Pages

Friday, March 25, 2011

Seoul lancar latihan menembak




Helikopter Korea Selatan jenis AH-1S Cobra melepaskan tembakan daripada mesingan dalam latihan menembak besar-besaran di Pocheon, 65 kilometer ke timur laut Seoul, semalam. - AFP


SEOUL 24 Mac - Korea Selatan hari ini melancarkan latihan tembakan peluru hidup secara besar-besaran berhampiran dengan sempadan Korea Utara, sempena ulang tahun pertama tenggelamnya kapal perang Cheonan miliknya bersama 46 krewnya.
Menurut Kementerian Pertahanan, kereta kebal, kenderaan pengangkut senjata, meriam, helikopter dan jet pejuang mengambil bahagian dalam latihan itu di Pocheon, 30 kilometer ke selatan sempadan.
Latihan itu diadakan sehari selepas tentera Korea Utara mengancam untuk bertindak balas kepada rancangan penyebaran risalah oleh aktivis antiPyongyang berhampiran pertikaian sempada, Laut Kuning.
Korea Selatan turut mengadakan latihan di laut selama seminggu yang bermula Isnin lalu sebagai mengingati peristiwa kapal perang Cheonan yang karam pada 26 Mac tahun lalu yang didakwa terkena peluru berpandu Korea Utara.
Latihan itu termasuk tiga hari latihan kapal perang dan jet pejuang bermula esok, simulasi serangan oleh kapal selam, kapal laut dan jet pejuang Pyongyang.
Latihan tembakan besar-besaran oleh tentera laut akan diadakan Sabtu ini di tiga lokasi di luar semenanjung Korea.
Seoul yang secara teknikalnya masih berperang dengan Korea Utara sejak konflik 60 tahun lalu memberitahu bahawa latihan itu diadakan sebagai tindakan mempertahankan diri.
Ketegangan antara kedua-dua negara berjiran ini meningkat sejak Pyongyang membedil pulau Yeonpyeong pada 23 November lalu menyebabkan empat rakyat Korea Selatan terbunuh.
Korea Selatan hari ini turut melancarkan kapal pemusnah ketiga yang dilengkapi radar berteknologi tinggi Aegis serta sistem kawalan senjata.
Menurut tentera laut, senjata pemusnah KDX-III dikenali sebagai Seoae Ryu Seong- ryong itu akan mula digunakan pada Mac tahun depan selepas operasi ujian selama setahun.
KDX III sepanjang 166 meter itu boleh membawa 120 peluru berpandu dan torpedo pada sistem pelancar tegaknya, lapor agensi berita Yonhap. - AFP

No comments: