Pages

Thursday, July 5, 2012

Pakar seludup ubat masuk Syria

Penduduk Syria mengangkat seorang lelaki yang cedera akibat serangan bom tentera kerajaan di Qusayr, berhampiran Homs semalam.Penduduk Syria mengangkat seorang lelaki yang cedera akibat serangan bom tentera kerajaan di Qusayr, berhampiran Homs semalam.
Doktor hadapi risiko kena tangkap rawat penduduk cedera 

Dubai: Bantuan perubatan yang dikumpul oleh pakar diseludup ke Syria ketika doktor yang berdepan risiko ditangkap dan diseksa, bergelut dalam diam untuk merawat semakin ramai penduduk yang cedera di negara bergolak itu, kata aktivis. Penyeludup membawa bantuan dengan berjalan kaki selama lebih sejam di sepanjang laluan sukar antara Turki dan Syria sebelum tiba di sempadan untuk diserahkan kepada anggota sindiket berkenaan yang membawanya dengan kenderaan ke kawasan yang memerlukan. 
Perjalanan berdepan bahaya kerana penyeludup boleh ditahan atau ditembak oleh tentera Syria, tetapi ia kekal kurang berisiko berbanding membawa aktivis yang cedera dalam keganasan ke hospital kerajaan yang memudahkan mereka ditangkap. 

“Bagi pihak berkuasa Syria, ditangkap membawa ubat sama seperti menyeludup senjata,” kata Khaled Mustafa, aktivis yang mengetuai jawatankuasa membantu pelarian Syria di Lubnan dan membantu mengumpul dan menyampaikan bantuan kepada mangsa konflik di tanah airnya itu. 

Ketika pihak berkuasa Turki membantu memudahkan perjalanan bantuan, aktivis berkata proses itu lebih sukar dari Lubnan berikutan pendirian berkecuali kerajaan negara itu terhadap pemberontakan di Syria. 

“Namun sumbangan yang diperoleh daripada pihak yang bersimpati dan bekalan perubatan dibeli daripada farmasi di seluruh Lubnan,” katanya. 
Ia kemudian diseludup dalam perjalanan yang mungkin mengambil masa daripada satu hari kepada seminggu, bergantung kepada kewaspadaan pihak berkuasa Syria di sepanjang sempadan. 

Bekalan diserahkan kepada aktivis di dalam negara itu yang membawanya ke tempat memerlukan dengan kawalan Tentera Pembebasan Syria. 

“Banyak bekalan perubatan dirampas dan banyak pasukan cuba menyeludup bantuan atau rakyat yang cedera ditangkap atau dibunuh oleh pihak berkuasa Syria,” kata Mustafa. 

Lebih 16,500 terbunuh sejak konflik 15 bulan itu bermula, kata kumpulan hak, dan rakyat Syria di luar negara meningkatkan usaha memberi bantuan kepada rakan senegara. - AFP

No comments: