Pages

Friday, March 25, 2011

Tiga pekerja loji nuklear cedera


TOKYO 24 Mac - Tiga pekerja yang sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan di reaktor Daiichi di loji jana kuasa Fukushima hari ini cedera selepas terdedah kepada radiasi tinggi.

Jurucakap Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri Jepun (NISA), Fumio Matsuda berkata, dua daripada mereka telah dikejarkan ke hospital selepas cedera semasa memasang kabel elektrik di reaktor No. 3 di loji tersebut.
"Dua daripada mereka dimasukkan ke wad selepas didapati terdedah kepada radiasi setinggi 170 hingga 180 millisievert," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Australia, Kanada dan Singapura hari ini menghentikan import makanan dari Jepun, selepas wap panas radioaktif tersebar dari loji nuklear di Fukushima dan meningkatkan kebimbangan di Tokyo.
Australia mengarahkan import makanan dari empat daerah berhampiran loji jana kuasa di timur laut Tokyo itu dihentikan termasuk rumpai laut, makanan laut, susu, produk tenusu, buah-buahan segar dan sayur-sayuran.
Singapura turut menggantung import produk tenusu dan makanan lain dari daerah Fukushima, Gunma, Ibaraki dan Tochigi, sementara Kanada memperketat kawalan import produk makanan dari kawasan sama.
Di loji jana kuasa Fukushima, juruteknik berjaya memulihkan bekalan elektrik di bilik kawalan reaktor No. 1, walaupun wap panas berwarna putih dilihat keluar dari empat reaktor loji tersebut.
Perkembangan baru itu membolehkan pekerja menggunakan dua bilik kawalan utama di reaktor No.1 dan No. 3 yang terpaksa diabaikan sebelum ini selepas beberapa siri letupan selain masalah pembebasan radiasi yang berlaku. - AFP/AP

No comments: