakkan jawatan. Tuntutan itu dibuat selepas Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan sebagai Presiden Tunisia pada Januari lalu dan Hosni Mubarak mengikut jejak sama di Mesir akibat kebangkitan rakyat.
Bashar menjadi presiden pada 2002 bagi menggantikan bapanya yang meninggal dunia, Hafez al-Assad. - Agensi
kosmo