Pages

Friday, March 25, 2011

Tiga pekerja terdedah sinaran tinggi radiasi



OSAKA – Seramai tiga orang pekerja di reaktor No.3 loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun terdedah pada sinaran tinggi radiasi, dua daripadanya telah dimasukkan ke hospital, lapor sebuah agensi keselamatan nuklear Japan semalam.
Loji itu sebelum ini mengalami kerosakan pada sistem penyejuk ekoran gegaran kuat gempa bumi yang berukuran 9 pada skala Richter pada 11 Mac lalu.
Jurucakap Agensi Keselamatan Nuklear dan Perindustrian (NISA) berkata, ketiga-tiga pekerja itu yang sedang memasang kabel di tingkat bawah tanah bangunan turbin terdedah pada radiasi tinggi antara 170 ke 180 milisievert.
“Dua daripada pekerja itu telah dihantar ke sebuah hospital selepas mereka dijumpai dalam sebuah lopak air, walaupun mereka memakai pakaian pelindung radiasi tetapi air yang telah tercemar itu meresap ke dalam dan bahagian kaki mereka terdedah pada radiasi,” katanya.
Pendedahan sebanyak 100 milisieverts setiap tahun boleh dianggap masih rendah tetapi bukti-bukti yang ada menunjukkan jumlah tersebut masih boleh meningkatkan risiko kanser.
“Pendedahan radiasi secara terus boleh menyebabkan radang dan sebab itu, mereka terus dihantar ke hospital untuk dirawat,” ujar jurucakap berkenaan.
Kesemua pekerja itu bekerja dengan anak syarikat pengendali loji jana kuasa Fukushima Daiichi, syarikat Tokyo Electronic Power Co. (TEPCO) yang terletak 250 kilometer dari Tokyo.
Menurut TEPCO, sebanyak 14 orang pekerjanya telah terdedah kepada radiasi sekurang-kurangnya pada tahap 100 milisieverts.
Sementara itu, angka kematian dan hilang akibat gempa bumi kuat di timur laut Jepun sehingga mengakibatkan tsunami meningkat melebihi 27,000 orang semalam.
Polis Jepun menyatakan 9,811 orang disahkan terbunuh dan 17,541 lagi didapati masih hilang.
– Agensi

No comments: