Pages

Friday, March 25, 2011

Tentera Bersekutu terus serang Libya



Seorang pemberontak bersenjata mengawal askar-askar upahan dan tentera yang setia kepada Gaddafi selepas mereka ditahan di sebuah penjara di Benghazi, semalam. – REUTERS


TRIPOLI 24 Mac – Letupan dan bedilan anti-pesawat menyelubungi ibu negara Libya hari ini ketika Tentera Bersekutu meneruskan serangan udara ke atas tentera Muammar Gaddafi, masuk hari keenam berturut-turut.
Pegawai Britain mendakwa tentera udara Libya kini hampir musnah.
Menurut wartawan AFP, bedilan anti-pesawat bermula pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari waktu Malaysia diikuti bunyi letupan kuat.
Ketika armada kapal-kapal Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meronda perairan Libya untuk melaksanakan embargo senjata ke atas Gaddafi, usaha baru untuk melancarkan operasi tentera gagal selepas beberapa hari berlangsung perdebatan sengit.
Seorang diplomat NATO berkata, 28 negara bersekutu akan mencuba sekali lagi hari ini untuk mencapai keputusan sama ada NATO perlu terlibat dalam operasi ketenteraan yang dilancarkan sejak Sabtu lalu oleh Britain, Perancis dan Amerika Syarikat (AS).
Namun, negara-negara terlibat telah mula mencatat kejayaan dalam operasi tersebut dengan Naib Marshal Udara Britain, Greg Bagwell mendakwa tentera udara Libya kini hampir dimusnahkan dan tidak lama lagi akan berkubur.
Pegawai AS secara terbuka turut membuat spekulasi bahawa tekanan berterusan akan memaksa Gaddafi berundur selepas empat dekad memerintah.
Saksi melaporkan, letupan kuat berlaku malam tadi di pangkalan tentera di Tajura, kira-kira 32 kilometer ke timur Tripoli, sementara bedilan anti-pesawat kedengaran ketika serangan udara dilancarkan ke atas ibu negara Libya ini.
Agensi berita rasmi JANA melaporkan, serangan udara di Tajura mengorbankan ‘sejumlah besar’ penduduk awam.
Menurut JANA, Tajura menjadi sasaran serangan sebanyak tiga kali dengan serangan ketiga terkena pasukan penyelamat yang cuba memindahkan mangsa yang terbunuh dan cedera dari sisa runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan pertama dan kedua.
Dakwaan itu, bagaimanapun tidak disahkan oleh mana-mana kumpulan bebas.
Tajura adalah pangkalan tentera Libya yang penting dan telah menjadi sasaran tentera bersekutu sejak serangan pertama.
Walaupun kesudahan krisis di Libya ini masih tidak jelas, Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates yang kini dalam lawatan di Kaherah berkata, tekanan ke atas rejim Gaddafi dapat menggalakkan sekutu pemimpin itu atau anggota keluarganya meninggalkannya.
Tentera AS berkata, tentera Gaddafi yang mengancam bandar-bandar yang dikuasai pemberontak kini menjadi sasaran serangan udara mereka. – AFP

No comments: