Pages

Friday, March 25, 2011

Mangsa banjir bertambah


Oleh ANI AWANG


IPOH 24 Mac - Jumlah mangsa banjir di daerah Kerian meningkat kepada 359 orang hari ini berbanding 340 orang semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Fauzi Mat Nayan berkata, kesemua mangsa masih berada di lima pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu, SK Bukit Merah dan Dewan Orang Ramai di Alor Pongsu, Dewan Batu 38 Parit Abu Hasan serta Dewan Batu 40 Bukit Merah.
Katanya, mangsa terlibat terdiri daripada 168 penduduk di Kampung Alor Setanggok, Batu 37/38 Jalan Keretapi (48 orang), Kampung Parit Ban Abu Hasan (46), Kampung Parit Abu Hasan (31).
Kampung lain ialah Batu 40 Bukit Merah dengan 44 orang, Parit Mat Keling (4), Kampung Perlis (2), Kampung Tebuk Pancur (8) dan Kampung Parit Ayer Hitam lapan orang.
"Kampung terlibat dinaiki air sedalam 0.5 meter hingga satu meter berikutan air dari empangan Bukit Merah yang dilepaskan akibat hujan lebat sejak empat hari lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Fauzi berkata, jalan raya di Batu 38 Jalan Alor Pongsu-Selama masih ditutup kepada kenderaan ringan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Chong Phaik Kee berkata, semua cuti kakitangan JKM di daerah yang dilanda banjir telah dibekukan berkuat kuasa serta merta bagi membolehkan semua urusan berkaitan berjalan lancar.
"Kita telah memberikan bantuan awal seperti makanan dan selimut kepada mangsa yang dipindahkan di pusat-pusat pemindahan banjir," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan mengenai kerugian yang dialami mangsa akibat kejadian banjir itu.

1 comment:

mcm ni lah said...

simpati kat mangsa banjir,. harap tabah je le selalu